Theflowersellingboy

Jumaat, 12 Jun 2015

Saya Naik Meluat dan Muak Fasal Bahasa Melayu Membuatkan Penguasaan Bahasa Inggeris Menurun.




Timbul lagi soal penggunaan bahasa di sekolah/pusat pengajian seolah-olah keputusan yang dibuat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan kebangsaan telah memberi kesan yang buruk kepada negara dan rakyat.

Antara kesan buruk yang selalu diperkatakan ialah gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Dan yang terbaru, membuatkan rakyat hidup asing mengasing berdasarkan kelompok kaum. Maknanya tiada perpaduan.

Saya sudah naik muak dan meluat tentang perkara ini. Bahasa menjadi mangsa, bukan pelaksana dan pengguna bahasa .

Saya bersekolah rendah melayu kampong yang hanya belajar bahasa Inggeris ketika darjah enam. Apabila berjaya dalam peperiksaan masuk sekolah menengah, guru bahasa Inggeris tanya apakah pilihan saya, aliran melayu atau inggeris.

Saya tidak menjawab walaupun dalam hati aliran Inggeris adalah yang saya mahukan. Tapi saya tahu bapa tidak bersetuju kerana katanya belanja mahal. Dia tidak mampu.

Faham mesej saya diatas? Mesejnya ialah bahawa jika semua pihak mendapat capaian yang sama dan adil untuk mendapatkan pembelajaran bahasa inggeris, tidak akan timbul menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar disekolah boleh memberi kesan yang buruk kepada penguasaan bahasa inggeris dan perpaduan masyarakat.

Kerajaan mesti mengambil peranan utama dari segi mengadakan capaian yang sama dan adil bagi semua rakyat tanpa ambil kira kaum, tahap ekonomi, kedudukan dan tempat tinggal mereka.

Apapun pilihan yang dibuat, melayu atau pun inggeris yang pentingnya ialah kesungguhan dan azam bagi menguasai bahasa-bahasa itu. Apa pun bahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan sama ada melayu mahupun inggeris, ianya tidak menghalang kita untuk menguasai bahasa-bahasa itu.

Jadi jangan salahkan bahasa. Salahkan pelaksana dan sikap dan pendirian pengguna.

Dari pengalaman dan rekod yang ditunjukkan, sebenarnya pelaksana tidak ada kesungguhan dalam menentukan bahasa inggeris dikuasai dengan baik. 

Bukan saja pelajar dan lepasan pelajar perlu menguasai bahasa inggeris dengan baik (petah dan mahir dalam penggunaan bahasa inggeris itu), bahasa itu mestilah sekurang-kurangnya dapat difahami meliputi semua lapisan rakyat tanpa mengira tempat tinggal, tahap ekonomi, kedudukan dalam masyarakat dan keturunan.

Maknanya jangan ada sedikitpun perbezaan dari segi peluang, ruang dan capaian untuk mendapat pembelajaran dalam bahasa inggeris.

Apa yang telah dan sedang berlaku?

Pelaksana tidak ada kesungguhan. Bahkan banyak yang hipokrit.  

Lihat saja sekolah luar bandar berbanding dengan  bandar. Sekolah luar bandar terlalu menyedihkan dalam segala segi. Guru yang mengajar bahasa inggeris sendiri tidak menguasai bahasa itu, bahkan tidak dilatih dalam bahasa itu. Bagaimana untuk menguasai bahasa inggeris?

Sebahagian besar pelajar dan lepasan institusi pendidikan yang lemah bahasa Inggeris adalah pelajar melayu dan bumiputera. Mereka ini orang susah tidak mempunyai peluang , ruang dan capaian yang baik dari segi bahasa inggeris berbanding dengan yang tinggal dibandar. 

Sebaliknya pelajar bukan melayu yang mengikuti pembelajaran dalam bahasa yang sama, iaitu bahasa melayu dapat menguasai bahasa inggeris dengan lebih baik. (sudah tentu bukan semua). Sebab capaian mereka untuk pembelajaran bahasa inggeris adalah mudah dan lebih luas.

Jadi jangan salahkan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar dalam sisitem pendidikan yang membuatkan penguasaan bahasa inggeris menurun.

Tunjukkan kesungguhan. Buat dan jangan cakap saja untuk meningkatkan penguasaan bahasa inggeris. 

Percayalah kepada bahasa Melayu. Usaha dengan penuh keinsafan dan berlaku adil kepada semua dalam menyedia dan menyampaikan   pelajaran bahasa inggeris.

Jangan hipokrit mengatakan bahasa melayu itu dimertabatkan sedangkan anak belajar di luar negara. Sebab itu bahasa inggeris disekolah kebangsaan tidak diberi perhatian yang sewajarnya.

Sikap pelajar dan orang ramai juga perlu diubah/berubah. Berusaha dan kerja kuat bagi menguasai bahasa inggeris. Jika pelaksana bersungguh-sungguh untuk meningkatkan mutu pembelajaran bahasa inggeris, kita juga mesti menyambutnya dengan lebih bersungguh lagi.

Jika syarat lulus bahasa inggeris diwajibkan bagi mendapat sijil, kita perlu terima bagi menguatkan azam kita mempertingkatkan penguasaan bahasa inggeris. Bagi saya, syarat lulus  tidak mencukupi, sepatutnya lulus dengan kepujian, dengan syarat peluang yang sama kepada semua disediakan oleh pelaksana.

Oleh itu jangan bangkitkan lagi tentang pengantar bahasa melayu menyebabkan lemah berbahasa inggeris. Itu adalah hujah orang hipokrit.

Jika mahu juga kata begitu, saya cadangkan hapuskan aliran bahasa melayu dan ganti dengan aliran bahasa inggeris dalam semua mata pelajaran, bukan sains dan matematik saja. Dengan syarat semua orang dapat peluang yang sama.

Jika ini dipersetujui, pindalah perlembagaan kerana amat memalukan lagi hina jika bahasa melayu masih lagi dikatakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Dan jangan lagi gunakan melayu sebagai cara untuk mendapat kedudukan.
 
Dan jangan hipokrit.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan