Theflowersellingboy

Jumaat, 5 Jun 2015

Keputusan Pemilihan Kepimpinan PAS dalam Muktamar Kali 61: Harapan Saya




Tahniah kepada kepimpinan baru PAS yang telah dipilih oleh perwakilan parti tersebut pada Muktamar PAS yang ke 61 di Kuala Selangor. Kepimpinan baru PAS masih lagi diketuai oleh Tn Guru HadiAwang.
 
Saya mengikuti perkembangan parti PAS dan muktamar ini dengan penuh minat walaupun saya bukan ahli PAS. Dan saya pun bukan ahli mana-mana parti politik.
 
Sebelum PAS menjadi sebahagian dari PR, minat saya terhadap PAS adalah sambil lalu saja, setakat mahu tahu apa yang terjadi, tidak lebih dari itu. Tidak ada langsung ikatan emosi.
 
Bersatu ke PAS, berpecah ke PAS, berjaya ke PAS , kalah ke  PAS tidak langsung memberi kesan kepada perasaan saya.
 
Tapi tidak apabila PAS menjadi sebahagian dari PR kerana matlamat PAS bersama dengan PKR dan DAP adalah sama dengan apa yang saya harapkan iaitu bagi menggantikan sebuah kerajaan yang zalim, angkuh dan tidak amanah -Kerajaan BN.
 
Sebab itu keputusan yang diambil dalam muktamar PAS, khususnya yang sedang bersidang ini , amat mendebarkan saya. 
 
Berceraikah PAS dari PR?
 
Ada dua perkara yang menyebabkan soalan seperti itu timbul. Pertama perkembangan-perkembangan yang kurang menggalakkan   tentang perhubungan diantara PAS dengan PKR dan DAP. Perhubungan ini semakin hari semakin kurang selesa bahkan sudah retak khususnya dengan DAP.

Saya tidak mahu mengulangi apa yang sudah dimaklumi ramai yang menyebabkan perhubungan itu terjadi demikian, kerana masing-masing parti ada sahaja jawapan bagi membenarkan kedudukan pendiraian yang mereka ambil. Ego? Entah lah.

Perkara kedua, perkembangan dalam parti PAS itu sendiri. Penafian tidak boleh menenggelamkan realiti yang berlaku. Sebab banyak mata memandang apa yang berlalu, banyak telinga mendengar apa yang berlaku dan tidak kurang juga yang menyebarkan apa yang berlaku. Yang berlaku itu maksudnya yang benar-benar berlaku.
 
Kata-kata penafian dari parti atau pucuk pimpinan bahawa ada orang luar mahu melaga-lagakan dan memecah belah jemaah PAS adalah satu tindakan yang cuba memperkecilkan kemampuan daya fikir masyarakat khususnya dikalangan jemaah PAS dan mereka yang berminat dengan perkembangan PAS seperti saya. 

Sebenarnya PAS bergolak secara dalaman. Malang sekali pergolakan itu bercirikan kumpulan berasaskan latarbelakang ilmu/pendidikan. 

Dan muktamar ini juga berjalan mengikut arus kelompok itu. 
 
Lihat saja mereka yang bertanding. 
 
Ada dua senarai disediakan oleh pihak tertentu yang membariskan nama-nama mengikut kelompok tersebut. Paling mendukacitakan, dalam sebuah parti yang saya pandang tinggi dari segi adab dan sopan , terdapat perbuatan-perbuatan label melebel pada tahap yang boleh menjejaskan emej parti yang menjadikan Islam sebagai perjuangan.

Lihat saja aksi mengejek yang dilakukan walaupun katanya datang dari pemerhati. Tetapi dengan melaungkan Allah Hu Akbar pada seorang calun yang bertanding disamping menghentam calun yang lain adalah satu tindakan yang tidak adil, lagi memalukan.

Bukan kah PAS itu parti Islam?

Lihat dan dengar saja kata-kata dan ulasan oleh presiden. Tidak boleh dinafikan, ianya membawa kepada memihak ke satu pihak saja, dan amat keras kepada pihak yang menjadi pesaing. Saya tidak mahu percaya kata-kata yang tidak enak boleh keluar dari mulut presiden PAS. Tapi saya sudah dengar dan lihat.

Namun begitu, keputusan telah diketahui. Tepat sekali agakan saya bahawa kumpulan yang dikatakan menyokong ulama' (presiden yang mempetahankan jawatan) atau berpendidikan agama sapu bersih, menang bagi semua jawatan seperti yang terdapat dalam senarai yang disediakan, kecuali seorang dua saja.
 
Presiden yang menang masih menafikan tentang wujudnya dua kumpulan ini dengan memberi contoh seorang dua yang bukan berlatang belakangkan pendidikan agama menang. 
 
Tapi Tuan presiden, kata-kata tuan itu tidak akan mampu menumpul daya inteklek orang yang melihat, mendengar dan merasa. Jelas kemenangan pimpinan PAS kali ini adalah atas dasar kelompok. Ianya satu perancangan dan bukan kebetulan.
 
Saya tidak mempersoalkan pilihan perwakilan. Saya cuma kata pilihan ini banyak dipengaruhi oleh emosi dari mementingkan kemantapan pimpinan dan parti PAS itu sendiri.
 
Jangan pula ada yang mengatakan saya dan mereka yang bukan ahli PAS mahu masuk campur dalam urusan PAS. 

Saya hanya mahukan  agar pimpinan yang baru ini nanti akan tidak mengecewakan harapan saya untuk menumbangkan BN. Itu saja. Kalau itu mahu dikira sebagai masuk campur, tidak mengapa.
 
Saya bimbang harapan itu berkecai. Walaupun diulang beberapa kali bahawa PAS mahu bersama dengan PR, tapi gerak dan tanda yang diperlihatkan oleh sebahagian besar pimpinan baru ini, kecuali Timbalan Presiden (mengikut bacaan saya) adalah gerak dan tanda konfrantasi dengan PKR apatah lagi dengan DAP. Dan amat malang sekali , kepimpinan DAP menyahut dengan nada yang sama.
 
Ertinya presiden PAS dan kepimpinan DAP jika membawa gaya laku yang sama, PR tidak akan dapat berfungsi dengan baik dan berkesan bagi menumbangkan BN, kalaupun PR dikatakan tidak berpecah. 

Apakah cara kepimpinan Haji Hadi akan berubah? Adakah asas wala' masih lagi memimpin jemaah? Saya amat ragu-ragu. 
 
Apa yang saya lihat , apa yang saya dengar dan maklumat yang diterima ( sudah tentu saya menapis, bukan terima begitu saja) kepimpinan yang baru ini adalah kepimpinan yang eksklusif (orang-orang agamawan) dan bukan mementingkan kepelbagaian yang bersifat inklusif -kepelbagaian latarbelakang.
 
Mereka yang memberi pandangan yang berbeza walaupun untuk mengukuhkan parti sudah pun tersingkir. Yang ada bersama sekarang ialah para wala'an (perkataan saya dari terbitan perkataan wala') yang sentiasa sejalan dan satu suara dengan presiden, tidak kira dalam apa keadaan dan hal sekalipun.  

Namun begitu saya tetap ucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan yang baru. Doa saya ialah agar kepimpinan baru ini akan dapat membawa PAS terus bersama dengan PKR dan DAP dengan matlamat baggi menjatuhkan kerajaan yang zalim, angkuh dan tidak amanah.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan