Theflowersellingboy

Selasa, 15 Mei 2012

Soalan Kelakar : Bila PRU 13

Bijak sungguh PM kita mewujudkan semacam satu soalan yang berbentuk teka teki sehinggakan satu Malaysia ketawa terbahak-bahak kerana semuanya kantoi.  
 
Soalannya yang terbaru ini sama saja seperti yang lepas-lepas. Tapi tidak ada seorang manusia dalam satu Malaysia ini dapat memberikan jawapan yang betul kepada soalan yang saya sifatkan sebagai agak kelakar itu. Dengan demikian selaras dengan semangat rakyat didahulukan, PM memberikan lagi peluang untuk rakyat satu Malaysia untuk turut serta dalam menjawab teka tekinya itu. Jawapan memang sudah ada pada beliau.
 
Soalannya  ialah, PRU 13:Cuba Teka Bila Agaknya. 
 
Maka peramal politik yang pakar, semi pakar dan yang tidak pakar, berebut-rebut mengambil bahagian. Pendek kata   semua mereka itu yang terdiri  dari berbagai bangsa, budaya, agama, bahasa, kawan, lawan dan apa saja jantina dibawah payung satu  Malaysia berebut-rebut mengambil bahagian dalam teka teki itu. Mereka semua seronok memberi jawapan. Bahkan yakin jawapan yang diberikan pada kali ini memang tepat dan betul sekali, tidak seperti dulu, semuanya menerima tanda 'X', salah.
 
Kali ini satu Malaysia yakin bahawa PRU13 sudah terlalu dekat. Mereka semua kata dan memberi jawapan pada bulan Jun. Bulan Jun ini. Tahun ini, 2012.  
 
PM memberikan reaksi seperti biasa, dengan memberikan senyuman yang memanjang. Senyuman itu mahu dibawa sehingga ke London. Biarkan rakyat satu Malaysia berpesta mencari jawapan.
 
Jawapan teka teki itu bukan dibuat secara main-main. Cara itu tidak professional. Mereka gunakan berbagai petunjuk yang selalu mereka sebut sebagai indikator dalam menjawab teka teki itu. 
 
Petunjuk yang terbaik ialah bila mereka mendengar berita 'PM mahu jumpa Agong pada esok hari'. Berita itu di petik dari perhimpunan ulang tahun UMNO yang ke 66 di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei 2012. Kata mereka, Parlimen akan dibubarkan tak berapa lama lagi setelah PM dapat perkenan dari Agong. 
 
Kedua , apabila mereka membaca semangat PM sudah berkobar-kobar dan penuh keyakinan UMNO dan yang bersekutu dengannya akan boleh menang dalam PRU 13 berdasarkan bilangan ahli-ahli UMNO yang hadir . Ada yang mengatakan lebih dari 100,000 orang. 
 
(Tapi pihak lawan kata tidak mungkin melebihi 100,000 orang berdasarkan kapasiti stadium yang boleh muat 80,000 orang. Biasalah tu, pembangkang tak kan nak bersetuju dengan UMNO. Kalau bersetuju, masuk UMNO lah mereka).   

Berdasarkan dua petunjuk itu sudah cukup untuk meneka atau membuat ramalan bahawa PRU 13 akan dilangsungkan pada bulan Jun ini. Kata mereka lagi 'bulan Jun cuti sekolah, sesuailah adakan PRU 13'. Maka hebuhlah mereka menyampaikan jawapan teka teki itu dengan menggunakan berbagai media penyampaian. Ada yang sebaran internet dan yang paling popular sekali sebaran kedai kopi. Mereka sungguh berbangga sekali kerana menyangka dan percaya telah berjaya membaca apa yang ada dalam otak kepala PM.
 
Tiba-tiba mereka dapat tahu PM terbang ke London. Tak mengadap Agong. Dan dikhabar berita akan kembali ke Malaysia pada 25 Mei 2012.

'Kantoi lagi', kata sebahagian dari mereka. Tapi mereka tidak marah malah ketawa terbahak-bahak kerana ada  peluang lagi untuk buat ramalan. Ada peluang lagi ramalan mereka dapat dibaca dan didengar oleh rakyat satu Malaysia.

Ada juga yang masih yakin bahawa PRU 13 pasti akan diadakan pada bulan Jun.

Tapi kenapa susah-susah nak buat ramalan. Biarkan PM sendiri beri jawapan kerana dia yang buat soalan sudah tentu dia ada jawapan. Kalau jawapan kita betul seperti apa yang ada dalam otak kepala PM, tapi jika dia nak ubah agar tidak sama dengan jawapan kita , salah juga jawapan kita. Itulah yang saya katakan PM kita ni bijak dalam menimbulkan soalan berbentuk teka teki yang amat kelakar itu. Oleh kerana kelakar wajarlah kita rakyat satu Malaysia ketawa. Kalau tidak , ianya tidak jadi kelakar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan