Theflowersellingboy

Rabu, 26 Februari 2014

Menggantungkan Harapan Pada Seekor Lembu

 
 
 
Pukul 10 pagi. Aku duduk bersila berhampiran tangga di hadapan rumah menghadapi laman. Ditanganku adalah surat tawaran ke Kuala Lumpur (KL).
 
Aku, salah seorang dari sembilan orang dari sekolahku yang berjaya mendapat tawaran ke Kuala Lumpur. Aku paling gembira sekali. Tiada lagi perlu mengayuh basikal tua yang melecetkan punggung.

Surat tawaran itu menyertakan sama senarai barang-barang dan keperluan yang perlu disedia dan dibawa bersama termasuk peraturan dan undang-undang sekolah yang perlu dipatuhi.

Undang-undang dan peraturan sekolah itu tidak menjadi hal pada aku. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

 Mataku memberi tumpuan keatas senarai barang-barang keperluan itu. Pakaian seragam sekolah 4 pasang, cadar dan sarung batal 4 pasang, towel mandi 2 pasang, baju dan seluar Melayu 4 pasang, kasut putih {getah) 4 pasang, kasut kulit berwarna hitam sepasang, dan........

Aku sudah mula pening. Mana mahu cari duit untuk menyediakan semuanya ini. Abah aku belum tahu hal ini. Emak pun belum diberitahu. Dan aku tidak mahu beritahu. 

Semasa aku memaklumkan kepada kedua ibubapaku akan tawaran ke KL ini, reaksi dari mereka sama seperti mahu menyambut hari raya. Suka tapi gelisah. Suka kerana ianya hari kebesaran selepas berpuasa. 

Tapi mereka merasa gelisah kerana gagal mengisi hari kegembiraan itu. Kuih muih, pakaian anak-anak, keceriaan rumah seperti langsir dan mencantikkan rumah, membayar zakat fitrah dan berbagai pengisian lain yang dapat dilakukan oleh orang lain  tidak mampu dilakukannya.

Abah dan emak cuma berjaya tersenyum suka saja, tapi tidak teruja. Tidak banyak soalan atau maklumat yang mahu ditanya. Malah tidak juga memintaku membaca isi kandungan surat tawaran itu.

Jadi macam mana? Kepalaku bertambah pening. 

Minta bantuan dari saudara mara? Tidak semudah itu. Ini bukan perjalanan untuk menunaikan haji dimana ramai yang mahu bersedekah, menghulurkan seringgit dua. Atau sanggup membeli tanah yang ditawarkan oleh bakal haji itu.

Perjalanan aku ialah ke sekolah asrama penuh. Pelajaran bukannya menjadi keutamaan. Apatah lagi bukan anak sendiri yang terlibat.

Ya, aku ada beberapa ekor lembu. Boleh dijual seekor darinya untuk mendapatkan wang bagi menyediakan keperluan sekolah. 

Berapa agaknya harga yang boleh diperolehi. Otakku mula mengira.

Masalahnya, adakah abah bersetuju? Dan beranikah aku mengemukakan cadangan ini?

Abahku seorang yang tidak banyak cakap dengan anak-anak. Cakapnya kepada anak-anak adalah dalam bentuk arahan atau suruhan. Mesti di patuhi, jika tidak mahu rotan sega naik atas belakang. Dan aku serta adik beradikku sudah tahu kerana semua sudah merasa. 

Emak pula adalah orang perantara antara anak-anak dan abah aku. Apa saja permintaan, emak lah yang menyampaikan kepada abah. Banyak kali emak kena marah kerana permintaan itu tidak mampu diadakan oleh abah.

Aku tidak berani menyatakan cadangan menjual lembu itu kepada abah. Aku pula kasihan pada emak kerana aku yakin abah tidak akan bersetuju, dan emak akan dimarahinya.

Tolak saja tawaran ini. Buat apa susah-susah.

Itulah yang terlintas dalam fikiranku.

Tapi tawaran ini adalah satu peluang yang tidak semua orang dapat. Hanya yang mendapat keputusan peperiksaan yang terbaik saja yang ditawarkan. 

Aku mesti berani. Aku mesti berani menyatakan isi hatiku. Mengapa aku  perlu takut. Mengapa aku mahu menyusahkan emak , sedangkan aku ada mulut sendiri. Lagi pun dia itu abahku. Tidak mungkin perkara yang baik ini boleh membuatkan abahku hilang pertimbangan dan merotan aku. Aku nak pergi belajar dan bukan nak main-main.

Aku semakin bersemangat. Darah keberanian mula mengalir, cepat sekali mengalir keseluruh tubuh badanku.
 
Abahku baru saja balik dari menoreh getah disebuah ladang kepunyaan orang putih. Dia nampak keletihan. Maklumlah, keluar pada waktu Subuh dan balik pada pukul satu tengah hari. Tiada sarapan pagi, cuma minum air masak saja.

Entah macam mana, ada suatu perasaan mula menguasai diriku apabila melihat wajah abahku yang keletihan itu. Simpati dan kasihan? Aku tidak tahu.

Tapi aku rasa semangat yang panas berkubar-kubar sekejap tadi untuk menyatakan sesuatu kepada abah , mula sejuk dan mengendur. Aku mula diresapi perasaan mahu mengalah.

Apalah ada pada sekolah asrama penuh itu berbanding dengan penat lelah abahku. Aku menyusahkan keluarga saja.

Perasaan mengalah itulah yang menguasai diriku sehingga aku tidak ada keberanian untuk berhadapan dengan abah untuk mencadangkan menjual lembu, jika abah membangkitkan masalah kemampuan kewangan.

Dari ruang dapur terdengar suara emak memanggil. Ajak makan bersama.

Aku melangkah menuju ruang dapur, membawa sama surat tawaran itu.

Kami makan. Tidak ada perbualan mahu pun pertanyaan dari abah atau emak. Senyap saja. Yang terdengar ialah kunyahan makanan.

Sebaik habis makan , abah bertanya apa surat yang aku himpit dibawah peha kanan ku itu.

Aku agak gugup dengan pertanyaan itu. Aku tahu, bahawa abah tahu surat apa yang aku himpit itu. 

"Surat tawaran", jawabku pendek.

"Bila nak pergi?", Soalan dari abah yang membuka sedikit ruang harapan.

Soalan itu mula membina rangsangan dihati untuk aku menyatakan tentang pembiayaan dan cara mana pembiayaan itu diperolehi.

"Kalau kita terima bolehlah pergi. Kita kena keluar belanja sikit untuk sedia barang-barang keperluan", jawab aku tanpa menyatakan tarikh pemergian.

"Berapa belanja?"  Tanya abah  lagi seoalah-olah wang tidak ada masalah. Aku bertambah berani walaupun merasa sedikit kehairanan.

"Tak tahu lagi. Tapi kita kena sediakan barang-barang dalam, senarai ni", aku memberikan senari itu kepada abah.

"Banyak pakai duit ni. Mana nak dapat duit. Abah tak ada duit", kata abah.

Kali pertama dailog yang begitu panjang diantara aku dan abah . Ia tidak pernah berlaku sebelumnya. Tidak juga dengan adik beradaik yang lain.

"Kita jual lembu", aku sudah berani membuat cadangan walaupun aku menjangkakan rissiko kena marah amat tinggi.

Abah bingkas bangun. Tapi dia tidak marah tidak seperti yang aku jangkakan. Dia berjalan menuju ke pintu tangga ruang dapur yang terbuka. Dari situ boleh kelihatan lembu-lembu peliharaan yang tertambat menunggu aku melepaskan ikatan untuk dibawa makan di ladang getah.

Abah tidak berkata sesuatu. Aku pula segera bangun untuk melepaskan ikatan lembu-lembu itu untuk dibawa meragut rumput diladang getah kepunyaan orang putih dan tauke China yang bebas dimasuki.

Sambil mengekori lembu itu, aku membayangkan betapa seronoknya belajar di sekolah asrama penuh. Yang pasti, punggung aku tidak lagi akan melecet dik geselan rangka tempat duduk basikal tua yang telah berkhidmat selama tiga tahun sepanjang aku bersekolah dari tingkatan satu sehingga tingkatan tiga.

Aku senyum sendirian.

Tapi kalau abah tak setuju jual lembu?

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan