Theflowersellingboy

Ahad, 17 Mei 2015

Anak Kecil Bergaduh vs Mahathir dan Najib Bergaduh.





Kalau anak-anak kecil bergaduh, biasanya kita orang tua akan menasihatkan agar mereka berhenti bergaduh kerana jika dibiarkan ianya tanpa kesudahan, masing-masing tidak akan mahu mengaku bersalah. Jika tak makan nasihat maka anak-anak itu akan dimarahi atau diherdek dan minta segera berhenti dari bergaduh dan salah menyalah.

Biasanya anak-anak itu patuh dan berhenti dari bergaduh, sekurang-kurangnya pada ketika itu.
 
Tapi macam mana pula dengan pergaduhan antara sesama orang tua  yang saling tuduh menuduh dan salah menyalahkan? 
 
Sudah tentu anak-anak kecil tidak boleh masuk campur dan menasihatkan orang tua yang bergaduh itu agar berhenti dari bergaduh kerana tiada gunanya bergaduh.
 
Sesungguhnya tidak adil!
 
Yang paling tidak senonoh apabila orang tua itu bertaraf pemimpin atau yang pernah jadi pemimpin. Bergaduh sakan, berpanjangan tanpa ada tanda-tanda reda dan mahu berhenti.
 
Ketika ini Mahathir dan Najib sedang bergaduh sakan. Mereka bergaduh atas matlamat yang sama iaitu bagi menyelamatkan UMNO dan kerajaan yang ada.
 
Mengikut Mahathir, apa yang telah dan sedang dilakukan oleh Najib boleh memyebabkan UMNO/BN kalah dalam PRU 14. Dan kesan dari kekalahan itu ramai dari pimpinan UMNO atau kerajaan akan didakwa di hadapan mahkamah. Dengan sebab itu Najib wajib disingkirkan.
 
Najib pula kata bahawa apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan rakyat dan negara yang akan membawa kepada kejayaan/kemenangan kerajaan sekali gus kepada UMNO. Maka selagi UMNO dan rakyat memberi sokongan kepadanya , gesaan Mahathir untuk menyingkirkannya sebagai presiden UMNO dan PM tidak menjadi kudis.
 
Tidak perlu di ulang atau disebut sebab-sebab Mahathir mahu menyingkirkan Najib kerana hari-hari cerita keburukan Najib ini menjadi bahan cerita. 
 
Begitu juga tidak perlu diulang sebut bagaimana Najib dalam banyak hal kurang menjawab akan serangan Mahathir itu, walau pun sesekali buat pukulan juga yang mengatakan Mahathir juga banyak buat perkara yang tidak betul semasa berkuasa. Soal 'bailout' dan soal hilangkan wang negara, misalnya berlaku pada masa Mahathir.
 
Lihat, masing-masing ada hujah dalam buat serangan dan membalas serangan seperti anak-anak kecil yang bergaduh. Tidak ada beza cara mereka bergaduh berbanding dengan anak-anak kecil, masing-masing mengatakan dialah yang betul.
 
Yang berbeza ialah tiada siapa yang dapat atau mahu campur tangan untuk menyuruh mereka diam, berhenti dari bergaduh. Bahkan banyak batu api dari kedua-dua belah pihak.
 
Bagi saya pergaduhan Mahathir dan Najib ini tidak 'genuine' untuk rakyat . Rakyat tidak dapat apa-apa faedah malah membuatkan negara semakin hari semakin lemah. Sebab mereka bergaduh atas matlamat yang sama untuk menyelamatkan diri atas nama UMNO/BN dan bukan atas kepentingan negara.
 
Mahathir tidak mahu diheret dimuka mahkamah kalau UMNO/BN kalah (ini kata-kata beliau sendiri).
 
Najib tidak mahu meletak jawatan kerana apabila tiada kuasa sudah tentu mudah sahaja beliau ditaklukkan kepada berbagai dakwaan dan siasatan.  
 
Soalnya siapa atau pihak mana yang boleh memberitahu Mahathir dan Najib ini supaya berhenti dari bergaduh kerana pergaduhan yang berpanjangan ini tidak langsung memberi faedah kepada rakyat dan negara. 
 
Seseorang atau pihak-pihak tertentu mesti muncul dan beritahu mereka berdua ini supaya berhenti dari bergaduh. Siapa?
 
Saya mencadangkan Anwar Ibrahim. Alasannya ialah Anwar Ibrahim ini suatu ketika dulu adalah dalam satu pasukan dengan Najib dan Mahathir. Sudah tentu beliau tahu luar dalam perjalanan kerajaan dan parti UMNO. Jadi Mahathir dan Najib susah untuk menyatakan yang tidak benar.
 
Tapi sayang sekali Anwar Ibrahim dalam penjara. Kalau begitu lepaskan saja beliau, dan minta beliau menjadi moderator perdebatan antara Mahathir dan Najib. Ok tak cadangan ini? Saya tahu Najib dan Mahathir tidak akan bersetuju kerana ianya membawa kecelakaan kepada kedua-duanya.
 
Jadi apa caranya supaya mereka berhenti bergaduh?
 
Adakan pilihanraya. Biar rakyat tentukan, i) parti mana yang wajar diberi mandat untuk menerajui negara, dan ii) parti yang berjaya itu memilih perdana menteri.
 
Kerajaan yang ada sekarang dibawah pimpinan Najib kelihatan ada banyak masalah termasuk dalam hal integriti kepimpinan dan tatakelola pengurusan ekonomi dan kewangan, dipersoalkan oleh pembangkang dan ahli-ahli parti sendiri terutama yang menyokong Mahathir, dan sebahagian besar rakyat.

Maka jalan keluar terbaik dan bersifat demokratik adalah dengan mendapatkan semula mandat dari rakyat melalui pilihanraya. Berhentilah dari bergaduh yang tidak datang faedah kepada rakyat dan negara. Bubarkanlah Parlimen. Ambillah teladan dari Jepun dan Korea. Bukankah kita ada dasar pandang ke timur?
 
Anak-anak kecil yang bergaduh, walaupun kecil tahu dan mahu juga dengar nasihat orang tua. Tidak mungkin Mahathir dan Najib yang bergaduh tidak mahu merujuk kepda rakyat untuk mendapat sekali lagi mandat rakyat.
 
Saya percaya, Najib tidak akan bersetuju. Saya juga percaya Mahathir tidak akan bersetuju. Sebabnya hanya satu iaitu UMNO/BN akan kalah. Kesan kepada Najib dan Mahathir adalah sama saja, mereka akan diheret ke muka mahkamah. Bukan saya yang ramal, Mahathir yang ramal.
 
Ramalan inilah satu-satunya yang saya percaya dari Mahathir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan