Theflowersellingboy

Selasa, 19 Mei 2015

Manifesto Rakyat ......PRU 14.


 

PRU 14 tidak berapa lama lagi. Tiga tahun adalah satu masa yang singkat, dalam ukuran menunggu satu pilihanraya umum bagi memilih sebuah kerajaan. Ianya tidak sama dengan tempoh masa melangsaikan hutang walaupun bilangan harinya sama. Perasaan kita mengatakan begitu.

Satu hal yang jelas dan mesti ada dalam sesuatu PRU itu ialah tentang tawaran yang dibuat oleh parti-parti yang bersaing bagi mempengaruhi, menyakinkan dan memenangi hati rakyat yang mengundi. 
 
Parti-parti yang bersaing ini akan membuat Akujanji kepada rakyat untuk memberi khidmat terbaik demi rakyat dan negara.  Maka dibentangkan kepada rakyat janji-janji tertentu dalam sebuah dokumen yang dipanggil manifesto pilihanraya.

Maka BN dengan manifestonya dan PR juga ada manifestonya.

Ertinya, tawaran janji-janji itu atau apa yang akan dilakukan jika rakyat memilih parti-parti berkenaan adalah datangnya dari parti-parti tersebut. Bukan dari rakyat sendiri.

Walaupun secara umumnya tawaran dalam manifesto itu, sama ada dari BN mahupun PR, ada yang menepati apa yang diperlukan oleh rakyat tetapi semuanya itu bukan datang dari inisiatif rakyat sendiri. 
 
Ertinya sehingga sekarang, belum pernah rakyat menyedia dan membentangkan apa yang mereka perlu daripada parti-parti yang bersaing untuk mendapat kuasa membentuk sebuah kerajaan dan seterusnya memberi khidmat kepada rakyat.
 
Yang ada adalah dialog dan perbincangan diantara kerajaan yang sedang berkuasa (BN) dengan beberapa pihak tertentu dalam sektor-sektor ekonomi tertentu. 
 
Tidak ada satu kesepakatan dikalangan rakyat untuk menyedia dan membentangkan manifesto rakyat untuk dijadikan bahan rundingan dan tawar menawar dengan parti-parti yang bersaing.
 
Rakyat yang mengundi hanya mempertimbangkan manifesto dari parti bersaing. Itu saja. Tidak ada tawar menawar diantara parti yang bersaing dengan rakyat.
 
Seolah-olah parti-parti yang bersaing itu berkata,"Ini yang BN atau PR tawarkan dalam PRU ini". Dalam bahasa yang kasar bernada ugutan, "Take it or leave it".
 
Jadi dimanakah nilai dan harganya undi yang dipegang oleh para pengundi. Rakyat digodok mengikut kehendak parti yang bersaing.
 
Pendekatan 'top down' ini tidak sesuai. Ianya mesti diganti dengan pendekatan 'bottom up' iaitu dari rakyat kepada parti yang bersaing.
 
Rakyat mestilah diberi peluang untuk bersama-sama dalam menentukan apa yang perlu dilakukan oleh sebuah kerajaan, jika parti itu mahu mendapat kuasa dari rakyat. Rakyat adalah pemain yang aktif dalam pembentukan/penggubalan sesuatu manifesto pilihanraya.
 
Soalnya bagaimana untuk rakyat dapat bersatu/bersetuju untuk menyediakan Manifesto Rakyat kerana penghalang yang paling besar adalah mereka yang terlalu taksub kepada parti.
 
Tapi, jika rakyat tahu menilai dan menghargai undi mereka maka mereka tidak wajar memberi kebebasan kepada parti yang bersaing untuk menggodok kehendak mereka kepada rakyat, -" Take it or leave it".
 
Manifesto Rakyat PRU 14....bolehkah menjadi kenyataan.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan