Theflowersellingboy

Rabu, 5 Mac 2014

Keliru dan Mengelirukan




Tanyalah kepada sesiapa pun waemah kepada anak kecil yang berusia 2 atau 3 tahun, kita akan dapat jawapan yang sama.
 
Nak jadi baik atau jahat? Semua akan memilih untuk menjadi baik.
 
Tanyalah kepada perompak yang merompak harta orang lain, adakah dia rela harta atau barangnya dirompak? Sudah tentu dengan pantas dia akan berkata bahawa dia tidak rela. Ertinya perompakitu tidak suka perlakuan yang tidak baik dan menyusahkan pihak lain walaupun dia sendiri melakukan pernuatan tidak baik dan menyusahkan orang lain.
 
Tanya pula kepada seorang guru, adakah dia suka melihat anak didiknya terkandas dalam peperiksaan? Sudah tentu jawabnya, tidak.
 
Begitu juga kepada mereka yang diberi amanah memimpin negara. Tanya kepada mereka adakah mereka sanggup mungkir janji dan pecah amanah? Sudah tentu mereka menjawab tidak kerana itu janji dan sumpah mereka semasa menerima amanah itu.

Tanya pula kepada ibubapa, apakah yang doa mereka apabila dikurniakan zuriat? Jawabnya ialah anak yang soleh/soleha.
 
Tanya pula kepada seorang isteri/suami apakah harapan dalam berumahtangga? Ya, antara lain isteri/suami akan berkata untuk menjadi isteri/suami yang bertanggung jawab.
 
Tapi apa yang berlaku, yang kita tahu, yang kita dengar , yang kita lihat dan yang kita lakukan, sebahagian besarnya tidak begitu. Banyak yang tidak baik, menyusahkan diri sendiri dan orang lain walaupun kita  tahu dan sedar perbuatan itu bertentangan dengan nilai seorang yang mahukan perkara yang baik. Malah dalam banyak keadaan kita memberi berbagai alasan bagi mempertahankan perbuatan atau perlakuan tidak baik itu.
 
Berbagai alasan kita gunakan. Semua alasan itu hanya semata-mata untuk membela diri, cuba menutup kesalahan kita. Tujuannya ialah untuk menampakkan kita seorang yang baik. Sebab, kita sukakan yang baik sama seperti  perompak. Perompak tidak suka hartanya dirompak kerana dia percaya orang yang merompak hartanya itu adalah orang yang tidak baik.
 
Ada yang menggunakan alasan dengan mengambil ayat-ayat al-Quran menurut tafsiran yang dibuat yang memihak kepada diri sendiri. Paling tidak mereka akan mangatakan bahawa perbuatan jahatnya itu adalah satu yang telah ditakdirkan.
 
Tengok! Bagaimana orang yang tidak mahu dikatakan jahat sanggup menyalahkan Allah diatas perbuatan jahatnya itu.
 
Ini adalah realiti. Perlakuan-perlakuan jahat yang ditunjukkan itu tidak terhad menurut taraf sosial, kedudukan ekonomi dan kuasa, tahap dan bidang pendidikan yang diterima mahupun dari segi bangsa dan agama. 

Sebab itu kita menjadi keliru. Dan kita juga terlibat sama secara sedar atau tidak  dalam mengelirukan orang lain. Contohnya macam saya yang sentiasa menasihatkan anak-anak agar jangan merokok kerana merokok adalah satu perbuatan tidak baik. Tapi saya juga seorang perokok dan selalu juga menyuruh anak saya membeli rokok untuk saya.

Anak-anak pernah mempersoalkan kenapa saya merokok kalau iainya perbuatan tidak baik? 

Saya segera menjawab menurut jalan fikir seorang perompak, bahawa jangan ikut perbuatan ayah yang salah ini. Ayah tidak mampu berhenti hisap rokok kerana telah ketagih. Sebab itu ayah tidak mahu anak-anak jadi macam ayah.

Anak-anak saya yang sudah boleh berhujah, kelihatan senyum saja. Dan saya faham makna senyumannya itu. Anak yang masih mentah, nampak gaya macam termakan dengan alasan saya itu.

Jadi huru haralah pemikiran anak-anak saya itu, jadi celaru.
 
Untuk mengelakkan anak-anak jadi celaru, orang jadi keliru, anda fikirlah sendiri bagaimana untuk menjalani kehidupan di dunia ini.
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan