Theflowersellingboy

Selasa, 12 Mei 2015

1MDB dan Rakyat: Untung 1MDB, Rakyat Dapat Faedah, Rugi 1MDB Rakyat Dapat Susah, Berputih Mata.





1MDB adalah sebuah syarikat kerajaan dibawah Kementerian Kewangan. Ertinya ada kepentingan rakyat yang dibawa oleh 1MDB. Untung syarikat itu, adalah menfaat untuk rakyat. Rugi syarikat itu, malanglah rakyat dibuatnya, mungkin ke tahap berputih mata.

Tapi....

1MDB dikelilingi hutang. Hutang melampaui kemampuan membayar. 

Itulah maklumat dan isu yang hangat diperdebat dan dipersoalkan rakyat terhadap kerajaan khususnya Menteri Kewangan.

Modal 1 juta, berniaga dalam berbagai sektor ekonomi berbillion juta. Mana tak berhutang. Ada orang kata 'ini syarikat pakai 'gear' yang tinggi'. 
 
Macam mana ada pemberi hutang (creditors, bankers, financial institutions) sanggup memberi hutang pada syarikat bermodal 1 juta untuk terlibat dalam perniagaan berbilion.?

Ada, syarat dan caranya: 

i) Ada surat jaminan/sokongan kerajaan. Ertinya kalau ada apa apa hal yang tidak baik, misalnya tidak mampu bayar hutang, kerajaan akan ambil tanggungjawab.

ii) Diberi keistimewaan dengan cara dianugerah atau membeli aset kerajaan misalnya tanah pada harga dibawah harga pasaran. Bermakna tanah dibeli tanpa ada persaingan bukan sahaja secara terbuka malah tidak juga persaingan secara terhad sesama syarikat kerajaan. Ertinya PNB, TH, LTAT, KWSP dan lain-lain GLC tidak ditawarkan tanah tersebut.

iii)  Apabila nilai aset itu dinilai semula mengikut harga pasaran semasa sudah tentu mengatasi harga beli yang telah dibuat. Ini memberikan kekuatan dan sandaran bagi tujuan mendapat pinjaman.

iv) Sumber wang atau pembiayaan boleh diperolehi dari GLC yang lain dengan meminta mereka (memaksa?) terlibat dalam usaha-usaha pembiayaan misalnya dalam penyenaraian saham melalui IPO, contoh IPO FGV--untuk mendapat harga yang tinggi, yang dibeli oleh berbagai GLC. 

Sama juga dengan keperluan pembiayaan oleh 1MDB yang diperolehi dari KWAP, PNB dan TH. Misalnya dalam pembelian surat hutang (bon) yang dipanggil sukuk yang dikeluarkan oleh 1MDB. Menurut sumber jumlah wang yang terlibat adalah RM1.5 billion, yang mana RM 579.2 juta di beli oleh PNB dan RM 920.8 oleh TH. Begitu juga dengan pembelian tanah 1 ekar lebih oleh TH yang bernilai RM188.5 juta.

Itulah caranya 1MDB mendapatkan sumber pembiayaan dalam menjalankan operasi perniagaannya.

Modal pembiayaan dapat banyak dan dengan mudah tapi mengapa boleh rugi?

Saya tidak boleh jawab dengan tepat. Mereka yang dalam struktur 1MDB mempunyai fakta dan maklumat yang boleh memberi jawapan.

Namun begitu secara amnya boleh kita kaitkan dengan pengurusan syarikat yang tidak teratur. Misalnya penglibatan Jho Low seorang yang diluar struktur syarikat yang dikatakan terlalu aktif dalam urusniaga, menyimpan wang dan berniaga di pulau Caymen yang selalu dikaitkan dengan transaksi yang meragukan. 

Selain dari itu faktor terlalu mudah mendapat pembiayaan dari GLC dan layanan istimewa dalam memperolehi aset kerajaan (tanah) pada harga monopoli dan tidak munasabah boleh menyumbang kepada sikap tidak serious dan berhati-hati dalam melakukan operasi perniagaan. 

Bukankah 1MDB menggunakan aset tanah yang diperolehi secara murah sebagai cara untuk membantu pihaknya membayar hutang. Contohnya menjual yanah kepada TH dan GLC yang lain bagi tujuan mendapat aliran tunai.

Bukankah kerajaan menjadi penjamin kepada syarikat itu? Jadi apa-apapun terjadi 1MDB boleh memandang kepada kerajaan dan meletakkan kepalanya pada bahu kerajaan.

Saya juga berpendapat bahawa satu faktor yang juga agak penting ialah tentang aturan yang ada sekarang. Maksud saya semua GLC adalah diluar dari sistem bajet kerajaan - off budget.

Dengan demikian GLC terlepas dari telinga dan mata Parlimen dan akaunnya tidak diaudit oleh Ketua Audit Negara. Makanya ianya bebas untuk melakukan komitmen misalnya berhutang dalam menjalankan urusniaga walaupun modal syarikat hanya RM 1 juta saja.

Hanya apabila maklumat diketahui sama ada secara sah atau disebaliknya akan hal-hal yang tidak sihat tentang operasi syarikat itu, misalnya yang berhutang keliling pinggang maka ianya menjadi kembimbangan rakyat kerana 1MDB membawa bersama kepentingan rakyat.

Untung 1MDB rakyat mendapat faedah. Rugi 1MDB rakyat mendapat susah, dan kemungkinan berputih mata tidak mudah diketepikan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan