Theflowersellingboy

Jumaat, 28 Mac 2014

MH 370: Terimalah Teguran dan Pandangan Dalam Usaha Mengatasi Musibah Seperti Ini Berlaku Pada Masa Depan.




Kehilangan pesawat MH 370 masih lagi menjadi kisah yang dibicarakan. Kita mendoakan yang terbaik.
 
Pihak berkuasa tetap meneruskan pencarian. Kita juga doakan yang terbaik.

Kita teruskan kehidupan. Ambil iktibar atas peristiwa yang berlaku. Musibah, amat memilukan, dan kalau tidak diuruskan dengan baik boleh menambahkan lagi kepiluan. Oleh itu dalam menghadapi musibah ini kita diajar untuk berkata: " Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya lah kita dikembalikan".
 
Cukup. Kita teruskan kehidupan kerana peristiwa malang itu telah kita serahkan kepada Allah.
 
Ya, memang mudah bagi mereka yang tidak terlibat dalam musibah itu untuk berkata, teruskan kehidupan, terimalah kadaq dan kadar dari Allah. Ada hikmah disebalik musibah itu. Hanya Allah saja yang tahu.

Jadi apa perlu kita buat? Termenung. Menangis. Berdukacita. Marah. 

Adakah cara begitu boleh mengubati kepiluan kita akibat ditimpa musibah itu. Adakah ianya dapat membantu merungkai sebab musabab berlakunya musibah itu?
 
Sudah tentu jawabnya tidak. Malah ianya semakin mencelarukan fikiran. Fikiran kita menjadi tidak tenang. Hati bertambah sakit. Akhirnya kita jatuh sakit.
 
Jadi sebaik-baik cara ialah dengan berkata seperti diatas, 'dari Allah kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan'.
 
Dan kita teruskan baki-baki kehidupan yang ada. Jadikan musibah yang menimpa kita itu sebagai pengajaran. Banyak kelemahan dan kekurangan kita dalam aspek pengurusan keselamatan khususnya keselamatan penerbangan yang perlu kita atasi dan perbaikki. Saya tidak mahu membicarakannya secara khusus.
 
Pengajaran, bukan untuk kita saja. Pengajaran untuk semua. Kita melihat kelemahan dan kekurangan pada diri kita dulu. Lalu kita cuba memperbaikkinya/mempertingkatkannya.
 
Kita juga boleh membantu dengan memberi pandangan dan buah fikiran bagi mengatasi kelemahan dan kekurangan yang menyebabkan boleh berlakunya musibah itu. 
 
Namun begitu, kita perlu sedar bahawa pandangan dan buah fikiran itu selalunya dianggap sebagai mahu menuding jari meletakkan kesalahan kepada sesuatu pihak diatas berlakunya musibah itu.
 
Inilah yang berlaku di negara kita. Mana-mana pandangan , teguran atau pun buah fikiran selalunya ditekan dan dilenyapkan jika pandangan, buah fikiran atau teguran itu memperlihatkan kelemahan dan kekurangan pihak-pihak tertentu yang bertanggungjawab keatas sesuatu peristiwa.
 
Dengan hanya berkata, 'jangan suka menuding jari, mencari salah dan silap dalam saat-saat kita bertungkus lumus dan bermati-matian menghadapi musibah ini,' maka pandangan yang baik itu diketepikan.
 
Bagi saya kenyataan seperti diatas adalah tidak bertanggungjawab, dan merugikan negara pada jangka panjang.
 
Jika pandangan dan teguran itu ada kebenarannya, mengapa pula tidak diberi pertimbangan yang sewajarnya kalaupun tidak diterima sepenuhnya.
 
Jadi saya lihat dalam peristiwa kehilangan pesawat MH370 ini, selain ianya peristiwa yang menyedihkan kepada negara dan dunia, khususnya waris-waris kepada 239 orang insan didalam pesawat tersebut, peristiwa ini memberikan kita banyak pengajaran, khususnya kepada pihak berkuasa yang terdiri dari warga kerja MAS, DCA, Imigresyen, Polis, Tentera, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.  Menteri-menteri yang berkaitan juga perlu mengambil pengajaran dan tanggungjawab. Perdana Menteri memikul segalanya.
 
Saya juga mahu menyatakan penghargaan diatas ketetapan kerajaan untuk terus mengesan dan mencari pesawat yang hilang itu. Kita doakan agar usaha itu di permudahkan Allah dan berjaya, akhirnya.




 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan