Theflowersellingboy

Jumaat, 3 Julai 2015

Cara-cara Najib Mengumpul Markah (points)




Najib sekarang ini sedang mengumpul markah (points). Kerja mengumpul markah/points ini adalah terlalu penting bagi meningkatkan populariti dan keyakinan rakyat kepada kepimpinannya, sekaligus kekal sebagai perdana menteri malaysia.

Semua sedia maklum bahawa kepimpinan Najib sekarang ini diserang hebat. 

Najib berdepan dengan serangan pembangkang dan mereka yang menyokong pembangkang.

Najib juga berdepan dengan serangan dalaman, dari ahli BN dan UMNO.

Serangan-serangan ini menjejaskan nama baik dan keyakinan terhadap  kerajaan dan kepimpinan Najib sendiri. Populariti Najib menurun. Prestasi kerajaan juga terjejas jika diukur dari segi kos sara hidup yang meningkat , prestasi pasaran saham yang lemah dan nilai ringgit yang terus menurun.

Bagaimanakah cara Najib berdepan dengan serangan-serangan itu? 

Apapun cara yang digunakan, matlamat Najib ialah untuk memulihkan ranking dirinya dengan mendapatkan sebanyak boleh orang menyokongnya, sekaligus memperbaikki keyakinan terhadap kerajaan yang dipimpinnya.

Bagi Najib, serangan pembangkang adalah perkara biasa. Najib dengan mudah menepiskannya, cukup dengan berkata, misalnya 'mana ada pembangkang yang bersetuju dengan kerajaan melainkan buat fitnah saja'.

Jangan tidak percaya bahawa ada ramai juga yang percaya dengan ayat-ayat seperti itu. Majoriti mereka itu adalah orang Melayu dalam UMNO.

Juak-juak dalam BN apatah lagi UMNO akan memperluaskan liputan ayat-ayat tersebut melalui berbagai saluran sebaran yang dikuasai oleh politik, dan tidak kecuali milikan kerajaan.

Sebab itu Najib tidak bimbang sangat dengan serangan pembangkang ini. Ianya tidak mengurangkan sokongan dari BN khususnya ahli UMNO itu sendiri. Bahkan serangan pembangkang mengukuhkan lagi sokongan ahli BN dan UMNO terhadap Najib.

Malah Najib mengambl langkah menambahkan sokongan dari luar ahli parti termasuk parti lawan.

Beliau menghuruharakan PR dengan bersetuju PAS membawa Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan Hudud untuk dibentang di sidang Parlimen.

DAP menentang Hudud. PKR walaupun tidak menentang tetapi mengambil pendekatan mengutamakan hal-hal berkaitan dengan keadilan sosial berbanding Hudud.

Najib mengambil kesempatan senario dalam PR ini. Beliau menggunakan hudud yang diperjuangkan PAS untuk menimbulkan keributan dan pergaduhan diantara PAS dengan DAP dan PKR.

Najib berjaya. 

Pertama, Rang itu diluluskan di DUN Kelantan dengan sokongan UMNO, dan dibawa ke Parlimen. Tapi tidak berjaya dibentangkan di Parlimen atas alasan hal-hal kerajaan masih banyak yang perlu diselesaikan dan mesti didahulukan.  

Najib telah memenagi hati ahli PAS khususnya Presiden PAS walaupun Rang itu gagal dibentangkan. 

Kedua, PAS, khususnya Presiden dan barisan pimpinan yang dipanggil ulama telah berperang dengan DAP, dan memutuskan hubungan dengan DAP. Akibatnya PR berpecah, dan terkubur.

Ketiga, rakyat yang menyokong PR dan menaruh harapan yang amat tinggi bagi menggantikan UMNO menerajui kerajaan telah mula sangsi akan kemampuan pembangkang untuk memerintah. 
 
Najib sudah tersenyum lebar. Tanda-tanda sokongan sudah bertambah. Perpecahan dikalangan lawan telah berlaku.

Sebab itu apabila isu 1MDB dibangkitkan oleh ahli Parlimen PKR dan DAP, ianya tidak mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi penyokong Najib untuk berpaling tadah. 

Begitu juga dengan isu GST dan penghapusan subsidi minyak yang antara penyebab kenaikan kos sara hidup; dan peningkatan hutang negara, rasuah dan salahgunakuasa waimah kes Altantuya tidak mampu menjatuhkan Najib hanya kerana yang membangkitkan isu-isu itu adalah pembangkang.

'Kerja pembangkang adalah membuat fitnah', begitu pantas jentera UMNO/BN memberi respons.

Bagaimana Najib berdepan dengan serangan dari ahli parti agar sokongannya tidak berkurangan?

Bagi ahli-ahli UMNO mereka ada cara dalam mengurus dan menyelesaikan sesuatu masalah yang tidak mudah dibuat keputusan.

"Kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya". Itulah falsafah yang dipegang dari dulu, sekarang dan sehingga mati.

Falsafah ini bukan falsafah zaman Najib saja. Ini falsafah UMNO yang digunapakai bagi semua zaman semenjak dari mula merdeka. Mungkin akan diteruskan sehingga mati.

Falsafah itu, dari segi maksud dan kekuatan operasinya terangkum dalam satu perkataan iaitu BOSS. Najib adalah BOSS. Apa kata boss itulah kata juak-juak.

Sebagai Boss, Najib boleh memanggil dan mengumpulkan ahli-ahli UMNO untuk menyatakan mereka sayang Najib. Najib perlu kekal. Apa yang diputuskan Najib perlu disokong.

Boss ada segala-galanya ke arah mendapat sokongan itu.

Lihat bagaimana Najib mendapat sokongan dari ahli kabinetnya dalam kes 1MDB dengan hanya menyatakan bahawa sesiapa yang tidak bersama dengannya, dipersilakan menyatakan sedemikian.

Semuanya mahu bersama dengan Najib. Sebab Najib adalah BOSS.

Namun begitu apabila Mahathir yang juga  ahli UMNO, yang dulunya berpegang kuat dengan falsafah itu, telah mencemarkan kemulian falsafah itu dengan berani dan lantang bersoal jawab dengan Najib , sebagai boss.

Dua soalan yang paling popular telah ditanyakan kepada Najib:

i) Mana hilangnya wang 1MDB sebanyak RM 42 billion?
ii) Siapa arah bunuh Altantuya?

Soalan-soalan itu sebenarnya telah lebih awal ditanya dan dibangkitkan oleh pembangkang. Tapi ada Najib heran?

Soalan dari Mahathir ini membuatkan Najib menjadi kelu untuk berkata walaupun   Najib ketika ini adalah juga boss Mahathir. Dan Mahathir pula pernah menjadi Boss Najib.
 
Mungkin habuk-habuk kuasa (boss) masih melekat dalam hati Mahathir.

Bagi Najib yang penting dia dapat sokongan. Namun 'kacauganggu' Mahathir ini, jika tidak diuruskan dengan baik boleh menjejaskan sokongan terhadapnya.

Namun begitu apabila berlaku penangkapan seorang bekas pekerja Petro Saudi International yang bernama Justo,  atas dakwaan mengugut PSI berkaitan dengan pendedahan maklumat urusniaga PSI dengan 1MDB, Najib dan segala jenteranya dengan cepat mengambil kesempatan menyatakan bahawa maklumat yang didedahkan oleh Justo itu tidak betul.

1MDB tidak ada masalah, itu mesej yang Najib mahu beritahu.

Masih terlalu awal untuk menyatakan penangkapan Justo itu mempengaruhi kepercayaan orang untuk menyebelahi Najib.

Najib juga menambah penyokongnya melalui tindakan yang berbentuk populis walaupun boleh memalukan menterinya sendiri. Misalnya dalam kes tempoh operasi restoran mamak 24 jam. Keputusan menteri memendekkan tempoh operasi telah diputuskan sebaliknya dengan mengekal tempoh itu.

Satu lagi tindakan atau keputusan yang dibuat bagi menambahkan sokongan ialah bersetuju Anwar yamg sekarang dalam penjara, diberikan rawatan kesihatan yang diperlukan.

Sudah tentu mereka yang lembut hati terutama orang Melayu melihat ini satu perkara yang baik yang ditunjukkan oleh Najib.  Dan penyokong PKR sedikit sebanyak akan terkesan dengan budi baik Najib ini.

Tapi sekarang ini timbul pula isu pembelian aset oleh MARA di Melbourne dan berbagai tempat yang didakwa ada yang tidak kena. Isu ini sudah tentu menjejaskan nama baik Najib.

Mujur, pengerusi MARA mengatakan Najib tidak terlibat dalam pembelian aset itu.

Begitulah cara Najib mengumpulkan points itu menambahkan lagi penyokong dan seterusnya keyakinan rakyat kepadanya untuk kekal sebagai PM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan