Theflowersellingboy

Isnin, 29 Jun 2015

Membesar Di Kampong.....




Aku teringat cerita zaman kecilku yang aku percaya telah membentuk diriku ini.

Aku teringat semasa membesar di kampong.

Seperti anak-anak yang membesar di kampong, cara membesar aku agak bebas dari segi pergerakan. Emak dan abah tidak risau atau khuatir jika aku pergi merayau-rayau dalam hutan untuk melastik burung. Mandi sungai dan panjat memanjat pokok buah-buahan, tidak langsung mereka fikirkan sebagai yang mendatangkan bahaya.

Begitu jua emak dan abahku  tidak ambil berat jika aku tidak balik tidur dirumah selepas selesai sessi mengaji Quran. Mereka yakin aku tidur di surau bersama dengan kawan-kawanku, dan pada paginya nanti aku akan muncul di rumah.

Yang penting aku mesti lakukan beberapa tanggungjawab harian. 

Mencari kayu api untuk keperluan masak memasak. Memenuhkan tempayan dengan air yang dikandar dari perigi.  Membawa dan menjaga lembu di kawasan ragutan. Mengaji disurau waktu malam.

Dan jika abahku terpaksa menoreh getah pada waktu tengah hari kerana pada waktu pagi batang pokok getah masih basah kerana ditimpa hujan pada malamnya, aku mesti menghantar makanan abah diladang getah tempat kerjanya.

Itu yang lebih penting. Ertinya abah dan emak amat mengharapkan agar aku sentiasa ada dan bersedia untuk melakukannya. 

Adakah aku melakukannya dengan sempurna? Aku rasa semua orang boleh meneka dengan tepat.

Kerja menjaga lembu ini bermula selepas makan tengah hari. Aku melepaskan lembu peliharaan yang terikat di kandang untuk digerakkan ke tempat yang berumput iaitu di ladang-ladang getah. Turut bersama adalah beberapa orang kawan yang sebaya. 

Kami hanya mengekori binatang belaan itu tanpa melakukan banyak arahan kerana lembu-lembu itu sudah tahu di mana dan ke mana perlu di tuju.

Semasa menjaga lembu-lembu inilah, aku akan mengumpul dahan dan ranting pokok getah yang mati untuk dibawa balik sebagai bahan api untuk masak memasak. 

Menjaga lembu adalah satu kerjaya yang menjemukan, tidak langsung mencabar, tidak banyak menggunakan otak. Cuma mata mesti sentiasa luas terbuka memerhati kemana lembu-lembu itu bergerak.

Untuk mengelakkan rasa jemu, kami main bola walaupun ada empat atau lima orang lelaki saja.

Bola dibuat dari getah sekerap. Namun begitu ianya memberi kepuasan kepada kami sehingga kadang-kadang terlalu asyik bermain kami tidak sedar lembu jagaan kami telah hilang dari pandangan mata. Maka masing-masing bergegas untuk mencari kemana dan dimana lembu-lembu itu.

Kalau lembu itu ditemui , alhamdulillah. Tapi kadang-kadang lembu itu tidak dapat dikesan sedangkan hari sudah gelap, memaksa kami  pulang ke rumah. Mahu tidak mahu terpaksa pulang juga tanpa lembu. 

Pulang tanpa lembu satu hal. Pulang tanpa lembu dan tanpa membawa sama sebeban kayu api adalah hal yang bertambah berat lagi untuk behadapan dengan emak dan abah. Paling takut adalah dengan abah.

Lembu yang hilang dan gagal membawa balik sebeban kayu api risikonya kena marah.

Namun kerja yang selalu menjadi perang besar diantara aku dengan abang aku ialah memenuhkan air ke dalam tempayan. Selalu bergaduh.  sudah tentu aku menangis terlolong lolong.

Kami mengandar air secara kongsi kudrat. Pengandar kami ialah sebatang buluh. Dengan menggunakan pengandar buluh itu kami pun mengandar air yang berisi penuh dalam sebuah tin minyak gas. 

Sudah tentu tin itu di letak ditengah-tengah agar kami berkongsi beban berat yang sama. Tapi titik tengah jarang mendapat persetujuan diantara kami berdua. Maka bergaduhlah kami berdua.  Aku menangis.

Tapi kerja perlu juga diselesaikan sehingga tempayan penuh diisi air.
 
Satu lagi tugas harian ialah pergi mengaji quran. 

Disebelah malam kami pergi mengaji quran disurau yang letaknya kurang lebih 2km dari rumah. Kami mula bergerak sebelum masuk  waktu Maghrib. Keadaan sudah mulai gelap tapi tidak mengggangu perjalanan. 

Dalam hal mengaji ini, dua hal yang aku mahu rakamkan. Pertama perjalanan balik ke rumah selepas mengaji. Kedua bayaran kepada guru yang mengajar.

Ketika itu masih belum ada lagi bekalan arus letrik. Maknanya tiada lampu jalan bagi memudahkan perjalanan.

Jadi kami gunakan andang (daun kelapa yang kering yang diikat memanjang). Andang itu dibakar dijadikan penyuluh bagi menerangi sepanjang perjalanan. Tapi jika kehabisan andang sedangkan perjalanan masih belum selesai ia menimbulkan masalah. Tambahan lagi tiada andang yang lain.

Maka meraba-rabalah kami meneruskan perjalanan. Ada yang nakal mengambil kesempatan menakutkan-nakutkan dengan cerita adanya hantu. 

Tentang bayaran kepada kepada guru mengaji ianya tidaklah mahal. Sebulan satu ringgit saja. Namun begitu banyak juga yang gagal membayar termasuk aku. 

Kesan dari gagal membayar itu membuatkan aku merasa berat untuk pergi belajar mengaji. Tapi abah aku mendesak aku terus mengaji. Aku pergi juga dengan perasaan malu-malu.

Satu lagi tugas yang memberi kesan teramat sangat kepada aku ialah apabila melihat abah menoreh pokok getah. Biasanya kesempatan ini berlaku apabila aku menghantar makanan kapada abah kerana terpaksa menoreh pada waktu tengah hari disebabkan pada waktu pagi batang getah masih basah ditimpa hujan.

Ertinya setiapkali berlaku keadaan seperti itu, aku akan menghantar makanan abah ditempat kerjanya.

Semasa berada di ladang getah itu, dan melihat abah menoreh dari pokok ke satu pokok, tambahan lagi dengan memikul sama sebatang tangga bagi memudahkan abah menoreh dibahagian batang pokok getah yang tidak dapat dicapai tanpa menggunakan tangga, perasaan sedih dan pilu menguasai diri aku. 

"Beginilah caranya abah bekerja berat bagi menyara aku dan keluarga", bisikan dalam hati yang memberi kesan yang teramat sangat yang menyemai serta menyuburkan azam aku untuk berjaya dalam pelajaran dan meninggalkan kehidupan yang dilalui oleh abah.

Oleh itu terdetik dihati aku bahawa apapun kerja harian yang diminta aku buat misalnya menjaga lembu, mencari kayu api dan mengandar air serta menghantar makanan ianya adalah terlalu kecil berbanding dengan kesungguhan abah untuk menyara keluarga walaupun upahnya tidak seberapa.

Aku juga mula faham mengapa bayaran upah mengaji selalu tertunggak tapi abah masih lagi mahukan kami terus mengaji. Mungkin abah menjual air mukanya.

Membesar di kampong, aku mempunyai kekuatan untuk berdikari. 

Membesar di kampong, aku juga telah diajar untuk mengambil tanggumgjawab semenjak dari kecil. 

Dan membesar di kampong dengan melihat kesungguhan abah menjalankan tanggungjawab menyara dan mendidik anak walaupun dengan menjual air muka telah menjadikan aku berazam untuk membaikki kehidupan dan taraf ekonomi keluarga.   

Setelah menjadi seorang ayah dan datuk, aku tidak mahu anak-anak dan cucu membesar di kampong dalam keadaan aku dibesarkan. Dulu dan sekarang terlalu banyak bezanya. Cara dan pendekatan serta tumpuan kepada anak-anak tidak sama seperti dahulu.

Dulu aku bebas, sekurang-kurangnya dari segi pergerakan aku. Abah dan emak aku tidak pernah risau selagi aku balik ke rumah. Tapi sekarang ini kalau anak-anak tidak memberi tahu yang mereka telah sampai ke sesuatu destinasi dengan selamat , aku amat risau sekali. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan