Theflowersellingboy

Ahad, 16 Mac 2014

Mex - iv) Harga Seekor Ayam RM 1




Seekor ayam yang telah disembelih dan dibersihkan boleh diperolehi dengan mengeluarkan wang RM1 saja. 
 
Berapa berat seekor ayam yang telah disembelih dan dibersihkan itu? Satu kilo atau setengah kilo atau lebih?

Mengapa kita perlu tanya berat ayam itu. Ianya tidak perlu kerana penetapan harga tidak berdasarkan timbangan berat. Asalkan seekor ayam, harganya tetap seringgit.
 
Adakah itu harga pasaran? 
 
Soalan itu juga tak perlu ditanya  kerana harga yang dijual itu luar biasa murahnya, extraordinary, mengapa susah-susah nak tanya harga yang terlalu murah. Beli saja ayam itu. Kalau nak adakan majlis misalnya nikah kahwin, beli banyak-banyak. Tapi jangan lupa jemput ramai orang termasuk PM.
 
Lagipun harga itu  PM yang sendiri yang membayarnya . Takkan kita tak percaya. Takkan PM tidak mampu jika harga seekor ayam itu dijual melebihi satu ringgit. 
 
Maknanya betullah harga itu seringgit.  Bijak sungguh cara PM berbelanja. Oleh itu kita mesti ikut cara berbelanja PM kita ni. Jangan asyik komplen harga barang naik tapi cara berbelanja tidak bijak. 
 
Kalau begitu kita mesti bijak berbelanja seperti yang disarankan oleh PM dan menteri-menteri kita.
 
Ertinya kita beli ikan, sayur dan daging  tak payah pakai timbang. Beli saja sepuluh ekor ikan, satu bakul kobis atau kacang mahupun kangkong, dan satu peha daging lembu. 
 
Kalau ikut kaedah penjualan ayam tadi, harga ikan, sayur dan daging itu hanya seringgitlah.
 
Dengan kebijaksanaan ini kita boleh jimat wang yang kita perolehi. Wang BR1M pun boleh kita jimatkan. Dan wang dijimatan itu boleh kita simpan dalam bank atau melabur dalam ASB atau beli saham Felda Global Venture. Dapatlah pulangan faedah dan dividen.

Jadi sekarang jangan banyak komplen tentang harga barang yang mahal. PM telah buktikan harga barang terlalu murah. Cuma yang perlu ialah kebijaksanaan kita berbelanja. Tip yang telah diberi ialah beli barang yang tidak perlu ditimbang beratnya.
 
Jangan pula cakap, PM yang beli maka sudah tentu penjual beri harga murah, bagi percuma pun penjual itu seronok.
 
Kalau begitulah cakap anda, sudah tentu anda ini tidak menggunakan otak secara bijaksana!
 
Sebab, bukankah Malaysia ini serba boleh, luar biasa bolehnya - Malaysia extraordinary.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan