Theflowersellingboy

Selasa, 18 Mac 2014

MH370 , dimana kamu berada.....janganlah mengusik perasaan kami lagi.




Semoga kau MH370 selamat. Dan kau beserta dengan anak kandungan kau juga selamat. Hanya itu saja doa kami . Kami warga dunia mendoakan keselamata kamu dan anak-anak kandung kamu dengan cara pilihan kami. Ada yang melafazkan suara, berdiam diri bertafakkur, berbisik dalam hati, melakar dan menulis menyatakan perasaan dihati menyatakan harapan agar kau dan anak-anak kau selamat kembali. 
 
Kami buat segala cara untuk mengesan dan mencari mu.  Segala aset -moden, canggih dan terkini kami gunakan dalam pencarian. Apa saja peralatan dan kelengkapan menyelamat dan mencari yang ada , kami gunakan. Yang mengendalikan alat dan kelengkapan, yang melakukan pencarian untuk usaha menyelamat adalah pakar-pakar dan berpengalaman, bukan orang sembarangan.
 
Kami tidak gunakan satu kapal atau satu perahu. Kami gunakan bilangan yang banyak. Kapal terbang, helikopter, kapal laut, kapal selam yang terlibat dalam pencarian ini menguasai laut cina selatan dan sekitarnya  - udara, darat dan laut kami mencari mu. 
 
Bahkan perahu nelayan pun turut sama kami gerakkan mencari mu wahai MH370. 
 
Tapi jangan pula kau berkecil hati seolah-olah kami ambil ringan dan tidak serious dalam kerja kami ini. Maalumlah, kata setengah orang, apa yang mampu dilakukan oleh perahu nelayan dalam mengharungi laut cina selatan itu. Ombaknya terlalu besar. Apa yang mampu dilakukan oleh nelayan, sedangkan ilmu pengetahuan mencari dan menyelamat setakat mampu mencari ikan saja, kata setengah yang lain.
 
Percayalah, kami semua sayangkan kamu. Kata orang, yang celik bergerak laju dan yang buta meraba-raba. Yang penting, celik dan buta tidak berpeluk tubuh diatas kehilangan mu.
 
Bukan itu saja usaha kami. Sebenarnya, kami tidak membataskan usaha dalam mencari dan menyelamat ini berdasarkan ilmu logik dan hukum sains. Kamu tahu, kami juga gunakan khidmat tok bomoh. Ah, kalau kau ada dan anak-anak kau ada, melihat dan mendengar cerita ini, kami percaya kau akan ketawa terbahak-bahak, tidak kering gusi. 
 
Ya, memang ada yang ketawa.  Ada yang kata seluruh dunia ketawa. Ada yang malu, katanya amat memalukan. Dan ada yang marah kerana ianya syirik dan khurafat.  Maka bergaduhlah antara tok bomoh dengan setengah orang dan pihak. Cabar mencabar. geli hati dibuatnya.
 
Tapi percayalah, kami sayangkan kamu mengatasi kesan dan akibat yang negatif  dari perbuatan itu.
 
Tuan kau bertungkus lumus melakukan usaha mencari dan menyelamat. Dijemputnya juga kawan-kawan jauh dan dekat turut serta., dan ada yang datang secara sukarela.
 
Sudah masuk hari yang kesepuluh, kau masih lagi belum dikesan. Dimana kah kamu berada wahai MH 370.
 
Ya, mula-mula kami menyangka kau berada dipersekitaran laut cina selatan kerana itulah kali terakhir kau dapat dihubungi. Kami mencari kamu disana. Berduyun-duyun menuju ke sana. Tapi kami amat hampa sekali kerana kau masih tidak dapat dikesan.

Sekarang kami beralih kawasan. Dua kawasan jadi tumpuan, di sebelah barat laut cina selatan. Kami sekarang berada di dua kawasan itu, mencarimu. Harap-harap kamu ada di sana. Janganlah mengusik hati kami lagi. Cukuplah apa yang kami tanggung walaupun kami tahu, kau dan anak-anak kau tidak tertanggung lagi seksanya -entah hidup entahkan mati.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan