Theflowersellingboy

Rabu, 6 Mei 2015

Laporan GTP dan ETP 2014: PM Najib dan UMNO/BN telah gagal.




 

Pada hari ini, saya terpaksa membaca ucapan PM Najib tentang laporan tahun 2014 program GTP dan ETP yang diucapkan menerusi saluran tv pada 28 April 2015 yang lepas bagi membolehkan saya memahami ulasan-ulasan dari berbagai pihak, yang bersetuju dan juga yang tidak bersetuju.

Saya tidak menonton pada hari ucapan itu dibuat kerana saya tidak anggap ianya membawa berita yang menyenangkan hati rakyat. Lagipun sudah lama saya tidak menonton tv.

PM Najib, pada pendapat saya, menggunakan Pelancaran Laporan itu sebagai agenda khusus untuk mempertahankan kepimpinannya yang telah dikritik hebat oleh sebahagian rakyat, khususnya dari parti lawan dan bekas PM Tun Mahathir.

Maka beliau bertahan dan mempertahankan kedudukan dengan mengingatkan bahawa:

i) The engagement and the understanding the need of the rakyat is paramount in guiding me to deliver the right programmes for all Malaysians.

ii) Mendahulukan Rakyat dan Mengutamakan Pencapaian.

iii)  Perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara tidak dalam keadaan gawat atau krisis; dan strategi penyesuaian (adjustment) yang dilakukan oleh kerajaan adalah bersifat proaktif.

iv)  Dalam perjuangan tidak boleh berundur ibarat perahu yang telah dikayuh ke tengah ianya tidak boleh bersurut pulang walau apapun yang akan terjadi.

v) Banyak kemajuan dan kejayaan GTP dan ETP yang telah dicapai dengan memberi contoh antara lain pewujudan  1.5 juta pekerjaan baru sehingga tahun 2014 selaras dengan matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dengan yakin unjuran pendapatan per kapita US 15,000 akan tercapai.

PM menyatakan semua kenyataannya adalah berdasarkan kepada fakta dan angka, bukan imiginasi atau ilusi. 

Maka mengapa ramai yang mengkritik kepimpinannya? Mengkritik , bagi beliau adalah perkara biasa. Tapi kritiklah secara membina.

Beliau tidak akan menyerah kalah, dan akan terus menerajui kepimpinan negara walaupun ada desakan dari sebahagian rakyat meminta beliau berundur; walaupun bekas PM mengatakan beliau tidak layak jadi PM dan perlu disingkir dan digantikan dengan orang lain.

Bagi saya kritik sebahagian rakyat itu tidak boleh ditepiskan dan dikesampingkan begitu saja oleh PM kalau sebenarnya beliau memahami denyut nadi rakyat dengan mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian. 

Tidak dinafikan, kritikan juga cenderung kepada kepentingan politik sama ada dari parti lawan mahupun dari parti UMNO/BN sendiri. 

Dan ada juga atas kepentingan peribadi berselindung atas kepentingan UMNO/BN iaitu jika Najib terus menerajui kepimpinan, UMNO/BN akan kalah dalam PRU 14 yang akan memberi kesan yang tidak baik kepada kepimpinan UMNO/BN yang berkemungkinan akan didakwa dan diheret ke mahkamah.

Bagi saya Najib telah gagal. Oleh itu beliau sepatutnya melepaskan jawatan.

Tapi soalnya siapa pun yang akan menggantikan beliau dari kalangan UMNO/BN yang ada ketika ini, ianya tidak menghasilkan sesuatu yang baik untuk negara. UMNO/BN sudah terlalu rosak.

Jadi pilihan yang terbaik yang menjadi amalan negara-negara demokrasi di negara-negara maju ialah menyerahkan semula kepada rakyat untuk membuat keputusan parti yang mana yang mahu diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menerajui negara.

Itulah tindakan yang wajar dan terhormat, jika rakyat mahu didahulukan. Ertinya Parlimen dibubarkan dan satu pilihanraya diadakan. Dan bukan dengan menggantikan Najib dari kalangan ahli-ahli UMNO/BN yang ada, tidak juga dari kalangan ahli parti pembangkang.

Adakan pilihanraya baru. Biarkan rakyat menentukannya.

Alasan-alasan Najib (i) hingga (v) diatas dalam mempertahankan kepimpinannya mudah saja disanggah seperti berikut:

Alasan (i) dan (ii): Sebenarnya PM kita ini tidak mendekati rakyat, dan jauh terpisah dengan realiti kehidupan rakyat. Denyut nadi beliau tidak sama dengan denyut nadi sebahagian besar rakyat. Rakyat hidup dalam keadaan sentiasa bimbang, berdebar-debar dan tidak ketentuan masa depan.

Dalam rakyat hidup bimbang dan tidak tentu masa  depan, Najib masih lagi hidup bermewah dan boros. Mengapa perlu beli jet yang berharga hampir 1 billion dengan kos penyenggaraan yang amat membebankan negara? Mengapa pula tidak merasa bersalah mengadakan majlis kahwin anak yang terlalu bermewah. 

Ya, kalau pun tidak membabitkan wang negara, (saya yakin sedikit sebanyak wang negara terlibat juga), rasa malu dan hormat kepada perasaan rakyat yang terbeban dengan sara hidup yang meningkat, walaupun sekelumit cuma, sepatutnya terdetik dalam hati PM kita ini. Tapi tidak begitu.

Tidak benar PM ini 'engage' dan 'understand' the need of the rakyat. Beliau tidak sekali-kali mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Alasan (iii) kedudukan ekonomi dan kewangan yang tidak gawat atau dalam krisis; serta tindakan penyesuaian (adjustment) yang pro-aktif.

Sebahagian besar rakyat sudahpun menyatakan kebimbangan akan cara urus tadbir ekonomi dan kewangan negara. Rasuah, pembaziran dan salah guna sumber sentiasa dilaporkan oleh Ketua Audit Negara, setiap kali laporan dikeluar dan dibentangkan.

Ingat, ianya yang dilaporkan Ketua Audit Negara, fakta dan maklumat rasmi kerajaan. Bukan fakta, angka dan maklumat yang direka-reka dengan niat jahat.

Hutang negara sebanyak lebih 700 billion ringgit masih lagi dikatakan tidak membimbangkan? Mana mahu ambil wang untuk bayar faedah hutang itu, dan apabila cukup masanya mana mahu ambil wang untuk bayar pokok hutang yang dipinjam?

Sudah tentu rakyat memberi jawapan bahawa ianya diambil dari rakyat melalui perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula April lepas! GST yang kena keatas semua orang tanpa kecuali, miskin mahupun kaya.

Adakah ini yang PM faham bahawa rakyat mahukan GST? Tidak adakah berita disampaikan kepada PM bahawa rakyat terseksa dengan GST, kalau pun PM sendiri tidak mampu melihat penderitaan rakyat?

Macam mana dengan persoalan yang dibangkitkan berkaitan dengan 1MDB yang dilaporkan berhutang RM 49 billion dan operasi yang tidak teratur sehingga dikatakan melibatkan penyaluran wang kepada pihak yang tidak sewajarnya? 

Apakah laporan audit, GST, 1MDB itu sesuatu yang sihat dari segi perkembangan ekonomi dan kedudukan wang negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat?

Mengapa boleh berboros untuk kepentingan segelintir dan berjimat (kononnya) atas nama rasionalisasi subsidi dengan m,enghapuskan subsidi minyak yang memberi kesan kepada kenaikan harga minyak yang membebankan sebahagian besar rakyat. Apakah rakyat miskin berpendapatan rendah saja diutamakan dalam program penyesuaian (adjustment) perbelanjaan kerajaan melalui penghapusan subsidi? 

Alasan (iv): perahu yang sudah dikayuh ke tengah tidak boleh berpatah balik dalam apa pun keadaan? Semangat itu baik bagi menguatkan kesungguhan dalam perjuangan. 

Yang tidak betulnya adalah jika sudah jelas perahu itu sudah mula bocor dan air semakin mengisi ruang perahu itu , tiada tindakan untuk membaikki perahu itu termasuk membuang keluar air yang telah mengisi ruang perahu itu.

Maka tenggelamlah perahu itu. 

Malang sekali perahu itu membawa sama anak-anak kapal yang telah pun memberitahu kepada nakhoda bahawa kita cuma boleh teruskan pelayaran dengan syarat kebocoran perahu itu diperbaikki termasuk menimba keluar air dalam perahu itu. Nakhoda kata dan perintah, "tidak mengapa teruskan pelayaran kerana kita telah berada ditengah lautan".
 
Alasan (v) menjadi negara maju berpendapatan tinggi per kapita USD 15,000; dan berjaya mewujudkan 1.5 juta pekerjaan.

Apakah pendapatan per kapita misalnya USD 15,000 sebagai ukuran yang terbaik tentang tahap kesejahteraan rakyat? Dimana letaknya tanggungjawab melakukan agihan kekayaan negara dengan adil dengan mengecilkan jurang pendapatan dikalangan rakyat? Apa, equitable wealth distribution dikalangan rakyat bukan matlamat kerajaan?

 1.5 juta pekerjaan telah diwujudkan dari tahun 2009 sehingga 2014. Soalnya jawatan yang bagaimana dan dalam sektor apa dan siapa kah yang dapat faedah darinya. Dalam sektor pembinaan dan juga perkhidmatan khususnya diperingkat rendah sebahagian besar adalah dimonopoli oleh warga asing kerana upahnya rendah. Apa terjadi kepada warga negara? Merempet! Sebab upahnya murah.

Apa maknanya arahan membekukan jawatan sektor awam yang dikeluarkan baru-baru ini. Untuk mengoptimakan tenaga kerja atau tidak ada wang yang cukup kerana salah urus? Tidakkah ini akan menambahkan lagi bilangan pengangguran bukan saja lepasan pelajar menengah bahkan pelajar pengajian tinggi dalam berbagai pengkhususan pengajian.

Jurutera banyak yang tidak ada kerja. Pelajar perubatan tidak diambil untuk tujuan housemanship. Apakah kerana tiada wang, tidak cukup tenaga penyelia untuk menyelia doktor housemanship tersebut dan tiada cukup bilangan hospital untuk melatih?   Adakah menguntungkan negara membiarkan para pelajar perubatan yang menunggu housemanship untuk mencari pekerjaan lain misalnya jadi paramugari?

Difahamkan banyak syarikat oil and gas memberhentikan pekerja mereka. Adakah ini satu petanda ekonomi yang sihat dan berkembang?

PM Najib tidak akan melihat perkara yang dibangkitkan ini sebagai penting dan mesti didahulukan. Tidak juga mahu menjawab seperti yang telah ditanya banyak pihak tentang GST, 1MDB dan hutang negara. Bekas PM Mahathir tanyapun beliau tidak ambil pusing malah lain yang ditanya lain yang dia jawab.

PM Najib mesti menyerahkan semula kepada rakyat untuk menentukan pihak mana yang wajar menerajui negara melalui pembubaran parlimen dan pilihanraya. 

Sesungguhnya PM Najib telah gagal. UMNO/BN telah gagal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan