Theflowersellingboy

Ahad, 24 Mei 2015

Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi




Dahulu dan Kini. Banyak yang telah berubah. Itu fitrah yang ditentukan. Ada hikmah bagi setiap yang berlaku. Namun ada tanggungjawab kita untuk melakukan yang terbaik dalam menjalani kehidupan walaupun banyak perkara diluar kawalan dan kemampuan kita.

Tidak mengapa, selagi hayat dikandung badan, kehidupan perlu diteruskan kerana kita mesti percaya bahawa harapan masih dan tetap ada.  Walau sekecil mana sekalipun, ianya penyambung denyutan nadi untuk kita.

Bersandarkan kepada kepercayaan itu, saya mahu berbicara tentang kerosakan, tentang kehidupan kita yang telah tercemar, dilakukan oleh kita sendiri, dan terus kita melakukannya sehingga kini sehinggalah hari kiamat.

Saya mahu bicara satu sisi kecil saja, tentang harapkan pegar, pegar makan padi (bukan harapkan pagar, pagar makan padi, ada kesilapan dahulu dalam membunyikan/menyebut ejaan jawi 'pa ga ro' disebut sebagai pagar bukan pegar).

Pegar adalah sejenis burung. Burung yang suka makan ulat-ulat atau serangga yang suka memakan tanaman padi (batang/daun padi dan buahnya). Ertinya burung ini menjadi harapan kepada penanam padi untuk menjaga hasil tanamannya.

Sayangnya atau lebih tepat malangnya, pesawah itu telah meletakkan kepercayaan kepada burung pegar itu, burung yang menjadikan tanaman padi sebahagian dari world viewnya, sumber rezekinya.

Kalau tidak ada berada, masa kan tempua bersarang rendah. Peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan karekter semulajadi burung pegar itu. Ada sebab yang terang lagi jelas bahawa ada kepentingan mengapa burung itu sukakan tanaman padi.

Pesawah mengharapkan burung pegar itu memakan ulat dan serangga yang menyerang tanamannya. Burung pegar pula sememangnya mengidam untuk makan padi. Akibatnya pesawah menanggung kerugian. Burung pegar kekenyangan, lalu terbang meninggalkan pesawah berputih mata kerugian.

Itulah bicara pendek saya tentang harapan yang jadi terkulai kerana pihak yang diletakkan kepercayaan menjadi perosak kepada kepercayaan yang diberikan. Pendek kata pecah amanah.

Dalam istilah undang-undang dikatakan satu perlakuan jenayah pecah amanah (criminal breach of trust -CBT).

Jenayah pecah amanah ini bukan satu perkara baru, telah berlaku semenjak adanya manusia sehinggalah sekarang dan akan berterusan sehingga dunia kiamat.  

Cuma kaedahnya, caranya dan sifat perlakuannya termasuk perkara/barang/item/bahan yang terlibat dan saiz/banyaknya, berubah dan berbeza mengikut masa. Sekarang pecah amanah ini amat kompleks dan komplikated. Ianya tidak mudah dirungkai, dikenalpasti dan diatasi.

Pecah amanah ini berlaku dimana-mana dalam apa saja bidang. Secara amanya sebahagian dari kita mungkin pernah melakukannya, secara langsung mahupun secara tidak langsung, secara sendiri atau sebagai bersama, bersubahat.

Yang amat malang sekali perlakuan jenayah pecah amanah ini berlaku diperingkat negara kerana kesannya amat buruk sekali kepada negara dan rakyat. Dimana-mana saja jenayah pecah amanh ini boleh dan telah berlaku dan terus berlaku, Malaysia tidak terkecuali.

Cuba renungkan negara kita, sebuah negara yang dianugerah oleh Allah sumber kekayaan. Tapi mengapa sebahagian besar rakyat masih miskin? Jangan pula kita menuding jari kepada penjajah walaupun memang benar penjajah telah melakukan pecah amanah semasa kita dibawah takluknya dulu. 

Mengapa, kenapa selepas kita mengambil tampuk pemerintahan sehinggalah sekarang sebahagian rakyat kita masih lagi hidup terhimpit dan susah. Mengapa ada yang masih lagi tidak disediakan dengan bekalan air bersih dan cahaya dari arus letrik? Rumah mereka, itupun jika layak dipanggil rumah, beratapkan langit dan berlantaikan tanah?

Mengapa anak-anak muda yang tidak berpendidikan (mengapa gagal tidak dapat pendidikan) dan yang berpendidikan, lepasan SPM, STPM, Diploma dan Ijazah ramai yang tiada pekerjaan, angka rasmi mengatakan sejumlah 400,000 orang yang mana 160,000 terdiri dari graduan berijazah. 

Mustahil kita tiada sumber.  Sumber hasil bumi kita merempah ruah. Sumber manusia pun tidak terkira banyaknya.

Ini semua berpunca dari pecah amanah. Berlaku dari dahulu semenjak mula kita merdeka sehingga sekarang ini.

Saya meminta anda semua merenung tentang 1MDB walaupun bukan 1MDB saja yang membawa bencana dan kerosakan kepada negara, banyak lagi. Tapi ianya paling terbaru dan hangat diperkatakan, jadi mudah saja untuk kita berkongsi maklumat dan fakta serta sama-sama berkongsi fikiran dan perasaan . 

Adakah anda tidak percaya masalah yang dihadapi oleh syarikat pelaburan negara itu disebabkan pecah amanah?

Saya percaya berlakunya pecah amanah.

Mereka yang kita harapkan memegang amanah, tidak ada bezanya dengan burung pegar yang diharap untuk mejaga tanaman padi, habis semua tanaman padi itu jadi musnah. 

Harapkan pegar, pagar makan padi. Harapkan kamu, kamu petualang negara.

Tapi kita jangan berputus asa, kehidupan perlu diteruskan. Tugas kita sekarang ialah untuk tidak lagi mempercayai orang yang seperti burung pegar itu. 

Tapi kata orang ada hikmah dari apa yang berlaku. Namun tanggungjawab kita adalah bagi melakukan yang terbaik. Itulah sebenarnya cara kita menghargai sesuatu hikmah. 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan