Theflowersellingboy

Jumaat, 14 Mac 2014

Mex - ii) Hukuman Liwat 11 Anwar Ibrahim




Sesungguhnya Malaysia ini luar biasa -Malaysia Extraordinary (mex).

Paparan semalam saya mengakhiri antara lain dengan pertanyaan politik: Siapa hebat? PR dengan Langkah Kajangnya (LK) atau BN dengan pemilihan gelanggangnya. 

Ya, secara yang terlihat  PR telah tewas. BN lebih hebat politiknya.

Apa buktinya?

Anwar telah diketepikan secara 'undang-undang' dari layak menjadi calun dalam PRK Kajang. Maka skima PR, dalam LK sebagai satu strategi yang amat penting untuk menjadikan Selangor sebagai tempat berpijak yang kukuh dalam menjayakan matlamat bagi kerangka perjuangan yang besar menuju dan menguasai Putra Jaya menjadi 'terganggu'.

Itu apa yang terlihat.

Tapi ada yang tidak dapat dilihat sama ada oleh BN atau PR. 

Apa sebenarnya perancangan Allah?  Apa sebenarnya yang Allah hendak tunjukkan atau apakah iktibar yang boleh dipelajari kesan daripada keputusan mahkamah mensabitkan Anwar bersalah dalam hal yang dituduh, dan memenjarakan selama 5 tahun.

Allah saja yang maha bijaksana dan maha mengetahui.

PR, sudah tentu amat marah pada reaksi spontan. Ini boleh difahami melainkan anggota PR itu terdiri dari Malaikat.

BN, terutamanya kepimpinan UMNO dan mereka yang sebakul dengan kepercayaan UMNO, sudah tentu senang dan reda kerana orang yang amat ditakuti, musuh seumur hidup ( saya katakan begitu ialah kerana bagi mereka tiada yang baik pada Anwar) telah dapat diketepikan, sekurang-kurangnya tidak dapat bertanding dalam PRK Kajang ini.

Perasaan UMNO dan BN sebegitu juga boleh dengan mudah difahami.

Saya tidak mahu menyentuh soal sabitan yang telah dibuat. Itu hak mahkamah. Hakim yang memutuskan itu sudah tentu mengambilkira antara lain kesan pada diri mereka pada penghakiman diakhirat nanti. Semua manusia yang beriman berharap segala yang kita lakukan mendapat keredhaan dari Allah.

PR marah tapi tidak hilang arah. PR ada calun sebagai ganti kepada Anwar iaitu Wan Azizah. LK nampaknya tidak terjejas langsung malah semakin membara.

BN seperti biasa tidak mahu mengalah. Malah menyatakan peluang mereka semakin baik untuk memenangi Kajang.

Anwar pula setelah berjaya diikat jamin masih lagi beredar dari satu lokasi ke satu lokasi, berkempen untuk memenagkan PR.

Cuma BN kali ini tidak menampilkan orang atau pihak yang dituduh dianiayai atau disakiti oleh Anwar, setakat ini, dalam kempennya, seperti yang biasa dilakukan dalam setiap kempen pilihanraya atau ceramah bagi memperlekehkan Anwar.

Tidak ada Ummi Hafilda, tidak terdengar kata-kata cerca kawan-kawan Anwar yang telah berpindah dan mesra  UMNO untuk mengutuk Anwar. Malah saya rasa, orang yang telah dianiayai Anwar yang baru saja mendapat 'keadilan' dari mahkamah, iaitu Saiful Bahari, tidak akan juga muncul dalam kempen untuk menceritakan 'kisah benar' perlakuan mereka berdua.

Ertinya Anwar sudah tamat riwayatnya, sekurang-kurang untuk PRK Kajang.

Tiada apa yang BN perlu gusar. BN tahu mereka tetap kalah, dan dalam hati kecil, BN sudah bersedia untuk menerima kekalahan. Sememangnya mereka tahu bahawa kalah tetap kalah. Tapi....., ya ada tetapi dalam pengharapan BN. Jika mereka dapat satu undi, mengurangi majoriti PR dalam PRU 13 bagi DUN Kajang itu, BN akan bersorak besar dan  suasana akan menjadi riuh rendah dengan hebuhan yang diulang-ulang siar dan tayang, setiap hari, dalam tempoh yang lama, bahawa rakyat telah kembali kepada BN.

Bagi BN, satu undi mengurangi majoriti PR dulu adalah kemenangan yang amat manis sekali. Apatah lagi akan tersebar luaslah bahawa mereka tidak zalim pada Anwar, bahawa mereka tidak masuk campur kes Anwar, dan bahawa mereka adalah kerajaan yang disayangi rakyat.

Jadi, bagi BN ada faedah yang amat besar, Anwar diketepikan. 

Bagi PR, merasakan hukuman itu sesuatu yang dikatakan tidak adil, dan ada mainan politik, lantas mereka marah yang amat sangat, sehingga mahu memulakan Reformasi Siri 2, tapi masih yakin dengan perjuangan LK , malah sabitan bersalah itu memberi kekuatan yang semakin bertambah bagi menumbangkan BN.

BN merancang dan bertindak bagi kemenagan PRK ini. Mereka mempunyai segala kekuatan - kuasa, wang, jentera, peralatan dan boleh saja menggunakan apa saja tanpa batasan, kerana mereka terlalu kebal, tidak pernah lot oleh sebarang tindakan mahupun undang-undang.

PR merancang dan bertindak juga dalam keadaan kemampuan yang terbatas, meyakinkan rakyat khususnya pengundi Kajang bahawa mereka perlu mengundi PR jika mahu satu kerajaan yang dapat menguruskan negara dan rakyat dengan  lebih baik.

Ya, PR dan BN berkempen. Anwar berkempen juga walaupun sudah ada sabitan salah. Tapi 'sparring partner' beliau dalam kes liwat 11, yang kezaliman dan penganiayaan keatasnya telah terbela, dan dia telah bersyukur diatas keputusan mahkamah itu, Saiful Bahari, tidak kelihatan kelibatnya dalam kempen Kajang ini, setakat ini, bagi menceritakan cerita benar beliau.

Tapi kalau Anwar didapati tidak bersalah, maka berjujai-jujailah mereka yang telah dizalimi atau disakiti Anwar akan berebut-rebut kedepan menaikki pentas untuk memberikan cerita benar dan kisah-kisah buruk , hitam dan jijik serta hina yang dilakukan Anwar. Sebab kata mereka, mereka kawan Anwar. Sebab kata mereka ,mereka bekerja dengan Anwar walaupun sebagai pembuat kopi o. Sebab kata mereka , mereka rapat dengan Anwar, mereka tahu segala-galanya.

Cuma yang mereka tidak akan cerita ialah faedah yang mereka dapat dari Anwar atau pun menggunakan nama Anwar.

Jadi kepimpinan BN pun jadikan  modal kempen. Tapi tidak kempen dalam PRK Kajang ini. Sabitan Anwar ini telah mencalarkan serta merosakkan strategi kempen BN yang mahu membangkitkan kisah Anwar yang tidak bermoral. Tapi BN tetap ketawa besar......., mungkin ada yang berkata MAMPUS KAU!

PR bagaimana? LAWAN TETAP LAWAN!

Perang BN dan PR baru mula nak memuncak dan panas, tiba-tiba satu hari selepas sabitan salah Anwar oleh mahkamah, berlaku kehilangan MH 370. Maka berita yang diperkatakan sekarang ini lebih kepada pesawat MH 370 yang hilang dan masih belum diketemui lagi.

Tenggelam cerita sabitan kesalahan Anwar.

Siapa suka? 

Saya tidak bermaksud suka tentang kehilangan pesawat itu. Kita semua rakyat Malaysia wajib mendoakan agar Allah mempermudahkan kerja dan usaha-usaha bagi menemui pesawat itu, dan dengan izin Allah mengharapkan yang terbaik kepada ahli keluarga penumpang-penumpang pesawat itu.

Sesungguhnya Malaysia ini luar biasa, Malaysia yang Extraordinary - mex.

Bersambung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan