Theflowersellingboy

Rabu, 20 Mei 2015

Kontroversi 1MDB: apa yang kita boleh belajar




Apa yang kita boleh pelajari dalam kontroversi 1MDB yang sehingga sekarang masih menjadi paparan berita? 
 
Sesungguhnya banyak yang kita boleh pelajari. Paling kurang kita mendapat maklumat tentang perjalanan urusniaga korporat yang berkaitan dengan kerajaan.
 
Perkara pertama ialah kerajaan terlibat dalam perniagaan walaupun  perniagaan bukan fungsi utama kerajaan (bukan core business). Tapi penglibatan kerajaan dalam perniagaan adalah bagi perkara yang bersifat strategik dan kepentingan awam misalnya dalam ero-angkasa dan pembangunan mega seperti yang mahu dilakukan oleh 1MDB dalam membangunkan TRX dan Bandar Malaysia.  
 
Namun begitu ianya perlu dilakukan dengan telus dan penuh beramanah kerana ianya membawa sama kepentingan rakyat. Ertinya ada risiko yang diambil oleh rakyat, dan ada untung yang akan diperolehi.

Kedua, 1MDB seperti GLC yang lain adalah entiti niaga kerajaan yang dikenali sebagai 'off budget'. Ertinya operasi urusniaganya tidak tertakluk kepada parlimen mahupun auditan dari Ketua Audit Negara walaupun wang pembiayaan termasuk jaminan dan surat sokongan boleh diperolehi dari kerajaan atau agensi/kumpulan wang kepentingan awam seperti TH, KWAP, KWSP, PNB dan LTAT melalui penerbitan berbagai surat hutang (debt instruments) untuk melakukan urusniaga.
 
Ketiga, menurut isu-isu yang dibangkitkan berkaitan 1MDB ini,  yang mana sebahagian besar telah tidak dijawab, dan jika ada jawapan ianya tidak lengkap dan ada yang mengelirukan. Ada juga yang tidak dapat mengikutinya dengan secara berkesan disebabkan tiada ilmu pengetahuan khususnya bidang kewangan korporat (Corporate finance), tentang operasi dan sumber pembiayaan sebuah syarikat korporat sedangkan 1MDB itu membawa kepentingan rakyat (risk and return).
 
Keempat, tidak ramai ahli-ahli parlimen yang membincangkan secara berkesan isu-isu 1MDB ini, khususnya ahli parlimen BN. Dengan itu  boleh ditafsir bahawa mereka kurang ambil berat dengan isu-isu negatif yang dihadapi oleh 1MDB , atau mungkin satu arahan telah dikeluarkan untuk tidak berbuat demikian. Atau mereka tidak mempunyai penguasaan yang baik dari segi perjalanan entiti sebuah perniagaan korporat walaupun entiti itu membawa kepentingan rakyat. Ini mungkin disebabkan mereka tidak ada ilmu pengetahuan yang baik dalam bidang berkaitan.
 
Maka adalah sudah tiba masanya subjek yang berkaitan dengan kewangan diperkenal dan diajar diperingkat rendah hingga ke universiti bagi semua pelajar sama ada dari aliran sains mahupun bukan sains kerana kita tidak boleh lari dari hal yang berkaitan dengan wang.
 
Jadi boleh kita faham mengapa 1MDB jual kertas sebagai cara untuk dapat sumber pembiayaan.
 
 
 
 
 
 
 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan