Theflowersellingboy

Jumaat, 7 Mac 2014

Apa Itu Makanan Yang Haram?

Apa itu makanan yang halal?

Pertanyaan diatas terlalu mudah sangat, kata sebahagian besar orang Melayu.

Bagi orang Melayu, secara amnya akan terbayang daging babi. Maka mereka cepat merasa loya lalu mahu muntah walaupun daging babi itu tidak ada dihadapannya. Mereka tidak akan melalui jalan yang terdapat jualan daging babi. Tapi kalau terpaksa juga, mereka akan menutup mulut dan hidung dan melangkah cepat ketika melalui kawasan babi itu. Dan paling mereka marah dan benci, jika ada pihak yang cuba mengaitkan mereka dengan babi. 

Babi bukan saja haram malah amat jijik sekali. Pantang orang Melayu dihinakan dengan babi maka naik darah dan bencilah mereka kepada yang cuba menggunakan babi bagi menghinakan orang Melayu, misalnya daging babi di baling ke dalam masjid. Hebuh seluruh dunia kalau berlaku hal seperti itu. Boleh jadi pergaduhan dibuatnya.

Sikap benci  dan tidak suka orang Melayu terhadap babi itu memang ada asas. Tidak salah. Dalam al-Quran menyatakan babi haram untuk dimakan. Ertinya orang Melayu patuh pada perintah Allah.

Benarkah begitu?

Adakah hanya tidak makan babi kita sudah patuh dengan perintah Allah dari memakan/meminum bahan/barang yang haram?

Banyak lagi benda/barang/bahan yang haram tapi sikap orang Melayu adalah berbeza sekali berbanding dengan daging babi. 

Arak itu haram, tapi ramai juga orang Melayu yang meminum arak atau sekurang-kurangnya terlibat dalam memperkembangkan/memajukan  perniagaan arak, misalnya bekerja ditempat-tempat yang ada menjual arak, tidak pula dipandang hina atau dibenci. Tetapi kalau ada orang Melayu, katakanlah seorang saja yang menjual daging babi atau bekerja dalam restoran yang menjual daging babi, sudah tentu orang itu dikecam, dibenci, dihina dimarahi dan dimusuhi sampai mati.

Tapi sepanjang yang diketahui belum ada lagi orang Melayu yang berniaga babi. Tak tahulah jika ada orang Melayu yang terlibat dalam perniagaan penternakan babi melalui pemilikan saham syarikat perternakan babi itu. 

Dalam hal arak pula, ada juga berita mengatakan bahawa ada orang Melayu mempunyai saham dalam perniagaan arak. Tapi tidak ada pun tentangan yang berkesan dalam hal ini. Tidak juga terdengar luahan perasaan benci danmarah kepada mereka ini.

Arak dan babi adalah makanan/minuman yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran sebagai haram. Tapi bagi orang Melayu , babi saja yang menjadi 'musuh'nya.

Oleh itu pemahaman tentang halal dan haram ini khususnya tentang pemakanan termasuk minuman perlu difahami dan diketahui oleh orang Melayu agar tidak mudah hanya menjawab bahawa babi saja makanan yang haram. Makanan/minuman dan perbuatan-perbuatan yang haram dan ditegah dalam Islam dianggap sebagai ringan saja, boleh lebih kurang.

Cuba kita ambil satu contoh tentang makanan yang kita makan hasil dari kerja merompak dan mencuri atau dari perbuatan rasuah atau dari salah guna kedudukan atau dari pendapatan hasil dari syarikat judi yang orang Melayu itu mempunyai saham.

Halal atau haram tak makanan itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan