Theflowersellingboy

Rabu, 13 Mei 2015

Selera Anak Dalam Dua Zaman Yang Berbeza




Hai apa khabar semua. Ceria hari ini? Hari ini saya nak bicara ringan saja. Tidak fasal politik negara yang bercelaru mahupun hutang keliling pinggang 1MDB. Bukan ianya tidak penting tapi mahu ringan-ringan sedikit otak dan senang-senang sedikit hati.

Saya mahu cerita tentang anak-anak dalam dua zaman yang berbeza.
 
Zaman kanak-kanak dulu terlalu berbeza dengan sekarang. Berbeza dalam segala hal. 

Saya mahu ambil contoh tentang selera makanan.
 
Selera berbeza. Anak-anak dahulu adalah pelahap. Tidak memilih tentang makan. Bahkan boleh bergaduh adik beradik berbut makanan. Bukan makanan yang sedap pun.

Lima orang adik beradik akan berkongsi seekor ikan sepat goreng. Itupun sudah mewah. Maka dikuti atau dicubitnya seorang sedikit ikan itu. Biasanya berebut-berebut sehingga melibatkan pergaduhan. Yang seorang mengatakan dapat sedikit saja, dan yang lain dikatakan dapat lebih.

Ada yang buat silap mata untuk dapat bahagian yang lebih. Maka ditunjukkan cicak didinding atau disiling. Apabila yang lain memandang (sebenarnya tidak ada pun cicak) maka tangannya dengan cepat mengambil ikan atau bahagian ikan yang berbaki itu, terus masuk mulut.
 
Maka marahlah yang lain terutamanya yang belum dapat merasa ikan itu. Ibu dan bapa hanya tengok saja dan mungkin mampu berkata, "Tak baik bergaduh depan rezeki nanti lari rezeki".

Bila kata lari rezeki, anak-anak itu tidak mengulangi perbuatan silap mata itu. Tapi paling lama sehari dua. Hari berikutnya belum tentu.
 
Anak-anak sekarang lain pula. Macam macam makanan yang sedap-sedap disediakan oleh ibu bapa. Dalam peti sejuk pula ada macam-macam buah-buahan dan makanan sejuk beku.
 
Mereka tidak ada selera makan. Mereka tidak perlu main silap mata untuk dapat lebih makanan. Apa yang biasa sekarang ini ialah meminta yang lain menghabiskan makanannya. Dan tawaran itu ditolak mentah-mentah. Maka tukang menghabiskannya ialah ibu bapa atau dibuang saja.
 
Buah-buahan dalam peti sejuk akan tinggal membeku dalam peti sejuk itu. Tidak ada yang berselera untuk mengambil dan memakannya. Tambah-tambah jika buah-buahan itu perlu dikupas atau dibuang kulitnya. Jika ibu atau bapa tidak menghidangnya (membuang kulit  atau membuat potongan kecil) dan menjemput anak-anak itu makan, sampai bila-bila buah-buahan itu tidak keluar dari peti sejuk.

Setelah dihidangkan pun tidak ada ketentuan buha-buahan itu dimakannya.

Anak dulu memang pelahap, kuat makan. Tapi makanan tidak mencukupi. Anak sekarang tidak begitu. Makanan banyak tapi tidak menarik selera mereka.
 
Cerita ini mudah. Namun begitu ia ada kaitan dengan pembentukan keperibadian anak-anak itu. Saya hanya minta anda buat sedikit renungan dari segi sikap menghargai sesuatu dalam keadaan keberadaan segala-galanya dengan keadaan serba kekurangan. Anak zaman mana yang amabil mudah dan 'take thing for garnted'.
 
Ringankan bicara saya hari ini.



 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan