Theflowersellingboy

Sabtu, 12 Mei 2012

Kisah Di Hari Pertama Cuti

Hari ini dan esok adalah hari cuti saya dan isteri. Ya, hari ini hari Sabtu dan esok hari Ahad yang merupakan hari cuti am bagi sebahagian pekerja di Malaysia. Tapi cuti kami ini tidak ada kena mengena dengan cuti am itu. Kami cuti dari menjaga cucu kami yang telah dibawa oleh kedua ibubapanya balik ke Kuala Kangsar bagi menemui atuk dan opahnya disana pula. Jadi selepas Subuh kami berdua meneruskan tiduran sehingga pukul 9.30 pagi. Walaupun pada pukul 8 mata sudah celik, kami teruskan baringan tidur sehingga ke waktu itu.

Isteri mahu berehat sepenuhnya waktu cuti ini. Beliau tidak ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Maka diajak bersarapan diluar di gerai makanan di Precint 9. Seperti biasa, saya menurut saja ajakan itu. Tidak perlu berbeza pendapat dalam hal semacam ini. Takkan lah nak bersarapan pun perlu berdebat mengeluarkan hujah masing-masing? Atau hendak bertengkar. Atau baling buah dadu menentukan siapa yang wajar buat keputusan?  Mengarut semua ini. Bukankah lebih mudah dan harmoni turut saja. Paling teruk jadi driver. Driver isteri apa salahnya.

Kata orang elakkan bertengkar kalau dalam hal yang berkaitan dengan rezeki, nanti rezeki lari jauh.

Maka kami berdua pun sampailah di tempat yang diidamkan. Kami menyusur beberapa buah gerai makan. Mata dan hidung menjalankan peranan untuk mengesan makanan-makanan yang menjadi kegemaran tekak untuk disuap dimulut, digigit dan dikunyah oleh sang gigi untuk dihantar ketekak menuju kesaluran perut. Dan disimpan buat sementara sebelum menjadi habuan IWK.

Setelah meninjau dan melalui beberapa gerai makanan ,akhirnya masing masing mata dan hidung telah membuat keputusan berbeza. Saya memilih makanan lempeng dan isteri pula belum lagi buat pilihan masih lagi mahu meninjau dan menghidu makanan di gerai-gerai yang lain. Terjumpa juga makanan yang berkenan dihati maka isteri memesan mee rebus.

Makanan yang saya pilih itu ada sedikit masalah teknikal. Ada dua jenis lempeng. Satu yang menggunakan bahan kelapa yang dipanggil lempeng kelapa dan satu lagi bahan utamanya pisang yang dipanggil lempeng pisang. Diantara keduanya saya minat lempeng kelapa. Tapi sayang bancuhan untuk membuat lempeng kelapa sudah kehabisan dan saya perlu menunggu untuk bancuhan yang baru. 

Tuan kedai menawarkan lempeng pisang yang telah tersedia untuk dimakan. Saya kena buat keputusan yang mudah ini dengan bersetuju tawaran itu kerana ianya masih lagi lempeng. Dulu pun semasa kecil-kecil, itulah makanan yang dihidang oleh emak malah lebih teruk lagi kerana bahannya hanyalah tepung saja, tidak ada kelapa atau pisang. Habis semua kami enam beradik ketika itu menelannya. Berebut-rebut sampai bergaduh. Tapi tidaklah sampai jadi musuh. Seminit dua berbaik semula.

Isteri nampaknya bukan main selera memakan mee rebus. Dan kali pertama dia memuji makanan di gerai, tidak seperti selalunya. Ada saja yang tidak kena di tekak. Masinlah, tawarlah, manislah, pedaslah. Semua tidak sesuai pada seleranya menyebabkan makanan itu banyak yang terbiar begitu saja. Membazir.

Lempeng pisang hampir habis saya makan. Isteri mendapat isyarat dari tuan gerai bahawa ada sekeping saja lempeng kelapa (hasil bancuhan yang baru ) yang tinggal. Maka dengan segera isteri bangun dan menerima tawaran itu. Bukan untuk dia, tapi untuk saya , suaminya. Apa lagi saya pun segeralah memakan lempeng kelapa kegemaran saya itu . Kenyang sungguh. Puas hati.

Semasa makan , saya perhatikan gerai lempeng ini sungguh maju sekali. Tidak berhenti-henti orang berbaris membuat pesanan sama ada untuk di makan digerai mahu pun dibungkus dibawa balik. Sudah tentu lempengnya memberi kepuasan selera pelanggan. Layannannya pun baik. Tenang saja taukenya itu.

Bagi saya, lempeng itu memang sedap. Cuma sedapnya itu tidak sebanding dengan lempeng yang emak buat. Air tangan ibu mana nak sama dengan orang lain. Bukan ke begitu? 

Selamat Hari Ibu. Semoga Emak sentiasa sihat dan walafiat.

Mata saya juga tertumpu kepada sebuah meja di gerai yang lain yang jaraknya kurang lebih 20 kaki dari meja kami. Penglihatan saya terlalu jelas. Cuma telinga saya tidak dapat menerima  suara di meja berkenaan dengan baik untuk dirakam dengan jelas dan boleh difahami .  Maka hanya mata saya yang boleh melihat dan otak saya cuba mentafsirkan apa yang saya lihat.

Di meja yang saya maksudkan terdapat 3 orang lelaki. Dua orang saya anggarkan berusia seperti saya, enam puluhan dan seorang mungkin tidak lebih empat puluhan. Seorang yang enam puluhan itu mukanya berhadapan dengan saya dan seorang lagi membelakangkan saya. Dan yang muda itu duduk disisi kanan. Yang membelakangkan saya itu kelihatan membelek helaian sebuah akhbar.

Rupa-rupanya yang berhadapan dengan saya itu adalah tuan gerai yang paling hampir dengan meja itu apabila saya melihat beliau bangun dan melayan pelanggan.

Mata saya mentafsirkan bahawa berlaku pertengkaran/perbezaan pendapat diantara dua orang tua ini. Yang paling banyak mengeluarkan suara, tinggi pula ialah si tauke gerai itu. Tangannya menuding ke kiri ke kanan termasuklah ke arah orang yang tua seorang lagi tu. Air mukanya jelas tersangat marah atau tidak bersetuju atau mempertahankan kedudukan dirinya atau tidak mengaku silap salah sendiri. Sebentar dia bangun, sebentar dia duduk sambil menuding jari terhadap orang dihadapannya. Orang muda yang duduk disisi itu menepuk-nepuk tauke itu semacam meminta supaya bersabar. Dan yang situa yang kena balun itu nampaknya tidak menjawab atau mungkin menjawab tetapi suaranya tidak kedengaran langsung. Yang kelihatan beliau menyelak helaian-helaian akhbar dihadapannya.

Tauke itu masuk ke gerai meninggalkan meja tempat bertengkar itu untuk melayan pelanggan yang mahu memesan makanan. Mulutnya terkumat kamit membebel sambil  melayan pelanggan. Pelanggan senyum saja. Kemudian balik semula kemeja tempat pertengkaran itu. Kali ini kelakuan yang dipamirkan amat menjijikkan sekali. Tidak layak sebagai orang tua. Tidak perlulah kita bersandarkan bangsa dan agama. Sebab bangsa kita dan agama kita memandang rendah orang yang berperangai seperti itu. Menjijikkan.  

Tahu apa dia buat?

Kalau anda atau saudara atau tuan atau puan yang mengikuti perkembangan politik tanah air khususnya semasa kempen pilihanraya, saya percaya berkemungkinan besar kita akan mendengar kata-kata sumpah seranah diantara pihak yang berlawan termasuk penyokong. Kata-kata yang diturut  sama dengan perbuatan, dengan bahasa isyarat. Mungkin ada diantara kita pernah melihat atau mendengar  seorang menteri besar sebuah negeri di Malaysia menggunakan bahasa isyarat terhadap pihak lawan. Bahasa isyarat dengan menggunakan kedua belah tangan. Jari-jari tangan kiri digenggam rapat dan jari-jari tangan kanan terbuka lebar. Maka tangan kanan yang jarinya terbuka itu dihayun ketangan kiri yang jarinya digenggam, menutupi disebelah sisi ibu jari dan jari telunjuk. Dibuat berulang kali.

Itulah yang telah dipamirkan oleh tauke tadi. Saya nampak jelas perbuatan itu ditunjukkan kepada situa yang seorang lagi. Tapi saya tidak pasti ditujukan kepada dia sebab dia tidak menunjukkan reaksi melawan. Diam saja sambil membelek-belek helaian akhbar. Hanya yang simuda itu menepuk-nepuk bahu situa itu. Mungkin minta bersabar.

Perbuatan itu dilihat oleh pelanggan termasuk saya dan isteri. Sungguh memalukan kerana ada anak-anak, orang muda dan kaum perempuan. Kalau nak bergaduh sekalipun bukanlah digerai tempat mencari rezeki. Nanti rezeki yang melempah ruah itu merajuk lari. Sebab malu melihat kelakuan tuannya yang tidak senonoh itu.

Saya juga hairan apabila pelanggan-pelanggan tidak ambil kisah. Gerai itu masih mendapat pesanan walaupun situa itu terus membebel. Walaupun mendengar suara yang tinggi dan melihat muka situa itu yang marah-marah. Adakah falsafah jangan menjaga tepi kain orang ditafsirkan begitu?

Bagi saya dan isteri kami telah buat keputusan tidak akan ke gerai itu. Kalau perangai sudah macam itu, tidak menghormati sesama insan, apatah lagi makanan yang disediakan. Saya percaya beliau tidak kisah dari segi kebersihan dan kesucian halal haram dan mutu makanan.

Jika gerai ini dalam bentuk sewa dan jika saya pihak yang diberi tanggungjawab untuk memilih siapa yang layak untuk diberikan sewa, saya akan utamakan mereka yang berperangai senonoh. Cuma bagaimana? Pening kepala juga dibuatnya.

Namun perlakuan buruk dengan menggunakan kata-kata dan bahasa isyarat ini nampaknya sudah meluas. Contoh diatas ialah seorang menteri besar sebuah negri. Ada juga kata-kata dari pemimpin lain yang tidak sepatutnya keluar misalnya  kelakuan seperti beruk atau kera, babi yang direngkaskan bagi maksud ditujukan kepada seseorang dan sebagainya. Yang terbaru ialah perkataan "Haram Jadah" dari pemimpin tertinggi.

Jadi apa nak dihairankan bahasa isyarat yang ditunjukkan oleh si pegerai makanan tadi. Kepimpinan menunjukkan teladan.

Begitulah kisah pada hari pertama cuti kami.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan