Theflowersellingboy

Selasa, 1 Mei 2012

BERSIH 3.0: Gajah Berjuang, Pelanduk Yang Mati

Sudah masuk hari ke 3, fikiran saya masih lagi bersih dengan cerita BERSIH 3.0. Terlalu jelas seperti kristal akan peristiwa BERSIH 3.0 ini. Jelas akan peristiwa perlakuan kekejaman dan kezaliman sesama manusia. 

Semalam saya berbicara pendek tentang BERSIH 3.0 Siapa kaki Pukul. Hari ini dan mungkin esok, lusa, tulat dan seterusnya sehingga ingatan saya masih tidak nyanyuk, cerita memukul orang yang tidak melawan, orang tidak ada kuasa dan orang yang tidak ada senjata seperti yang berlaku dalam himpunan BERSIH 3.0 akan terus saya bercerita. Saya belum lagi jemu. Cerita itu akan sentiasa disimpan bersih  diingatan tanpa ada kecemaran.

Walaupun ada hujah menghujah diantara dua pihak iaitu pihak berkuasa kerajaan dan jentera pelaksananya dengan pihak rakyat yang berhimpun menyokong BE$IH 3.0 , masing-masing mempertahankan kedudukan 'BENAR' mereka, saya masih lagi berpendapat  kita memerlukan pihak lain untuk mengadili kedudukan yang sebenar. Buat sementara ini saya masih lagi berpegang kepada pendirian bahawa kerajaan telah gagal menguruskan perhimpunan seperti ini. Itulah sebenarnya punca kepada peristiwa kejam dan zalim yang berlaku sesama insan.

Jangan salah faham. Saya tidak mengatakan polis atau DBKL sahaja yang bersalah. Mereka adalah pelaksana arahan. Arahan yang datang dari orang politik yang menerajui kerajaan. Mereka perlu mengambil tanggungjawab yang utama. Maksud saya mereka mesti bersetuju menubuhkan satu kumpulan orang yang berwibawa untuk mengadili peristiwa  yang mencemarkan darjat makhluk yang bernama insan.

Lagi sekali jangan salah faham tentang siapa yang menjatuhkan darjat insan itu. Kedua belah pihak nampaknya terlibat sama. Ini memang jelas. Cuma pihak rakyat yang berhimpun itu adalah mereka yang tidak ada daya, kuasa dan senjata bertembung dengan yang berkuasa dan bersenjata. Macam kancil bergelut dengan singa. 

Saya lihat peristiwa yang berlaku pada 28 April 2012 yang baru berlalu itu sebagai satu pertembungan diantara 'gajah sama gajah berperang pelanduk mati ditengah'. Siapa gajah-gajah itu? Jelas mereka ini ialah orang politik yang yang berkuasa dan mahu kekalkan kuasa, dan orang politik yang mahu mendapat kuasa. Rakyat yang berhimpun adalah pelanduk yang terhimpit menjadi mangsa.

Bagi saya mengekalkan kuasa atau cuba mendapatkan kuasa bagi menerajui negara melalui satu cara yang sah, bersih dan adil demi kesejahteraan rakyat adalah satu hasrat yang murni. Pemilihan yang sah, bersih dan adil ini hanya boleh berlaku jika sistem yang melaksana dan menguruskan pemilihan itu tidak dicemarkan dengan unsur-unsur yang meragukan. 

Unsur-unsur yang meragukan inilah yang menjadi asas kepada tuntutan BERSIH 3.0 untuk berhimpun 'Duduk Bantah'. Saya berpendapat kerajaan telah gagal membuktikan atau memberi keyakinan kepada mereka termasuk saya bahawa tidak berlaku atau tidak wujud unsur-unsur yang meragukan. Ambil contoh yang paling mudah. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR adalah ahli UMNO, parti yang menerajui kerajaan pada masa ini. Maka bagaimana boleh jadi pengadil pilihanraya sebab kedua-duanya membawa kepentingan parti yang menjadi kerajaan ketika ini.

Jadi sudah tentu ianya tidak adil. Tidak bersih.

Menuntut keadilan dalam sistem pilihanraya pun kena belasah. Apa punya kerajaan berperangai macam ini? Belasah secara sepak terajang dikatakan juga satu tindakan yang professional. Buang tebiat gamaknya orang seperti itu.  


  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan