Theflowersellingboy

Isnin, 10 Mac 2014

Seekor Kerbau Didakwa Menggesel dan Menanduk Batang Durian Dara, dan Tok Kaudu Mendapati Kerbau Itu Bersalah Berdasarkan Bukti Lumpur Yang Terpalit Pada Batang Pokok Durian Dara Itu. Kerbau itu pun Mati Reput.




Dua peristiwa paling utama dan perlu dirakamkan dalam sejarah Malaysia , sebuah negara yang diwarwarkan sebagai mengamalkan demokrasi terbaik, pemimpin yang terbaik dan adil dalam perjalanan dan angan-anagn untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi apabila menjelangnya 2020. Apakah 2 peristiwa itu? 

Ya, 2 peristiwa itu adalah peristiwa yang amat malang kepada negara kita Malaysia.

i) Pada 7 Mac 2014 jam 5 petang Anwar Ibrahim , Ketua Pembangkang, telah dijatuhkan hukuman masuk penjara atas kesalahan yang pihak penguasa percaya bahawa Anwar Ibrahim ada seorang peliwat.  Ini adalah hukuman penjara kali kedua yang telah dijatuhkan oleh pihak penguasa atas keyakinan yang sama, Anwar Ibrahim adalah peliwat.

ii) Sehari selepas itu berlaku peristiwa kehilangan kapal terbang MH370 milik MAS dalam perjalanan dari KL-Beijing. Sehingga sekarang belum kapal terbang yang hilang itu belum dapat dikesan. Doakanlah keselamatan mereka dalam kapal terbang itu, dan doakan juga kejayaan pasukan yang berusaha untuk mengesan kapalterbang itu.

Bagi saya kedua-dua peristiwa itu amat malang. Blog kecil ini merasakan terlalu penting untuk dirakamkan.

Namun , saya hanya mahu melanjutkan kisah malang ini dengan sebuah cerita buat Anwar Ibrahim. Biarlah peristiwa kehilangan MH 370 itu diuruskan oleh pihakyang bertanggungjawab.
 
Saya mendahului cerita fasal seekor kerbau yang dipenjarakan ini, dengan sedikit cerita fasal manusia yang bernama Anwar Ibrahim dari sudut pandangan mata ;  otak kepala yang meransangkan dan mengheret cara dan jalan berfikir; denyutan jantung dan bisikan  kalbu yang membentuk tujuan, niat dan perasaan yang diluah dan yang disembunyikan yang diikuti dengan perancangan dan tindakan.

Siapa punya mata?
Siapa punya otak kepala?
Siapa punya jantung dan kalbu?

Pihak penguasa dan yang sebakul dengannya.

Anwar Ibrahim adalah   manusia yang menjadi mimpi ngeri setiap tidur malam, igauan waktu siang, sewaktu mata kejap pejam nampak wajahnya, apatah lagi luas terbuka, terbeliaklah jadinya sehingga bayang-bayang sendiri pun mereka kata "itu Anwar Ibrahim",  lalu mata mereka bersama dan bergandingan berpadu erat dengan otak kepala, jantung dan kalbu, bersetuju sebulat suara bahawa manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini mesti direputkan - fizikal dan mental, semangat dan keyakinan perjuangan, sebelum mimpi ngeri itu  menjadi satu kenyataan kerana isyarat dan tanda semakin jelas dan menyerlah. Untuk itu reputan kekal keatas Anwar Ibrahim ini perlu disegerakan. Kata mereka "bahawa masa kita boleh aturkan, dan tidak ada keletihan dalam bekerja lebih masa kerana kita berurus dengan Anwar Ibrahim", manusia yang yang menjadi tudingan mereka atas segala kejahatan -- peliwat, penzina, penyalahgunakuasa, perasuah, pengkhiazat negara kerana menjadi agen negara asing, memecah perpaduan Melayu, tidak mengamal ajaran Islam yang sebenar dan apa saja yang jahat.

Ertinya segala yang jahat, segala yang tidak betul  di Malaysia adalah berpunca dan dilakukan oleh Anwar Ibrahim. Kalaupun ada orang lain yang secara hakikinya bertanggungjawab tetapi kerana Anwar Ibrahim ada bersama, dan orang lain juga ada bersama, yang salah adalah Anwar Ibrahim. Mereka mempunyai satu ucapan yang mereka sentiasa lafazkan "Bahawa tiada lain yang jahat melainkan dia, Anwar Ibrahim'.

Apapun yang mereka katakan, apapun yang mereka lakukan, saya tidak sedikitpun percaya bahawa satu keadilan telah diberikan kepada Anwar Ibrahim.

Saya tidak tahu sama ada sahih atau sebaliknya tuduhan mereka keatas Anwar Ibrahim. Tapi saya terlalu yakin Anwar Ibrahim tidak diberi ruang dan peluang yang adil. 

Ertinya secara peribadi, saya menyebelahi Anwar Ibrahim. Dan saya yakin pilihan saya itu betul.

Oleh itu peristiwa yang menimpa Anwar Ibrahim ini memberi sedikit inspirasi kepada saya untuk membuat satu cerita tentang kerbau yang dituduh merosakkan pokok durian sehingga dihukum penjara (diikat dan dikurung dalam kandang). Cerita ini adalah atas rasa hormat saya kepada keteguhan keyakinan dan kecekalan perjuangan Anwar Ibrahim yang menerima serangan dari atas , bawah, kiri dan kanan- dari sebahagian yang berkuasa, yang kaya dan miskin papa kedana.

Salam perjuangan dari saya.

Ikutilah cerita sang kerbau:

Ada sebuah kampong yang penduduknya berbilang bangsa, terdapat satu masyarakat yang sangat taat kepada ketua. Apa kata ketua, itulah kata masyarakat kampong itu. "Hitam kata Datuk, hitamlah kata kami semua", suara taat setia masyarakat itu. Satu baiah yang diwarisi turun temurun tanpa soal tanya.

Nama ketua kampong itu ialah Hang Kaudu. Jawatan ketua kampong itu adalah jawatan yang diwarisi turun temurun dari kabilah suku Buah Nangka. Sejak dari dahula kala lagi jawatan itu dipegang oleh kabilah ini. 

Adapun jawatan ketua kampong itu adalah satu jawatan yang mempunyai kuasa mutlak dalam semua bidang, baik bidang urusan hal ehwal kehidupan harian kampong seperti urusan pekerjaan dan pemasaran hasil keluaran, mahupun soal-soal berkaitan dengan salah laku yang melibatkan kerja-kerja siasatan diatas sesuatu aduan, mendakwa kesalahan atau pun menjatuhkan hukuman. Semuanya ditentukan oleh ketua kampong itu. 

Sebab itu sesuatu yang sebenarnya berwarna hitam, apabila ketua kampong kata sebagai putih maka anak buah akan mengatakan putih begitulah sebaliknya, walaupun ada juga yang menyimpan dalam hati tidak bersetuju dengan ketua kampong itu. Tapi apakan daya, ramai yang mengangguk bersetuju dengan ketua kampong itu dengan mencium tangan ketua kampong itu semasa bersalaman. Oleh kerana ketua kampong itu mempunyai kuasa mutlak maka yang tidak bersetuju itu berpendapat adalah lebih baik berdiam saja dari bersuara, buruk, padahnya.

Ketua kampong itu mengambil gelaran yang telah diwariskan sebagai Datuk Kaudu Maha  Sedia Lidah Menjelele. Namun begitu beliau lebih mesra dipanggil Datuk Kaudu atau dipendekkkan Tok Kaudu saja.

Adapun aktiviti ekonomi kampong itu adalah pertanian khususnya menanam padi. Kerja menanam padi dibuat secara gotong royong. Kerbau adalah binatang peliharaan dan juga digunakan untuk membajak sawah padi. 

Hasil tuaian padi akan dijual dan dikumpulkan dirumah kepunyaan wakil Ketua kampong. Harga akan ditentukan oleh wakil tok kaudu bagi pihak tok kaudu.

Padi yang telah dibeli dari masyarakat kampong itu yang terkumpul dirumah wakil tok kaudu akan di jual ke pasaran terbuka dibandar. Harga beli dari orang kampong terlalu rendah berbanding dengan harga jual kepasaran terbuka sejak dulu sehingga ke waktu semasa.

Masa berlalu.

Maka muncullah seorang dari anggota masyarakat itu , yang mempersoalkan tentang kuasa mutlak tok kaudu itu termasuk perbezaan harga yang melampau. Namanya Ai. Orang kampong panggil Dak Ai (budak yang bernama Ai). Dak Ai mula penentangannya dengan berbisik kepada seorang dua yang dia berpendapat sebagai orang yang sejalan dengan fikirannya. Dia berpuas hati dan yakin orang yang dibisikkan itu memihak dan sependirian dengannya.

Tapi, dia terlupa bahawa pengaruh tok kaudu lebih hebat mempengaruhi dan menguasai kehidupan sebahagian besar masyarakat itu termasuklah ada diantara orang yang dibisikkan itu.

Maka dipendekkan cerita, orang yang sentiasa taat pada tok kaudu itu menyampaikan berita ini kepada tok kaudu. Apa lagi naik beranglah tok kaudu apabila saja berita penentangan itu masuk ketelinganya.

"Berani dia lawan aku. Ajar dia. Baru dia tahu sapa tok kaudu maha sedia lidah menjelele".
 
Maka bersepakatlah mereka yang bersekutu dengan tok kaudu untuk menghukum Dak Ai yang di cap mohor sebagai penentang dan perosak masyarakat itu.

Mereka sepakat menggunakan kerbau dan pokok durian sebagai bahan untuk mengenakan Dak Ai.

Dipendekkan cerita lagi maka seorang orang tok kaudu ini membuat aduan pada tok kaudu menyatakan bahawa kerbau dak ai telah menggesel, menyondol dan menanduk batang durian daranya sehingga batangnya melecet dan kulit batang itu terkupas.

Menerimanya aduan seperti ini, tok kaudu bertindak agak luar biasa cepatnya. Tidak seperti aduan-aduan lain yang pernah diterima yang kadang-kadang mengambil setahun dua untuk disiasat. Dan kadang-kadang dibiarkan saja aduan itu yang biasanya dianggap tidak penting selagi tidak membahayakan kedudukannya.

Maka dipanggilnya dak ai dan sipengadu tadi ke balai seri mengadap untuk satu siasatan, dakwaan, pembelaan dan hukuman.

Tok Kaudu: Apa bukti kerbau itu menanduk dan menggesel pokok durian dara kamu?
Sipengadu: Lumpur yang melekat pada batang durian saya.
Tok Kaudu: Tunjukkan saya lumpur itu.
Sipengadu: Ini dia tok. Saya simpan dalam bekas daun pisang.
Tok Kaudu: Mengapa kamu biarkan kerbau kamu menggesel dan menanduk batang durian dara sipengadu?
Dak Ai: Bukan kerbau saya yang melakukan. Mungkin kerbau orang lain.
Tok Kaudu: Tapi lumpur ini sebagai bukti.
Dak Ai: Mungkin lumpur itu dari kerbau orang lain. Banyak kerbau yang berkubang. Bukan kerbau saya saja.
Tok Kaudu: Betul, ramai kerbau yang berkubang. Tapi lumpur ini dari kerbau kamu.
Dak Ai: Apa bukti lumpur itu , palitan kerbau saya. Sipengadu nampak dengan mata sendiri ke?
Tok Kaudu: Memang betul lumpur itu dari kerbau kamu. Macam mana pun saya mahu tanya sipengadu, benarkah kamu melihat kerbau dia yang melakukan geselan.
Sipengadu: Benar tok. Saya sendiri yang nampak.
Tok Kaudu: Saya percaya akan apa yang diberitahu oleh sipengadu. Dengan ini saya jatuhkan hukuman supaya kerbau kamu ditambat dan dikurung dalam kandang, kekal selama-lamanya. Kerbau itu kamu tidak boleh gunakan untuk membajak sawah atau dijual.

Maka hukum itu berjalanlah. Dan Dak Ai tidak lagi dapat mengerjakan sawahnya. Hilanglah punca pendapatannya. Nak jual kerbau itupun dilarang. Akhirnya kerbau itu mati reput didalam kandang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan