Theflowersellingboy

Khamis, 18 Jun 2015

Langit Yang Mendung Membantu Saya Ketika Melakukan Kerja.




Alhamdulillah, hari pertama puasa berjalan dengan baik. Saya tidak bermaksud dari segi berjaya menahan lapar dan segala yang berkaitan dengan kepuasan hawa nafsu yang dilarang semasa berpuasa. 
 
Berjalan baik bermaksud, disamping berpuasa Allah memberikan sedikit kudrat kepada saya untuk membuat kerja membersih kawasan rumah, menyapu sampah dan memesin rumput.
 
Berpeluh lencun dibuatnya. Basah seperti ditimpa akhir hujan lebat trek sut dan baju lengan panjang dan cap saya.
 
Selepas menghantar anak ke stesyen bas untuk ke KLIA bagi penerbangan ke Kota Baru pada sebelah pagi pukul 8, saya kuatkan hati untuk melakukan kerja memesin rumput, bagi menyambung kerja semalam yang belum selesai.
 
Cuaca pagi ini agak mendung, tapi tiada hujan. Ianya sangat baik bagi melakukan kerja diruang terbuka kerana tiada panahan matahari. 
 
Kerja memesin rumput yang berbaki semalam tidak lah banyak. Dengan itu ianya mengambil masa tidak lebih dari setengah jam. 
 
Habis saja memesin rumput, saya beralih kepada kerja menyapu dan membuang sampah dihalaman rumah. Sampah terlalu banyak terutamanya daun-daun kering dari pokok-pokok disekitar kawasan rumah. Apatah lagi sekarang ini musim angin bertiup kencang, menyebabkan banyak daun-daun  kering  gugur dan memenuhi halaman dan kawasan rumah.
 
Sesekali langit mula cerah. Matahari mula kelihatan dan menerangi bumi. Saya mula resah kerana khuatir tidak akan dapat meneruskan kerja. Saya tidak mampu bertahan bekerja dengan panahan matahari yang terik.
 
Namun begitu, awan mendung masih lagi bersimpati pada saya dengan kembali semula menutup pancaran matahari. Saya mula melakukan kerja dengan lebih cepat lagi.
 
Tapi, langit tidak sentiasa cerah. Langit juga tidak sentiasa mendung. Cerah dan mendung silih berganti mengambil tempat. 
 
Ketika langit mendung, saya menafatkan untuk melakukan kerja pembersihan kawasan luar rumah. Dan semasa langit cerah, saya terpaksa mengaku kalah dan mencari tempat berlindung dari panahan cahaya matahari. Dan jika matahari masih lagi mencerahkan bumi, saya akan berhenti dari kerja membersih kawasan luar rumah.
 
Begitulah sedikit kisah dihari pertama bulan Ramadhan. 
 
Bahawa tidak semua yang dikatakan mendung itu tidak memberi menfaat; begitu juga langit yang cerah dengan suluhan terang benderang dari sang matahari itu, ada ketikanya menjadi penghalang kepada kerja yang hendak dilakukan.
 
Langit yang mendung mahupun yang cerah adalah pemberian Allah yang sepatutnya kita redhai kehadirannya. Hidup kita yang susah dan miskin mahupun kaya berharta, wajar juga kita redhai. Cuma pandai-pandailah kita gunakan 'akal fikiran yang dikurniakan Allah bagi mendapatkan yang terbaik. 
 
Jika kita miskin, bekerja kuatlah untuk menjadi orang kaya. Jika kita kaya, bantulah orang miskin yang memerlukan. 
 
Begitulah sepatutnya yang perlu kita faham akan maksud langit itu tidak perlu sentiasa cerah kerana kadang-kadang mendung juga perlu mengambil tempat, kerana mendung itu juga amat memberi menfaat, seperti saya perlukan ketika membuat kerja diluar rumah.
 
Selamat meneruskan puasa dengan penuh keredhaan walau apapun keadaan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan