Theflowersellingboy

Isnin, 25 Mei 2015

Ketentuan Allah dan Usaha Manusia




"Tahniah. Jaga anak baik-baik", itulah kata-kata dalam whatsapp saya sebaik mendapat berita kelahiran cucu yabg ke 5. "InsyaAllah", whatsapp balas yang diterima dari anak lelaki saya Lukman Hakim.
 
Kemudian fikiran saya melayang ke masa yang lepas, semasa menunggu kelahiran anak yang pertama di Hospital Kuala Lumpur. Betapa rumitnya waktu itu saya hendak membuat keputusan apabila doktor menyatakan isteri saya tidak dapat melahirkan anak secara normal, pembedahan perlu dilakukan.
 
Tiada siapa tempat saya  merujuk untuk mendapat apa-apa pandangan yang boleh membantu saya membuat keputusan. Tambahan ketika itu tidak ada talipon tangan sebagai alat perhubungan untuk menghubungi orang yang berjauhan. 
 
Saya kena buat keputusan sendiri. Bakal seorang bapa, tidak perlu takut buat keputusan. Mesti tunjukkan kekuatan dan keberanian di hadapan isteri.....seorang isteri yang menghadapi risiko hidup atau mati berjuang dan berkurban untuk melahirkan anak.
 
"Pa, bukak masih lagi 1cm", anak saya Lukman talipon dari Hospital Annisa', Kota baru. 
 
Saya bimbang tapi buat bertenang. Sudah masuk hari kedua, menantu saya, Sarah Hanis dimasukkan ke hospital dan telah diberi ubat ransangan untuk melahirkan anak (induce), tapi laluan untuk melahirkan anak masih lagi 1cm.
 
"Man, operate sajalah . Kesian kat Sarah menahan sakit. Selamatkan baby dan emaknya", saya memberi nasihat sebelum anak saya itu minta nasihat. 
 
Sememangnya anak saya itu mahu buat keputusan yang saya cadangkan itu. Dia hanya mahu mendapat pandangan kedua, mungkin untuk mendapat kekuatan bagi membuat keputusan. Doktor masih lagi memberi peluang melahirkan anak secara normal, disamping mencadangkan option pembedahan (caesarean).    
 
Lukman menandatangani dokumen membenarkan caesarean dilakukan.
 
Dengan berat hati saya buat keputusan dan menandatangi dokumen membenarkan doktor melakukan caesarean. Keputusan itu atas dasar menyelamatkan isteri dan anak dalam kandungan kerana doktor menyatakan hanya itu saja jalan yang ada, tiada pilihan.
 
Sesungguhnya saya tidak memikirkan kesan yang lain, terutama tentang peluang untuk mengembangkan zuriat. Hanya setelah beberapa ketika saya difahamkan, caesarean ini hanya boleh berlaku dua kali saja. Selepas itu rahim peranakan akan diikat. 
 
Ertinya saya akan hanya boleh mendapat dua anak orang saja. Saya merasa sedih.

Anak pertama saya itu anak lelaki.

Setahun selepas itu isteri saya melahirkan anak kedua. 
 
Sebelum itu, saya dan isteri mengharapkan kelahiran kedua ini adalah kelahiran yang normal. Namun begitu, perasaan bimbang tetap mengganggu fikiran kami.
 
Apabila saja beg air isteri pecah dan air keluar, dengan segera saya bawa isteri ke hospital.
 
Tunggu punya tunggu, saya tidak ingat berapa lama, tapi memang lama, sama seperti sinario anak yang pertama, muncul seorang doktor mengatakan isteri tidak boleh melahirkan anak secara normal kerana rangka isteri terlalu kecil untuk boleh membuka untuk memudahkan kelahiran.
 
Saya benar-benar sedih. Sahlah bahawa saya akan  hanya ada dua orang anak. Anak kedua lelaki juga.

Saya diberitahu, saya tidak pasti sama ada doktor atau kawan-kawan, caesarean hanya boleh dilakukan dua kali saja. Kali ketiga boleh tapi risikonya amat tinggi.

Maka saya kena terima nasihat itu, dan saya anggap ianya sebagai takdir.
 
Masa berlalu, tahun berganti, dua orang anak saya itu membesar. Itulah rezki kami, dikurniakan dua orang anak lelaki.
 
Allah maha mengetahui dan perancang yang sebaik-baiknya. Selang tujuh tahun, isteri saya mengandung.
 
Kami sungguh gembira tapi cemas. Gembira kerana bakal mendapat seorang anak lagi, cemas dalam menghadapi risiko yang diperkatakan oleh banyak orang.
 
Namun begitu, kami agak bertuah dan bernasib baik kerana kami ada seorang nenek (nenek isteri saya yang dipanggil sebagai emak kerana den membelanya), yang tinggal dirumah kami menjaga dua cicit-cicitnya.
 
Dialah yang memberi kekuatan kepada kami berdua dengan keyakinan yang tidak goyah tentang takdir. Katanya, kalau takdir mengatakan kita mati cara itu, apa pun kita buat kita mati juga. Beliau seterusnya memberi keyakinan bahawa beliau telah melahirkan banyak anak, disambut oleh bidan kampong saja, semuanya selamat.
 
Bidan kampong. Semuanya selamat.
 
Keyakinan kami sedikit bertambah. 
 
Saya masih lagi bimbang kerana semasa isteri membuat pemeriksaan ibu mengandung, pihak klinik mengingatkan kami bahawa kelahiran hanya secara caesarean, dan ada risiko.
 
Kelahiran secara caesarean membawa makna isteri saya hanya boleh melahirkan anak di hospital, tidak boleh melahirkan anak dirumah, dengan disambut oleh bidan kampong. Sebab risikonya tinggi.
 
Klinik/hospital tempat pemeriksaan itu adalah hospital kerajaan. Untuk mengelakkan kelahiran caesarean yang akan dilakukan oleh doktor hospital kerajaan, kami berpendapat hospital swasta akan sanggup membenarkan/memberi peluang (memberi masa labih lama) isteri saya melahirkan secara normal.
 
Maka kami ke hospital pantai di Lembah Pantai. Saya tahu kosnya tinggi tidak sepadan dengan pendapatan saya yang kecil, tapi demi memberi peluang isteri melahirkan secara normal, dengan harapan selamat, kami merujuk doktor hospital swasta.
 
Kami percaya mereka sanggup melakukannya. Lagipun ianya bukan percuma.
 
Sedih. Jawapan yang kami terima ialah isteri mesti melalui caesarean. Ianya terlalu bahaya sebab sudah dua kali caesarean. Bahkan doktor itu menasihatkan isteri melahirkan anak di hospital kerajaan kerana mempunyai alat kelengkapan yang cukup dan baik.
 
Maka putuslah harapan kami? Tidak.

Nenek mencadangkan agar isteri beranak dirumah saja dengan bidan yang didatangkan dari kampong, dari Pekan Pahang. Pada ketika inilah dia mengatakan hidup dan mati ditentukan Allah, kita berdoa dan berserah saja.

Saya bersetuju. Dan sudah tentu isteri ikut saja keputusan saya. Tapi saya masih juga bimbang tentang keselamatan isteri dan anak yang dikandungnya.

Dalam beberapa bulan sebelum jangkaan tarikh kelahiran, saya telah mendapatkan berbagai pandangan dari kawan-kawan satu pejabat bagaimana memdahkan isteri melahirkan anak.

Maka seorang kawan memberitahu saya amallah membaca surat alam nashrah, ianya akan memudahkan. Bahkan kawan ini memberikan 'ijazahnya' (ketika itu saya tidak faham maksud ijazah itu. Ijazah itu rupanya semacam satu tauliah) setelah saya berseyuju untuk mengamalkan apa yang diminta.
 
Kawan itu juga meminta saja berjumpa dengan seseorang yang alim, yang sentiasa berzikir waktu malam, di Bangsar, untuk meminta air selusuh. Air selusuh ini untuk diminum oleh isteri semasa ada tanda-tanda mahu melahirkan anak, bagi memudahkan laluan peranakan.

Apa saja nasihat yang boleh membantu isteri saya melahirkan anak dengan selamat saya tidak akan soal rasionalnya, saya terima sepenuhnya.

Akhirnya dengan izin Allah isteri saya berjaya melahirkan anak ketiga, disambut oleh bidan kampong dari Pekan Pahang, dirumah saya di Syeksen 11 Shah Alam. Kami dikurniakan seorang puteri.

Kami semua tersenyum dan bersyukur kehadrat Allah SWT.

Anak saya tiga orang seterusnya juga dilahirkan secara normal, menjadikan enam semuanya.

Tapi, gembira dan duka, senang dan susah, adalah asam garam sebuah kehidupan. 
 
Sesungguhnya Allah saja yang maha mengetahui akan setiap sesuatu. Dua orang anak lelaki yang dilahirkan secara caesarean itu telah lebih awal menemui Allah. Anak pertama ketika berusia memasuki tujuh tahun dan anak kedua ketiga di  tahun tiga disebuah IPT awam. Inna lillah wainna ilaihi raji'uun.
 
Begitulah, dua orang anak yang dilahirkan secara caesarean yang amat menekan saya ketika hendak membuat keputusan, telah lebih awal menemui Allah pada usia muda.
 
Kalaulah, rahim peranakan isteri saya diikat selepas anak yang kedua, dan dengan pemergian  awal mereka menemui Allah, ketika ini mungkin saya tiada anak dan tiada cucu. Tapi perancang Allah dan kehendaknya  diluar jangkauan fikiran manusia.  

Doa saya dan sedekah fatihah saya kepada arwah nenek yang begitu kuat hatinya dalam menghadapi risiko ketika isteri melahirkan anak, kepada arwah bidan Mariam, kepada arwah ibu mertua yang bersama-sama menghadapi saat yang menduga itu, kepada kawan-kawan satu pejabat dan arwah pakcik Md Nor dari Bangsar, semoga mereka yang telah pergi awal dimasukkan dikalangan orang-orang yang dicucuri rahmat, dan yang masih ada didunia diberikan kesihatan.
 
Alfatihah.
 
TINGGAL KENANGAN



Yang kiri adik dan kanan abang di Lake Garden Kuala Lumpur (sekarang tiada lagi)

Kiri adik dan kanan abang dirumah Damansara Utama

Bermain air di pantai Morib bersama abang,


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
    

 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan