Theflowersellingboy

Ahad, 10 Mei 2015

Nota Cinta: "Demi Cinta, Kanda Sanggup Berkorban Untuk Mu Darling. Kita Jumpa Di syurga" Tengku Hussin kepada Wan Marina Bistari




Di tepian sebuah pantai dengan disaksikan sang angin yang mendinginkan suasana beserta ombak yang membukit dan melurah membadai pantai maka  termatrilah satu ikatan  ikrar cinta dua pasangan kekasih.


Wan Marina Dayang Bistari yang lebih mesra dipanggil 1mdb dan Tengku Hussin yang mahu dipanggil th saja telah menjalinkan cinta dan kasih sayang.  Seluruh jiwa dan raga mereka bersatu demi masa depan.

"Demi sayang dan cinta ku padamu...." th memulakan ikrar janji dengan suara yang agak bergetar tapi penuh belaian kasih sayang dan kesungguhan, "...kanda akan buat apa saja....apa saja . Jiwa ini sanggup berkorban, ke laut api sekalipun kanda sanggup berenang, demi dinda yang kanda cinta".

1mdb yang berwajah suram memandang tepat wajah th, cuba membaca mimik dan warna muka yang terhasil dari kata-kata janji yang dilafazkan oleh th,  adakah sebenarnya satu ikrar dan janji yang akan ditepati. Tapi getaran suara th adalah saksi yang boleh dipercayai bahawa sebenarnya th menyayanginya sepenuh jiwa.

1mdb mengukir senyum. Hilang lenyaplah wajah yang muram itu tadi.

Sebenarnya th bukanlah kekasih pertama 1mdb.  Dia telah banyak menjalinkan kasih sayang. Dia pernah bercinta dengan anak pakcik pencen jiran sebelah rumahnya yang bernama Kesatria Wira Anak Panglima dengan panggilan manja kwap, yang berasal dari Sabah.  

Banyak lagi bekas kekasihnya. Bagi 1mdb dia tidak memilih kekasih atas dasar warna kulit, bangsa, agama mahupun budi bahasa. Siapa saja boleh menjadi kekasihnya asalkan kekasihnya ada 'fulus', ada wang, dan sanggup berkongsi wang dengannya.

"Begitulah sayang...bukankah memberi senyuman itu satu pahala, ubat yang menyegarkan kehidupan?" th memegang erat kedua-dua tangan 1mdb. Dia mahu meyakinkan lagi bahawa itulah janji dari kekasih yang sanggup sehidup semati.

"Tapi kanda.....", suara 1mdb perlahan dan agak terketar-ketar. Dia tidak mampu  meneruskan kata-kata. Dia bimbang kasih sayang yang baru saja sebentar diikat erat akan terungkai dan berkecai dengan sekelip mata saja.

Tapi mahu tidak mahu niat dihati mesti juga disampaikan. Ini masa depannya, hidup dan matinya amat bergantung kepada hal yang hendak disampaikan.

1mdb memandang dengan tepat wajah th. Dia yakin dengan cinta ikhlas th. th akan sanggup berkorban demi cinta. 

Tapi 1mdb agak lambat sedikit membuka mulut. Ruang itu telah secara pantas diambil alih oleh th. Kesekian kalinya th mahu meyakinkan cinta dan kasih sayangnya kepada 1mdb. Apa ertinya cinta tanpa pengorbanan.

" Apa dia dinda, katakanlah, kanda sedia mendengarnya. Katakan apa saja", th tidak sabar untuk mengetahui isi hati kekasihnya itu. 

Kata-kata th itu memberi kekuatan kepada 1mdb untuk berani menyuarakan hasrat yang tersimpan didalam sanubari. Lagipun ini bukan kali pertama. Semasa memadu cinta dengan kwap, hasrat yang sama disampaikan. Begitu juga dengan bekas-bekas kekasihnya yang lain. Semuanya ok, tidak ada masalah.

 "Ohh kanda, sesungguhnya kandalah seorang kekasih yang amat baik", 1mdb mencium nipis pipi th. Hati th sudah cair.

"Apa dia dinda, katakanlah apa saja", kata th semacam tidak mampu menanggung berat badannya yang berisi itu. Tapi dia seorang lelaki. Dia mesti tunjuk yang dia seorang lelaki yang mampu berdiri. Apatah lagi kekasihnya 1mdb berbicara sambil berdiri.

"Dinda perlukan wang. Dinda tidak menghadapi masalah wang. Aset dinda banyak, nilainya lebih dari wang yang dinda perlukan", suara 1mdb jelas dan terang, tidak terketar-ketar lagi.

Mendengar kata-kata 1mdb itu , th ketawa besar yang kalau boleh diukur saiznya sama besar dengan  badannya yang gedempol. Terbahak-bahak dia ketawa.

1mdb juga turut ketawa sama. Hilaian ketawa manja orang bercinta yang sudah yakin dapat apa yang diminta.

"Darling dear, itu saja kah? Small matter. I can arrange it immediately", th mula cakap bercampur-campur bahasa. Dia tidak ragu lagi akan cinta  1mdb terhadapnya.

"Darling, dinda perlukan hampir 500 ribu. Tapi kanda jangan risau dinda ada aset, tanah dinda somewhere in the commercial area, nearly 30,000 square feet , valued at more than 500 ribu at market price", 1mdb meyakinkan lagi th yang sudah pun yakin itu.

" No problem whatsoever". Mereka pun meneruskan pelukan yang lebih erat.

"Darling kena belilah pada harga 500 ribu, ok?" 1mdb perlukan komitmen.

"Of course, considered done", th mencubit manja pipi 1mdb. Mereka berpisah menuju ke destinasi masing-masing.

th seorang pengurus Yayasan Keluarga mengambil alih dari abang tuanya yang telah meninggal dunia. Sebenarnya ada ahli keluarga lain yang lebih layak. Tapi penampilan budi bahasanya yang sentiasa hormat kepada orang tua, sentiasa jalan tunduk dihadapan orang tua dan mencium tangan semasa bersalam meyakinkan hati ahli keluarga terutama ibubapanya untuk memberi kepercayaan baginya menjadi pengurus Yayasan Keluarganya.

Di rumah, th menggariskan satu persatu tindakan yang perlu dilakukan bagi merealisasikan hasrat kekasihnya itu.

Wang tidak jadi masalah. Dia tahu hingga ke berapa sen wang Yayasan Keluarga yang ada, termasuk simpanan dan aset-aset lain seperti tanah dan rumah.

Wang beres, boleh diatur.

Dia tahu ada satu halangan yang besar yang boleh menggagalkan cintanya ini. Ibu bapanya, datuk dan nenek, adik beradik, saudara mara jauh dan dekat, kawan-kawan dan kenalan memang telah ada maklumat tentang 1mdb yang telah bercinta dengan banyak orang. Ada banyak bekas kekasih.

"Adakah mereka tidak kesah hal itu?", Tanya th pada diri sendiri.

Tapi dia mesti ada keberanian demi cinta pada 1mdb. th mesti berhadapan dengan keluarganya. Maka diaturkan satu perjumpaan.

"Apa? Kau nak keluar wang  500 ribu. Nak tolong kekasih kau tu? Nak beli tanah?" Ibunya menentang. 

Bapanya tidak mahu berkata-kata apa-apa kerana baginya tindakan yang wajar adalah beri pelempang sampai tersungkur. Tapi bapanya tahu, isterinya akan menghalang walaupun tidak bersetuju dengan permintaan anaknya th itu.

th cuba meyakinkan bahawa wang itu adalah untuk membeli tanah yang nilai pasarannya lebih dari 500 ribu. Namun emaknya, bapanya, datuknya, neneknya, adik, kakak, abang, pakcik, makcik dan iapar duainya menentang keras.

"Tapi saya dah pun beli tanah itu. Dah buat perjanjian. Tunggu nak bayar lagi", th merayu agar ahli keluarganya bersetuju.

"Batalkan saja perjanjian itu", marah abang iparnya dengan suara tinggi dan tegas, mendapat sokongan dari ahli keluarga yang lain.

"Macam ni matilah saya. Kita terpaksa jual tanah tu balik....harganya pun....", belum sempat th mahu menyatakan tanah itu boleh mendapatkan harga yang tinggi dari harga beli bapanya segera mencelah.

"Aku kata batalkan , batal lah. Bagi pelempang , tersungkur kau nanti", Ini lah suara yang paling th geruni. Dia tidak mampu membantah.

Keesokan harinya tersiar berita dalam berbagai media, seorang pengurus sebuah Yayasan Keluarga telah membunuh diri di tepi pantai. Mayatnya telah dijumpai oleh seorang nelayan sewaktu mahu turun ke laut menangkap ikan. Bersama mayat itu terdapat satu nota yang berbunyi, 

"Demi cinta, kanda sanggup berkorban untuk mu darling. Kita jumpa di syurga".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan