Theflowersellingboy

Khamis, 21 Mei 2015

1MDB Perlu Diselamatkan?




Mat, bapa kepada Nat teramat marah. Suhu marahnya tidak dapat diukur oleh pengukur suhu, sama ada ukuran fahrenheit mahupun celcius. Terlalu marah.

Sebabnya, hanya, kerana Nat anaknya itu telah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kereta BMW yang baru dibeli oleh salah sebuah syarikatnya iaitu Cepat Kaya Buat Apa Saja Sdn Bhd (CKBAS atau lebih mesra dengan panggilan Sikebas) remuk, dan tidak ada menfaat dibaikki lagi (beyond economic repair).

Kereta BMW itu baru saja dibeli, tidak sampai sebulan sebagai kereta untuk kegunaan Pengurus Besar syarikat dalam menjalankan tugas syarikat. Nat telah dijadikan sebagai pengurus besar syarikat sebaik saja beliau diberi tauliah ACCA.

Mat:Aku bagi kereta ni bukan untuk kau jahanamkan, sampai tak boleh dibaikki lagi.

Nat: Bukan sengaja, ayah. Dah nak accident. Nasib baik saya selamat.

Mat: Kau mati lebih baik. Menyusahkan.

Nat: Ayah pilih kereta ke, pilih saya. Saya boleh urus syarikat. Kereta tu boleh ditukar dengan kereta lain.

                            xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Jika anda sebagai ayah yang sangat marah itu, apakah keputusan yang anda buat?

Masih memilih anak berbanding dengan kereta atau nyah saja anak itu kerana telah menjahanamkan kereta?

Saya masih lagi memilih anak walaupun suhu kemarahan saya menggelegak.

Begitulah sikap dan pendirian saya, jika kes 1MDB ditanyakan. Ertinya tindakan dan langkah perlu diambil segera agar 1MDB dipulih dan diselamatkan. 

'Bailout? Panggil saja apa yang anda mahu sebagai luahan marah dihati. 

Tetapi anda jangan lupa bahawa 1MDB itu membawa kepentingan kita, rakyat. 

Sama juga dengan si Nat yang menjahanamkan kereta  syarikat, BMW yang baru dibeli. Si Nat membawa nama, kepentingan dan darah daging ayahnya, si Mat. Kereta boleh ditukar ganti, namun anak yang bernama si Nat itu tidak akan dapat ditukar ganti. 

Bersyukurlah si Nat masih selamat. Bersyukurlah kerana kita sudah tahu 1MDB itu sudah tenat dan perlu diselamatkan.

Oleh itu saya bersetuju 1MDB distruktur semula, jika itu yang saya dapat faham yang hendak dilakukan oleh Kementerian Kewangan.

Tindakan menyelamat ini bukan kaedah baru dalam pentadbiran kerajaan Malaysia. Ia telah dilakukan banyak kali, bukan saja kepada syarikat kepentingan rakyat bahkan syarikat kepentingan persendirian.

Bagi saya tindakan struktur semula ini bukan hanya bermaksud menstruktur semula hutang-hutang 1MDB dengan mengekalkan saja kepimpinan dalam struktur organisasi 1MDB.  

Semua yang terlibat dalam struktur yang ada sekarang ini, dari kedudukan bertaraf penasihat, sehingga ke ahli lembaga pengarah dan pegawai-pegawai yang ada kuasa eksekutif hendaklah keluar dari 1MDB dengan serta merta. Kerana merekalah punca segala masalah yang dihadapi oleh 1MDB.

Dan mereka itu tidak boleh terlepas dari mengambil tanggungjawab. Perlu disiasat, dan jika ada bukti-bukti berlakunya salah laku mahupun salah urus, mereka perlu didakwa dan diberi peluang menjawab dakwaan di mahkamah.

Ya, saya sangat marah. Tapi saya juga mahu 1MDB selamat kerana saya dan rakyat ada kepentingan dalam 1MDB.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan