Theflowersellingboy

Sabtu, 15 Mac 2014

Mex - iii) Kehilangan Pesawat MAS MH 370




Hari ke lapan kehilangan MH 370 - ada berita yang mengembali dan membuka harapan terutamanya kepada ahli keluarga  penumpang pesawat tersebut. Kita mendoakan pesawat itu selamat mendarat, dan kesemua penumpang dalam keadaan selamat, walau dalam apa situasi yang mereka hadapi. Dan kita mendoakan , tidak berlaku sesuatu yang amat malang. AMIN.

Sebelum persidangan akhbar pada sebelah petang hari ini 15 Mac, 2014, yang diberikan oleh PM, saya percaya sebahagian besar dari kita, terutama ahli keluarga penumpang termasuk keluarga anak kapal MH370, sudah hampir putus harapan untuk bertemu hidup orang yang disayangi. Tetapi berita terbaru dari persidangan akhbar itu telah sedikit sebanyak menghidupkan harapan mereka bertemu kembali orang yang disayangi.

Memang kita tidak tahu sama ada pesawat itu telah mendarat disesuatu lokasi dalam apa saja keadaan -diarah atau dirampas, atau dijauhkan Allah, terhempas atau apa saja bentuk kemalangan, tapi berita terbaru ini jelas mengesahkan bahawa pesawat itu tidak terhempas atau jatuh dilaut China Selatan, kawasan yang menjadi tumpuan awal pencarian kehilangannya. 

Pesawat itu dikatakan berpatah arah merentasi utara semenanjung Malaysia menuju ke Thailand, Teluk Benggala dan sejauh Kazakhtan atau ke Indonesia dan lautan hindi.

Maka pencarian dilaut china selatan ditamatkan. Tumpuan diberikan ke kawasan baru yang dikenalpasti.

Kita mengharapkan pasukan pencarian kita termasuk bantuan dari negara-negara sahabat akan berjaya akhirnya mengesan MH 370.

Dalam pada itu, persistiwa kehilangan pesawat ini banyak memberi pengajaran kepada kita, antara yang penting:

i) Kita tidak punya alat kelengkapan (aset) yang mencukupi, yang boleh berfungsi dengan baik bagi sesuatu misi mencari dan menyelamat. 

Adalah amat mendukacitakan, kapal selam scorpene yang kita perolehi pada kos yang besar tetapi tidak dapat digunakan bagi tujuan mencari dan menyelamat seperti ini, sedangkan negara-negara lain dikatakan ada menghantar kapal selam mereka.
       
ii) Cara kita mengurus dalam menghadapi keadaan seperti ini kurang mantap. Misalnya dalam menyampaikan maklumat-maklumat rasmi, boleh mengelirukan kerana terdapat percanggahan. 

iv) Kita terlalu gopoh mengeluarkan kenyataan sebelum mendapatkan maklumat sebenar duduk perkara. Misalnya dalam kes identiti mereka yang dikatakan menggunakan pasport curi.

Menteri Dalam Negeri pada reaksi awalnya sangat marah kepada pegawai-pegawai Imigresyen yang bertugas di KLIA ketika itu, yang katanya tidak dapat membezakan wajah orang Asia dengan wajah orang Eropah.

Maka berikutan dengan itu satu penyiasatan dalaman telah diadakan.  Akhirnya Ketua Pengarah Imigresyen mengesahkan bahawa segala langkah-langkah keselamatan seperti dalam SOP telah dipatuhi sepenuhnya.

Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi Jabatan Imigresyen itu dibawah Menteri Dalam Negeri. 

iv) KLIA telah menjadi satu kawasan bebas yang boleh digunakan bagi acara pembomohan tanpa dihalang. Peristiwa yang amat malang dan menyedihkan, lagi memalukan ini boleh ditonton oleh seluruh masyarakat dunia. 

Cuba renungkan ayat-ayat dibawah ini:

-Malaysia sebuah negara yang bercita-cita menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi apabila menyinsingnya fajar tahun 2020.

-Malaysia menggunakan khidmat bomoh bagi mengesan pesawat yang hilang. 

Anda ketawa dan malu?

Anda ketawa dan bangga?

Anda marah dan rasa terhina?

Pilihlah yang mana satu.

Anda ketawa kerana bomoh itu melakukan sesuatu yang tidak masuk akal. Tapi bagi saya perbuatan bomoh itu tidak menghairankan kerana itulah caranya seorang bomoh melakukan kerja-kerja pembomohan atau penujuman. Tidak mungkin bomoh itu akan menggunakan kompas atau radar atau apa saja alat mengesan komunikasi moden dalam pencariannya keatas pesawat yang hilang itu.

Jadi tidak perlu atau tidak ada sebab kita ketawakan penggunaan dua biji buah kelapa, dan menghantuk buah kelapa sama sendiri, dan penggunaan bakul dan tongkat mengayuh sambil duduk diatas tikar bagi melakukan penujuman.

Pak bomoh itu boleh berkata, "Niat saya adalah baik untuk membantu mengesan pesawat yang hilang".

Tapi, wajarkah perbuatan pembomohan itu kita terima?  Kita tanya:

-adakah kita yakin bomoh itu boleh mengesan pesawat tersebut?
 
-bukankah cara itu khurafat, syirik dan bertentangan dengan ajaran agama Islam?

Kita tanya lagi:

-siapakah atau adakah pihak keselamatan KLIA memberi kebenaran upacara pembomohan itu dilakukan?

-adakah pihak lain dari KLIA misalnya VIP seperti tang didakwa oleh bomoh itu yang memberi kebenaran kepada bomoh itu untuk melakukan pembomohannya?

-dan adakah ianya bermakna pihak VIP itu mempunyai kuasa mengatasi pihak keselamatan di KLIA?

-adakah kerja pembomohan itu dibayar dan siapa yang bayar?

Sesungguhnya Malaysia ini extraordinary, serba boleh - Mex.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan