Theflowersellingboy

Selasa, 30 Jun 2015

Anwar Yang Degil.




Rupanya hari ini sudah 142 hari Anwar Ibrahim dalam penjara. Khabarnya kesihatannya menurun.
 
Apapun kesalahan yang telah disabitkan keatasnya, dan apa pun pendirian orang lain keatas hukuman itu yang mungkin tidak sama dengan pendirian saya, saya tidak dapat melepaskan diri dari bersimpati terhadapnya, sekali gus kepada keluarganya. Apatah lagi ketika umat Islam menjalani ibadat berpuasa.

Pendirian saya dan kepercayan saya terhadap kes Anwar ini semenjak kes pertama sehingga kes kedua adalah tetap teguh tidak berganjak.  IANYA KES  POLITIK.
 
Saya tidak akan membicarakan disini asas keyakinan saya itu. Cukup sekadar menyatakan bahawa apabila ada sedikit keraguan dalam hujahan pendakwaan walau sebesar zarah sekalipun, dakwaan sudah cacat. Kes tergugur dengan sendirinya. Apatah lagi banyak keraguan yang telah dapat dikesan.

Khabarnya kesihatan beliau semakin menurun. Sudah tentu ianya membimbangkan ahli keluarga dan mereka yang bersimpati terhadapnya termasuklah saya. Saya hanya dapat mendoakan agar kesihatannya akan bertambah baik , mudah-mudahan. Amin.
 
Bagi saya Anwar seorang yang sangat 'degil'. Beliau telah memilih satu jalan yang penuh dengan onak duri dan sanggup menghadapi ancaman dari pihak yang ada kuasa. 
 
Jalan keluar yang mudah terbuka luas, yang menyediakan hidup 'bebas', dan mewah yang ditawarkan telah di ketepikan, sebaliknya memilih jalan yang akhirnya membawa beliau ke penjara.  
 
Itulah karekter seorang yang sangat degil yang mensia-sakan peluang sedemikian rupa. 
 
Kenapa Anwar tidak barang sejenak memikirkan bahawa jika perjuangan itu menghadapi ancaman yang amat ketara sehingga boleh terperosok dalam penjara, apa faedahnya diteruskan?
 
Apakah kerana mahu menjaga nama baik dan maruah diri mempertahankan yang hak dan menentang yang batil? Yang semua orang lantang bercakap mengenainya, dan yang belum tentu melakukannya?
 
Benar, mempertahankan yang hak dan menentang yang batil adalah perintah yang datangnya dari Allah. Itulah yang perlu dilakukan apatah lagi mahu jadi pemimpin. Sementelah sudah menjadi seorang pemimpin rakyat.
 
Saya tidak tahu jawapan dari Anwar. Yang saya nampak , beliau terus memperjuangkan keadilan untuk rakyat yang tertindas walaupun ancaman itu sentiasa ada.
 
Beliau memilih penjara?  Mungkin itu yang dikatakan oleh sesetengah pihak.
 
Saya tidak bersetuju dengan jawapan seperti itu kerana orang yang tidak rasional saja akan berfikir seperti itu.
 
Bagi saya jika ada jawapan seperti itu, ianya datang dari pihak yang ada kuasa yang berupa satu ancaman. Saya anggap,  itu adalah jawapan dari orang yang pengecut dan penakut, orang yang suka mengancam menggunakan kuasa.  
 
Seolah-olah dengan menyebut hukuman penjara itu, ianya boleh membuatkan Anwar berfikir sejenak, dan jika rasa bimbang dan takut mula meresap dalam fikirannya, mereka mengharapkan Anwar akan berundur dari menjuarai keadilan kepada rakyat. 

Tidak. Anwar manusia degil. Apa ada pada ancaman masuk penjara, katanya.

Secara sinis sekarang ini ada pihak yang mengatakan, "Padan muka kau Anwar. Sekarang dah teruk sakit. Kalau tidak melawan , sudah tentu kau bebas dan hidup senang".
 
Saya percaya Anwar tersenyum mendengar kata-kata seperti itu kerana 'bebas' bagi Anwar tidak sama harganya dengan 'bebas' yang mahu dikecapi oleh pihak yang berkata itu.

#Lawan Tetap Lawan - Anwar yang degil.
 
Sebab itu Anwar sekarang dalam penjara.






 
 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan