Theflowersellingboy

Khamis, 10 Mei 2012

Respons BERSIH 3.0 : Apa Yang Boleh Di Jangka dan Ada Juga Yang Menjadi Kuda

BERSIH 3.0 dan respons yang sudah dijangka. Semua orang sudah tahu respons tersebut, saya cuma merakamkan saja untuk kenang-kenangan. Yang jahat pun perlu dikenang, bukan saja yang baik.

Maka membebellah yang empunya diri "...". 

1. Bekas perdana menteri yang lama memerintah mula membebel bahawa BERSIH 3.0 itu mahu menggulingkan/menjatuhkan kerajaan. Bebelan ini dikongsi sama oleh perdana menteri yang diberi kuasa ketika ini dengan menokok tambah lalu terus membebel bahawa peserta perhimpunan BERSIH 3.0 suka melompat seperti kera kerana menolak stadium sebagai tempat berhimpun yang ditawarkan kerajaan. Menyahut rupanya bebelan itu apabila menteri dalam negeri secara muka selamba memuji polis yang memukul dan menghentam peserta perhimpunan yang katanya pukulan yang professional, lebih kurang begitulah maksudnya.

2. Membebel juga perdana menteri yang belum mengistiharkan pilihanraya ke 13 , bahawa kerajaan akan menyiasat pukulan professional polis keatas peserta yang berhimpun itu untuk mencari benar salahnya dakwaan itu sebagai tanda betapa rakyat yang dipukul itu didahulukan. Setelah kabinet mereka berpakat maka bersetujulah perdana menteri itu menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bebas untuk maksud itu. Maka dengan sepantas kilat di siarkan nama ahli-ahli yang menganggotai jawatankuasa itu yang terdiri dari orang-orang yang dikatakan bebas yang diketuai oleh bekas ketua polis negara yang anti BERSIH 3.0.

3. Bebel membebel ini juga berjangkit kepada 3 bekas ketua polis negara dengan penuh kepercayaan bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah  atas hasutan orang-orang jahat misalnya mereka yang berciri kominis. Seorang dari mereka pula diberitakan terlalu tinggi nafsu marahnya sehingga mengistiharkan Menteri Besar Kerajaan yang memegang amanah kerajaan Kelantan ketika ini sebagai 'bapa kafir'. Begitulah kelaku bekas ketua polis yang pernah menjadi kaki pukul , memukul orang yang tidak ada kuasa melawan sehingga pengsan. Tak percaya? Kesannya masih ada. Mata orang yang dipukul itu menjadi lebam. Mata itu jadi simbul parti yang amat ditakuti oleh perdana menteri dan geng-gengnya. Tak percaya? Hari-hari fikiran, tindakan dan ikhtiar geng-geng tadi ialah untuk mengenakan si mata lebam ini.

4. Perdana menteri masih lagi tidak berpuas hati dalam niatnya mendahului rakyat sekiranya sisi agama tidak diambil peduli. Maka merujuklah dia kepada satu majlis yang diberi nama Majlis Fatwa Kebangsaan untuk  mendapat panduan. Maka bersegeralah majlis itu memberi panduan dengan satu fatwa menjatuhkan hukum bahawa BERSIH 3.0 itu adalah haram kerana berniat untuk menggulingkan kerajaan dengan cara menimbulkan huru hara.

5. Perdana menteri sudah membebel. Bekas perdana menteri  pun sudah membuat perkara yang sama. Menteri dalam negeri menyahut sama. Bekas-bekas ketua polis pun dah tumpang sama. Koncu-koncu, balaci-balaci, pencacai-pencacai yang bernafsu sama, secepat lipas kudung pun berkata,  "Apa lagi ini lah masanya untuk mendapat upah lumayan. Bodek, buat dan cipta reka cerita yang bos suka. Sudah tentu cerita yang berciri anak derhaka. Cerita porno. Tapi kali ini bukan orang yang sama kerana orang dulu ramai tak percaya. Lagi pun bos lambat istihar pilihanraya. Mana fulus ada masyok".

Itulah diantara respons yang telah dijangka dan yang perlu dikenang. Perbuatan jahat perlu dikenang.

Jelas bahawa bebelan pemuka-pemuka kerajaan dan kerja-kerja membodek yang dilakukan oleh balaci serta juak-juak itu mempunyai hanya satu matlamat saja: Mengekalkan kuasa dengan apa cara. Jika ada mana-mana pihak berhasrat untuk mengguling/menjatuhkan kerajaan yang ada, usaha dan tindakan itu difatwakan sebagai haram; hasutan kuasa luar; merampas kuasa secara tidak demokratik; dan berunsur subversif dipengaruhi oleh kominis.     

Tapi mereka ini terlalu mudah lupa seperti  ungkapan yang dimasyhurkan oleh bekas perdana menteri yang lama berkuasa itu, bahawa mereka juga mempunyai hasrat dan niat yang serupa cuma cara mereka saja yang berbeza dari yang dihajati oleh BERSIH 3.0 dan parti lawan. Mereka juga terlalu ghairah dan penuh bernafsu mahu mengguling, merampas dan menjatuhkan kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor dibawah penguasaan Pakatan Rakyat. Sebab itulah cara yang mereka gunakan adalah bertunjangkan kepada cara yang tidak adil dan tidak bersih. Berbeza dengan parti lawan yang mahu mendapat kuasa memimpin negara dengan cara yang bersih dan adil. Itulah yang diperjuangkan oleh perhimpunan BERSIH 3.0.

Ertinya sama-sama ingin berkuasa. Satu niat yang murni. Sebab mahu mengambil tanggungjawab menguruskan kebajikan rakyat.

BERSIH 3.0 menuntut supaya kuasa itu didapatkan melalui satu pilihanraya yang ditadbir, diurus dan dilaksanakan oleh sebuah Suruhanjaya Pilihanraya yang menggunakan sistem pilihanraya yang adil dan bersih tanpa sebarang syak dan keraguan.

Jadi mengapa kerajaan yang ada tidak bersetuju dengan satu pemilihan yang bersih dan adil seperti yang dituntut oleh BERSIH 3.0.  Bukankah lebih bermaruah dan berwibawa kuasa diperolehi melalui sistem pengurusan dan pengendalian pilihanraya yang bersih dan adil. 

Tidak perlu memperincikan apa yang tidak bersih dan tidak adil itu kerana semuanya telah diperkatakan dan ditunjukkan bukti. Namun saya hanya sebut yang asas saja iaitu ketua yang menguruskan pilihanraya membawa kepentingan parti yang berkuasa ketika ini. Jadi adil ke begitu?

Sesungguhnya bebelan pemimpin/bekas pemimpin/bekas ketua polis yang telah diperkatakan diatas termasuk kerja-kerja balaci mereka  adalah satu SOP yang sudah dijangka. Maka jangan diambil peduli sangat. 

Hanya terkesan juga dihati dengan penuh kekesalan apabila sikaki pukul boleh mengatakan menteri besar kelantan sebagai 'bapa kafir'. Bertambah kesal lagi apabila Majlis Fatwa Negara mengeluarkan fatwa yang khusus bagi peristiwa ini. Banyak hal dan isu yang penting dan utama yang melibatkan maruah, nama baik dan kesucian Islam tidak pula segera dikeluarkan fatwa misalnya menayang video lucah bertubikali yang mengaibkan seseorang , apatah lagi kesahihan yang dituduh belum lagi dipastikan. Amat malang sekali.

Saya menyimpulkan bahawa respons selepas BERSIH 3.0 itu adalah sesuatu yang boleh dijangka. Ianya satu SOP kerajaan yang ada. Maka mereka yang terlibat itu boleh menjadi kuda tunggangan. Bagaimanapun saya khuatir ada pihak  yang mengambil tempat duduk yang mulia telah bersama-sama menjadi kuda. Tidak mungkin  menjadi kera seperti nama binatang yang telah dituturkan oleh perdana menteri.

Apa-apa pun kita jangan hilang fokus. Pilihanraya mesti diadakan secara adil dan bersih. Itu yang kita mahu.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan