Theflowersellingboy

Selasa, 1 April 2014

MENCARI KEBENARAN: Kisah Tuduhan Liwat Anwar Ibrahim.


Sudah menjadi fitrah kita manusia untuk mencari kebenaran. Kita mahu tahu apa yang sebenarnya. Sama ada orang itu jahat, orang itu juga mahu cari kebenaran, jika dia merasakan atau dia tahu dia dizalimi, dianiayai atau dia disakiti. 

Apatah lagi orang yang baik-baik, yang sentiasa mahukan kebenaran dan menolak penipuan, kezaliman dan penganiyaan, walaupun dia sendiri tidak pernah ditipu, dizalimi, dianiayai dan disakiti - orang-orang ini mahu tahu apakah yang sebenarnya, dan berusaha mencari dan mendapat maklumat dan fakta bagi mengesahkan sesuatu kebenaran.

Video diatas, kalau anda telah terlebih dulu tonton sebelum membaca tulisan  dibawah ini, khususnya melihat dan mendengar penjelasan dari saudara Saifuddin Nasution mengenai kes fitnah liwat 2, Anwar Ibrahim,  yang telah disabitkan salah oleh Mahkamah, dan  dihukum penjara 5 tahun, anda perlu  ulang tonton. 

Dengar baik-baik, catatkan apa yang anda dengar, dan baca serta teliti  catatan anda itu supaya anda tidak melakukan kesilapan. Kemudian anda renung dalam-dalam, fikir secara tenang dan buatlah pertimbangan anda sendiri. Anda juga perlu tanya:

i) Adakah apa yang dicakapkan oleh Saifuddin itu benar?
ii) Kalau ianya benar, adakah kes ini suatu fitnah?
iii) Bolehkah seseorang yang difitnah  itu disabitkan kesalahan?

                    ATAU

i) Adakah Saifuddin memberi maklumat dan fakta bohong? Jika begitu Saifuddin wajar didakwa.

Saya telah beberapa kali ulang dengar dan tonton video ini. Tujuannya ialah untuk menjadikan satu dari sumber mencari kebenaran. 

Saya percaya anda pun mahu mencari kebenaran sama ada anda penyokong Anwar atau bersimpati dengan Anwar atau anda tidak menyokong mana-mana pihak atau memusuhi Anwar. Yang penting, kita semua mahu mencari kebenaran.

Bagi saya, sejak dari kes pertama dulu, semasa Anwar dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, sehinggalah kes liwat 2 ini, saya ikuti serapat mungkin. Terpampang didada akhbar akan tuduhan yang dikenakan keatas Anwar Ibrahim. Tv dan radio mengulang siar berita tentang dakwaan ini.

Bukan liwat saja, beliau didakwa salahguna kuasa, penderhaka dan agen kuasa asing. Puluhan bilangan tuduhan dikenakan.Beliau didakwa dengan berbagai kesalahan.

Saya  juga mengikuti proses dan perjalanan perbicaraan di mahkamah, sehingga sabitan dibuat.

Oleh kerana tuduhan itu terlalu banyak, dan diluar dari jangkaan otak saya bahawa perlakuan jahat itu sanggup dilakukan oleh seorang yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri, terutamanya tentang menjadi agen kuasa asing, yang boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara; dan oleh kerana saya sedia tahu akan pergeseran politik dalam kepimpinan UMNO ketika itu, maka saya meragui kesahihan dakwaan yang dibuat.

Tambah-tambah lagi bila Mahathir yang menjadi PM ketika itu mengatakan bahawa dia tidak mahu Malaysia ditadbirkan oleh seorang PM (jika Anwar jadi PM) yang mempunyai moral yang rendah.

Ertinya dakwaan dibuat atas sebab moral.  Maknanya pemimpin yang lain termasuk Mahathir tidak ada masalah moral?

No, bohong yang paling besar.

Bagi saya dakwaan dibuat atas sebab ancaman kedudukan politik. 

Walaupun banyak dakwaan dibuat tapi akhirnya tuduhan liwat dan salah guna kuasa saja yang didakwa.

Kedua-dua tuduhan itu disabit kesalahan oleh mahkamah. Maka Anwar masuk penjara. Kemudian Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar dari tuduhan liwat.

Sekali lagi saya katakan, dakwaan ini adalah bermotif politik. Bukan soal moral dan salah guna kuasa. Kerana, saya tidak percaya walau sebesar zarah sekalipun , pemimpin-pemimpin lain dalam kerajaan mempunyai moral yang baik termasuk orang yang mendakwa Anwar tidak bermoral.

Tujuan utama ialah untuk menyingkir Anwar dari saingan politik menjadi PM. Itu saja.

Sepanjang perbicaraan, maklumat dan fakta yang didedahkan adalah amat meragui untuk membolehkan Anwar disabitkan kesalahan. Tapi beliau tetap disabitkan kesalahan.

Kes kedua mempunyai persamaan juga. Tapi yang ini lebih mudah untuk kita faham bahawa ianya tidak benar.

Mengikut video diatas, Saifuddin menyatakan antara lain:

i) Pada 24.06.08 -Saiful (pemuda yang mendakwa diliwar oleh Anwar) berjumpa PM, Rosmah (isteri PM) dan Shafie (peguam swasta, juga peguam UMNO, peguam yang mewakili Najib dan Mahathir) untuk mendapatkan biasiswa dan mengadu diliwat oleh Anwar.

Tidakkah otak anda akan mengatakan/bertanya: Tidak mungkin seseorang yang mahu minta pertolongan untuk mendapat biasiswa akan menceritakan fasal dianya diliwat. Tak maluke? 

Nak dapat biasiswa tapi cerita kena liwat. Mana lebih utama dan penting, cerita kena liwat ke atau biasiswa? 

Bagi saya dapat biasiswa itu lebih penting. Cerita kena liwat itu memalu dan menyeksakan, dan perlu dilapor segera kepada polis. Tak perlu jumpa PM untuk memberitahu kena liwat.

Mengapa berjumpa PM dirumahnya untuk dapatkan biasiswa? Kenapa tidak dipejabat? Sungguh mudah ke untuk jumpa PM?

Dan banyak lagi anda boleh tanya.

ii) Saiful beritahu mahkamah dia diliwat oleh Anwar pada 26.06.08.

Sudah tentu anda akan cepat bertanya: Kenapa Saiful beritahu PM pada 24.06.08 dia diliwat sedangkan dimahkamah dia beritahu tarikh kena liwat ialah pada 26.06.08. Pelik tak . Beritahu kena liwat terlebih dahulu sebelum kena liwat? 

Pada orang yang mahu cari kebenaran akan mengatakan cerita  kena liwat ini tidak benar. Tapi bagi yang tidak mahu terima kebenaran, masih juga kata cerita Saiful itu benar.

iii) Pada 28.06.08 Saiful  buat laporan Polis dia kena liwat, dua hari selepas beritahu mahkamah dia diliwat. Empat hari selepas dia jumpa PM mengadu sia kena liwat.

iv) Seorang doktor swasta dan 3 doktor kerajaan membuat pemeriksaan pada bahagian dubur Saiful yang kena liwat. Semua doktor kata tiada masukan (penetration) kedalam dubur Saiful.

Kalau doktor kata tiada penetration, bukti pakar mana lagi yang hendak dipakai.

v) Pada 26.06.08 ambil sample DNA pada dubur Saiful. Mengikut pakar, ianya BOLEH JADI air mani.

DNA boleh diperolehi selain dari air mani , misalnya rambut. Ertinya bila doktor kata 'boleh jadi' , ianya tidak ada kepastian sama ada DNA itu dari air mani atau dari yang lain.

Bolehkah kita gunakan pengesahan secara boleh jadi itu sebagai pengesahan yang 100 peratus benar?

vi) Kenapa pendakwaan tidak dilakukan oleh Peguam Negara? Kenapa pendakwaan kes yang penting ini dilakukan oleh peguam swasta? Dan kenapa pula peguam swasta itu peguam yang pernah mewakili Mahathir dan PM sekarang ini? Dan dia juga peguam UMNO.

Satu lagi - bukankah peguam itu ada hadir bersama ketika Saiful berjumpa PM , mengadu dia diliwat. Adakah kehadiran peguam itu satu kebetulan? Dan adakah menjadikan peguam swasta itu sebagai pendakwa untuk mendakwa Anwar merupakan satu lagi kebetulan? 

Mengapa kes Anwar itu, pendakwaan diberikan kepada peguam swasta, dan tidak kes lain misalnya kes Altantuya?

Tidak nampakkah kaitan politik? Tidakkah anda nampak antara Anwar dan Mahathir adalah musuh ketat? Tidakkah anda nampak Anwar adalah ancaman kepada kedudukan politik Najib?

vii) Tidakkah tergerak dihati anda, dan tidak mampukah otak anda untuk berfikir bahawa ada sesuatu tujuan yang amat jelas apabila kes perbicaraan rayuan Anwar ini di percepatkan sedangkan kes itu telah ditempah tarikhnya pada bulan April 2014. 

Anwar adalah bakal calun PRK Kajang. Penamaan calun pada 11. 03. 14.  Kes mahkamah yang telah ditempah pada bulan April, dipercepatkan kepada 6/7 Mac. Dan Anwar disabitkan salah pada hari yang sama iaitu 7 Mac. Hakim bekerja sungguh luar biasa, menjangkaui sehingga jam tujuh lebih.

Maka dengan itu Anwar tidak layak jadi calun dalam PRK Kajang itu.

Apakah tiada lagi kesabaran dipihak mahkamah  untuk menjatuhkan hukuman? Adakah Anwar yang dituduh meliwat itu, MESTI dijatuhkan hukuman segera? Kalau tidak Anwar akan.......buat jahat lagi, terus meliwat. Adakah itu asasnya mengapa sabitan salah Anwar perlu disegerakan? 

Maka dengan itu Anwar tidak layak menjadi calun PRK Kajang kerana hakim telah mensabitkan salah dan dihukum penjara 5 tahun. Maka dengan itu juga pada penamaan calun 11.03.14, Anwar , hanya mampu mengiringi calun pengganti. 

ADAKAH SEBENARNYA ANWAR ITU MELIWAT SAIFUL SEPERTI YANG DIDAKWA? 

Carilah Kebenaran.

Namun, sekali lagi saya tegaskan kalau ada orang mengatakan bahawa pendakwaan keatas Anwar ini berasaskan kepada moral, dan kita tidak mahu seorang PM ( cita-cita Anwar untuk jadi PM) yang tidak bermoral/rendah moral, SAYA dengan berani mengatakan MORAL bukan asas kepada pendakwaan ini.  POLITIK adalah IBU keatas PENDAKWAAN kes Anwar ini.

Sekali lagi saya mengajak semua agar mencari kebenaran.

Saya percaya kita semua mahukan yang benar. Dan jika ada yang mahu juga menolak kebenaran, dan terlalu yakin kebenaran itu tidak penting asalkan anda dapat memenuhi rasa amarah dan dendam kesumat terhadap seseorang, pada suatu hari nanti anda akan berkata bahawa kebenaran itu terlalu berharga apabila anda dituduh melakukan sesuatu yang anda tidak lakukan semata-mata anda dilihat sebagai pesaing yang boleh mengancam kedudukan lawan anda itu.

Anwar boleh menafikan. Mereka yang menyokong Anwar boleh menafikan. Pasukan pembela Anwar juga boleh menafikan.

Saiful dan mereka yang memusuhi Anwar boleh merancang dan mengiakan, dan penyiasat boleh mengemukakan fakta, pendakwa boleh berhujah mengatakan ada bukti yang sahih, dan hakim boleh mensabitkan.

Namun Allah SWT yang maha mengetahui.

Oleh itu carilah kebenaran berpandukan ketakwaan kita terhadap Allah SWT.

Dan jangan pula ada yang mengajak bersumpah untuk membuktikan kebenaran. Kalau begitu, anda bunuh orang dan bersumpah mengatakan anda tidak melakukannya. 

Itu bukan cara mencari kebenaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan