Theflowersellingboy

Ahad, 13 Mei 2012

Kisah Di Hari Kedua Cuti

Hari ini adalah hari cuti kedua, hari terakhir berihat dari menjaga cucu yang disayangi. Disebelah malam nanti, InshaAllah, Naqib dan kedua ibubapanya akan berada di rumah semula. Dan esoknya seperti biasa kami suami isteri akan bercanda semula dengan Naqib.

Kepala saya terasa sedikit sakit. Mata rasa pedih tetapi tidaklah sampai berpinar. Saya tidak dapat tidur sepanjang malam. Macam-macam cerita berlegar diotak kepala. Lepas satu cerita ke satu cerita. Ianya bukan cerita bersiri tapi berbagai cerita. Ini bukan satu perkara luarbiasa bagi saya. Ia memang sudah biasa dan kerap berlaku terutama pada malam Sabtu dan Ahad, kerana saya minat menonton sukan secara langsung tenis dan bola sepak. Apatah lagi jika Nadal bermain tenis atau MU, Chelsea dan Arsenal terlibat dalam perlawanan bola pada malam-malam tersebut. Jika melebihi jam 12 malam, alamatnya sampai ke pagi saya tidak akan boleh tidur kerana melayani berbagai cerita dalam otak kepala.

Yang saya cemburu sangat ialah isteri saya. Pantang kepala diletak diatas bantal, tidak sampai dua minit bermimpilah dia. 

Malam tadi kami telah menghadiri majlis perkahwinan anak seorang kenalan semasa bekerja dulu, disebuah hotel di Subang Jaya, Grand Dorset namanya. Menurut program dalam kad jemputan, ketibaan para tetamu ialah pada pukul 8 malam. Saya menganggarkan dari tempat kediaman kami ke hotel itu memerlukan masa 1 jam. Faktor kesesakan lalulintas diambilkira. Tanpa kesesakan lalulintas, 30 minit sudah memadai.  Jadi memberi masa tambahan 30 minit itu dirasakan munasabah sekali untuk sampai pada pukul 7.30 petang, jika memulakan perjalanan pada pukul 6.30 petang.  Sempat untuk menunaikan solat Maghrib di hotel.

Perjalanan menggunakan lebuhraya Elite melalui USJ. Sebelum melepasi tol ke USJ, perjalanan lancar sekali. Tiada tekanan emosi. Sebaik saja melepasi tol dan bergerak ke USJ, kenderaan terlalu banyak, dan bergerak perlahan sehinggalah ke Subang Jaya. Malang sekali, saya telah terlepas simpang untuk ke hotel. Maka buat pusingan U. Jalan terlalu sesak dan kereta tidak bergerak lebih dari 10 minit. Waktu ketika itu sudah 7.50 malam. Kami sungguh gelisah. Ada terniat dihati saya untuk membatalkan saja ke majlis itu. 

Tapi ini jemputan kawan. Majlis yang pertama. Ada satu lagi yang menarik yang memberi kekuatan saya untuk kemajlis itu. Ya, menantu atau pengantin lelaki itu bernama Goon Ben Nee seperti yang tercatat dalam kad jemputan. Saya mesti teruskan untuk ke majlis.

Dalam keadaan otak berserabut dengan gelisahan kerana telah melepasi waktu ketibaan yang sepatutnya, sekali lagi saya telah buat kesilapan. Saya terlajak ke Lebuhraya Persekutuan menuju Kuala Lumpur. Saya marah pada diri sendiri atas kelalaian itu.

Saya mencari susur keluar untuk berpatah balik ke Subang Jaya. Perkara ini tidak menjadi masalah kerana lebuhraya ini merupakan tempat berulangalik dari rumah ketempat kerja di Jalan Duta dan Jalan Semarak semasa bekerja dulu. Isteri disebelah seperti biasa cepat panik menggesa supaya di cari susur keluar. Dalam keadaan begitu saya memasuki simpang yang pertama di jumpai yang saya sendiri yakin ianya salah. Tapi panik isteri membuatkan saya mengambil tindakan memasuki simpang itu. Benar, simpang itu untuk ke Seaport. Nasib baik saya sudah biasa dengan nama itu. Saya berpatah balik dengan melanggar tanda arahan tidak boleh berbuat demikian. Apa boleh buat, dah terpaksa. Nasib baik  tiada kenderaan. 

Tapi saya tidak boleh memasuki  ke Lebuhraya Persekutuan kerana ada halangan. Saya terus mengikuti jalan ke Kg. Tunku. Tempat ini juga telah biasa bagi saya semasa belajar dulu. Tapi tiada lampu jalan, hanya cahaya lampu dari rumah dan kilang yang berdekatan. Ini membuatkan jalan berkeadaan gelap sedikit. Isteri semakin panik dan takut. Dia minta berpatah balik. Jalan ini adalah jalan sehala. Saya meneruskan juga perjalanan kerana saya pasti jalan itu memberi laluan kepada susur keluar ke Subang Jaya. Tepat sekali apabila kelihatan lampu isyarat dihadapan untuk menuju Sunway dan susur keluar ke Shah Alam.

Alhamdulillah, akhirnya sampailah di hotel pada pukul 8.15 malam. Tetamu jemputan masih banyak lagi diruang legar berborak dan menyemak number meja masing-masing. Ada juga yang baru tiba.

Acara majlis di jalankan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Majlis diiringi oleh sebuah band.

Majlis dimulakan dengan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW. Kemudian mempelai dengan didahuli oleh pasangan anak-anak kecil menuju ke pelamin diatas pentas untuk bersanding. Ketika inilah mata saya, sudah tentu mata isteri saya juga memberi fokus kepada pasangan itu. Kedudukan kami agak jauh juga dari laluan pengantin tapi cukup untuk mata menyapa wajah mempelai itu. Mereka berpakaian berorientasi barat. Lelaki memakai jaket dan seluar berwarna hijau. Perempuan baju gaun berwarna putih. Warna kulit mereka sama, cerah sama seperti warna kulit orang China. Mereka duduk diatas kerusi di pelamin yang disediakan. Tapi tiada pengapit.

Setelah doa selamat dibaca, kedua keluarga mempelai di jemput ke atas pentas bagi merestui perkahwinan anak-anak mereka. Tiada renjisan air mawar, tiada beras kunyit untuk ditabur, Hanya pelukan dan ciuman mesra dari kedua belah pihak. Yang tidak melakukan pelukan dan ciuman ialah bapa pengantin lelaki Mr.Goon. Mungkin agak janggal untuk melakukannya, bukan yang teradat baginya. Tapi Mrs. Goon, isteriya, melakukan seperti yang biasa dilakukan oleh ibubapa Melayu, peluk dan cium. Ada yang keluar air mata kegembiraan. Tapi saya tidak pasti mereka juga mengeluarkan air mata.

Kelihatan juga, kedua mempelai ini bercakap-cakap diantara satu sama lain seperti dalam keadaan biasa. Semacam hari persandingan itu perkara biasa saja. Mungkin tiada pihak yang memberi tunjuk pandu adat dan adab duduk diatas pelamin. Mungkin juga hal itu terlalu remeh dan tidak sesuai lagi. Mungkin juga saya ini telah ditinggalkan jauh perkembangan terkini. Jurang generasi? Tapi mengapa perlu bersanding? 

Sebenarnya saya tidak perlu sibuk memikirkan hal itu. Itu majlis mereka. Hak mereka untuk menentukan bagaimana cara dan gaya untuk melakukannya. Sekarang rasakan akibatnya sehingga tidak dapat tidur. Dapat jemputan pun sudah cukup baik kerana ada kawan yang masih mengingati saya.

Tapi diatas itu cuma kisah yang saya mahu catat saja bagi merayakan hari cuti yang terakhir ini. Satu imiginasi saya akan soalan atau pertanyaan yang mungkin ada dalam otak kepala para tetamu dalam majlis perkahwinan itu. 

Sesungguhnya sahabat saya itu telah berjaya menambahkan lagi seorang Muslim melalui perkahwinan anak perempuan kesayangannya itu.
   
Saya ingin mengucapkan selamat pengantin baru , semoga hidup berbahagia sehingga ke akhir hayat, mendapat  petunjuk dan bimbingan kearah insan yang soleh dan soleha serta dikurniakan zuriat yang bersifat sama. Kepada Ben, nama yang dimasyhurkan dalam majlis malam tadi,  pakcik berdoa supaya diberi kekuatan dalam kehidupan yang baru ini, khususnya dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim. Memang dalam kehidupan ini banyak simpang siurnya dimana kadang-kadang kita tersalah atau tesilap pilih simpang atau jalan  yang betul seperti yang telah berlaku kepada pakcik semasa dalam perjalanan ke hotel. Tapi jalan keluar sentiasa ada. Hanya kita jangan cepat panik dan mengelabah. Walaupun lambat sampai ke destinasi tapi kita tetap sampai juga kalau ada kekuatan dan keazaman serta keyakinan kita untuk ke destinasi itu. 

Semoga berbahagia. Amin.

Tidak sabar menunggu keberangkatan tiba si Naqib budak syada-syada itu.




 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan