Theflowersellingboy

Ahad, 14 Jun 2015

Mahathir dan geng serang, Najib dan geng menyerang juga....Nilai Ringgit jatuh, rakyat yang terseksa.




Serang menyerang semakin hebat. Bilangan yang turut serta juga bertambah. 
 
Rakyat biasa, sudah memang jadi biasa turut bersama kerana akhirnya mereka juga yang terkena. 
 
Orang politik, itu memang kerja mereka, kalau tidak bergaduh, bukan orang politik namanya kerana mereka ada banyak kepentingan diri yang mahu dijaga dan dipertahankan.

Sultan dan bakal raja pun sama-sama mara sebab mereka juga warga dan ada hak bersuara walaupun dalam kategori yang istimewa dan berbeza, demi rakyat gamaknya.
 
Semuanya 1MDB punya angkara dan cerita.
 
Serang mula dilakukan oleh PR ke atas UMNO pimpinan Najib. Rafizi (PKR) dan Tony Pua (DAP) kedua-dua dari PR (minus PAS) mempersoalkan beberapa aspek pengurusan 1MDB yang boleh memberi kesan buruk kepada negara dan rakyat khususnya tentang jumlah hutang 1MDB yang begitu besar, yang mana sebahagiannya dijamin oleh negara.
 
Memenjarakan Anwar, menambahkuatkan lagi PR untuk mendedahkan salah laku dan urus kerajaan BN yang berpaksikan UMNO.
 
Tapi seperti biasa, dari dulu sehingga kini dan mungkin sampai bila-bila, selagi UMNO tidak berubah, dan memegang teguh serta percaya dengan kata-kata 'dari dulu, kini dan selama-lamanya' sebagai keramat, selama itu segala nasihat, pandangan, teguran dan kritikan yang datangnya dari selain UMNO khususnya dari parti lawan dengan mudah dianggap sebagai fitnah dan bohong.
 
Hanya apabila Mahathir, mantan PM yang berkuasa lebih 22 tahun, yang juga mantan presiden UMNO, mengambil fakta dan maklumat yang sama dari Rafizi dan Tony Pua tentang 1MDB, barulah sesetengah ahli UMNO percaya. Mereka tidak kata sebagai bohong dan fitnah kerana yang berkata itu bekas PM dan presiden UMNO.

Lihat dan nilai siapa mereka. Perkara yang mulanya dikatakan fitnah dan bohong boleh saja bertukar menjadi yang benar dan hak. Hanya kerana Mahathir, bukan atas sifat perkara itu benar atau salah. Warna hitam menjadi putih jika Mahathir yang berkata begitu.
 
Akibatnya, sekarang UMNO sedang bergaduh sakan. Mahathir dan kumpulannya menyerang Najib dan kumpulannya. Mahathir kata serangannya itu demi  masa depan UMNO. Najib pun kata demi masa depan UMNO.
 
Pelik bukan? Jika masa depan UMNO yang mahu diselamatkan, mengapa mereka perlu bergaduh?
 
Maka sudah tentu ada kepentingan lain yang mahu diselamatkan. 
 
Menurut Mahathir, UMNO akan kalah kalau Najib terus jadi PM. Apabila UMNO kalah pemimpin UMNO akan diheret ke mahkamah. Ertinya termasuk Najib dan Mahthirlah.
 
Itulah sebenarnya yang mahu dielakkan, untuk terselamat dari siasatan dakwaan dan perbicaraan di mahkamah.
 
Itulah kepentingan mereka. Sama saja. Demi kepentingan UMNO itu sebenarnya bermaksud demi kepentingan diri mereka. Dari segi ini Najib dan Mahathir tiada berbeza.
 
Demi kepentingan Mahathir = demi kepentingan Najib. Dan dilebarkan lagi demi kepentingan geng-geng Mahathir = demi kepentingan geng-geng Najib.
 
Lihat sekarang, ahli-ahli geng masing-masing turut sama serang menyerang. Semua cerita ditabur dan selerakkan. Masing-masing pihak percaya merekalah yang baik dan pihak lain hodoh sedangkan cerita sebenarnya adalah semuanya hodoh. 
 
Kehodohan itu sudah lama diketahui oleh pihak lain dan sudah pun diberitahu. Tapi mereka (kedua-dua pihak) sebelum drama serang menyerang ini, kata semuanya fitnah pembangkang.

Tapi sekarang mereka mengesahkan apa yang pembangkang telah beritahu.

Kedua-dua pihak, Mahathir dan Najib sebenarnya telah melakukan salah guna kuasa yang menyebabkan kehilangan dan kerugian hasil negara, sebagai satu dari contoh.
 
Mereka yang mengesahkan perkara ini. Kesannya rakyat jadi sengsara.
 
Ikutilah drama serang menyerang ini. Bilangan yang terlibat sudah semakin bertambah. 

Kredit pada PR (minus PAS) khususnya Rafizi dan Tony Pua yang memulakan cerita.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan