Theflowersellingboy

Ahad, 21 Jun 2015

Seronoknya Bersama Anak dan Cucu-cucu Dalam Bulan Puasa.




Semalam berbuka puasa bersama anak-anak dan empat orang cucu. Seronok dapat berkumpul.
 
Tiba sahaja hari Jumaat, saya dan isteri , sudah berkira-kira menanti kepulangan anak dan menantu serta cucu-cucu untuk bersama-sama dalam bulan Ramadhan ini - berpuasa , berbuka dan bersyahur. Dan melihat gelagat dan mendengar suara cucu-cucu.
 
Seperti biasa setiap kali menunggu kepulangan mereka, isterilah yang paling sibuk  sekali. Pertama yang terkeluar dari mulutnya ialah tentang makanan yang mahu dihidangkan, termasuk minuman kegemaran cucu-cucunya. Sudah tentu sesuatu yang istimewa yang difikirkan.
 
Kedua, setelah bersedia dengan senarai apa yang perlu dihidangkan, maka diajaknya saya untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan.
 
Apa pun yang hendak dihidangkan, saya tidak terlibat dari segi masak memasak. Kerja-kerja itu dimonopoli oleh isteri dan anak-anak. Maknanya tiada sumbangan tenaga dari saya.
 
Kami diberitahu, anak dari Putra Jaya akan balik pada petang Jumaat, selepas waktu bekerja; dan anak dari Ampang akan balik ke Rembau dulu, kemudian ke rumah pada hari Sabtu.
 
Maklumat diatas adalah penting bagi isteri dalam menyediakan jenis hidangan  dan kuantitinya.

Dalam berangan-angan untuk syahur bersama, kami telah diberitahu bahawa anak dari Putra Jaya itu hanya balik pada pagi Sabtu saja kerana agak keletihan untuk balik pada petang Jumaat.

Aduhhh.....satu keluhan sedih.
 
Namun kami menjadi ceria semula apabila pada hari Sabtu, semua anak, menantu dan cucu-cucu dapat bersama, berbuka dan syahur bersama.
 
Kehadiran cucu-cucu kami , menukarkan suasana dirumah kami, dari senyap sunyi kepada riuh. Cucu-cuculah yang menghidupkan suasana. 
 
Ada yang menangis kerana kurang sihat, ada yang menangis kerana tidak mahu diambil selain dari ibubapanya atau seseorang yang berkenan di mata,    dan ada yang menangis selepas seronok bermain kerana berbeza cara.
 
Yang benar-benar mencorakkan suasana ialah dua orang sepupu, masing-masing berusia lima dan empat tahun. Kedua-duanya lelaki.
 
Mula-mula bermain - berkejaran, sepak menyepak bola, lambung melambung belon, diiringi dengan ketawa riang. Yang situa pun seronok melihat gelagat mereka.
 
Kemudian, sepupu yang lebih muda menjerit menangis. Kami yang tua sudah menjangkakan. Ianya perkara biasa.
 
Tapi cuma kali ini volume tangisannya agak tinggi. 
 
Saya mesti berbuat sesuatu, fikir saya. Lalu saya pujuk dan bawanya ke dalam bilik. Dia masih menangis. Lalu saya fikir, saya mesti bercerita. Cerita yang dia suka.
 
Sebaik saja saya beritahu untuk bercerita, secara otomatis cucu saya itu berhenti menangis.
 
Kemudian sepupu tuanya itu masuk ke dalam bilik dan berbaring bersebelahan dengannya, rapat sekali, seolah-olah tiada 'pergeseran' beberapa minit yang lepas.

Mereka mendengar cerita saya dengan penuh minat walaupun cerita itu telah berulang kali diperdengarkan. Kedua-duanya ketawa suka dengan cerita saya itu, kelakar gamaknya.
 
Kemudian, mereka bercadang untuk mandi bersama. Mereka tidak mahu saya yang memandikannya. Pilihan mereka ialah neneknya.
 
Mudah saja mereka berdamai. Tiada dendam dan sakit hati. 
 
Begitu juga mudah mereka untuk 'berperang'. Kemudian berdamai. Bagi saya ianya perkara biasa. 
 
Pagi tadi berulang cerita yang sama, gencatan senjata telah dilanggari.
 
Namun waktu mereka hendak berpisah untuk  pulang ke destinasi yang berbeza, mereka bersedih pula.
 
Kepulangan mereka saya iringkan dengan senyuman gembira, walaupun sedih, sambil melambai-lambaikan tangan dengan harapan dapat bersama lagi.
 
Yang menjadikan saya terus tersenyum ceria ialah apabila mengingatkan dialog dibawah ini.
 
Dialog Pertama
 
Yousef: Aqib ambillah belon itu banyak-banyak.
Naqib: Macam mana Naqib nak ambil banyak-banyak, Aqib ada dua tangan jer.
 
 
Dialog kedua.
Naqib: Abang Yousef dan Naqib nak balik nih
Tokpa: Aqib tak kesian ke tinggalkan tokpa dan nenek
Naqib: Nanti Naqib baliklah lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan