Sebelum ada yang mempercayai tajuk itu membawa maksud saya menjadi calun politik dalam suatu pilihanraya yang telah berlalu, molek juga saya menjelaskan duduk perkara yang sebenar. Sebenarnya ianya tidak bermaksud demikian.
Satu lagi ialah tentang persepsi umum ketika itu yang mungkin berbeza pada masa ini.
Apabila saja dikatakan menjadi calun, dalam otak kepala mereka ialah menjadi calun BN atau lebih khusus lagi jika orang Melayu, menjadi calun UMNO. Persepsi itu dikuatkan lagi dengan kepercayaan bahawa hanya menjadi calun UMNO sajalah yang menjanjikan kemenangan melebihi 100 peratus. Sebab tambah mereka lagi, jika UMNO hantar batu atau kayu sekalipun sebagai calun, kemenangan sudah pasti. Adakah ini satu dongeng atau cerita penglipur lara?
Sudah tentu ada yang menjawab 'ya' dengan penuh sinis tidak mahu percaya. Jangan cepat melatah berkata begitu. Realitinya memang benar apa yang mereka katakan. Statistik dan fakta yang jelas seperti kristal, menjadi sandaran kepada keyakinan mereka itu. Tiada mana pihak yang waras fikiran mampu menafikan, khususnya dinegeri tempat tumpah darah saya yang dicintai.
Terkenang suatu ketika dulu 'menjadi calun' pilihanraya adalah satu cerita yang benar, yang telah saya lalui suatu ketika dulu, semasa masih lagi berkhidmat sebagai penjawat awam, satu jawatan yang agak penting juga, dimana ada diantara sahabat-sahabat yang darah daging politik mereka sungguh menebal, merasa agak 'rimas' dan 'risau' apabila ada pihak-pihak tertentu yang cuba-cuba membuat acahan supaya saya menjadi calun dalam pilihanraya.
(Saya percaya acahan itu bertujuan hendak menguji dan mahu mengetahui takat keghairahan saya untuk menjadi calun dalam pilihanraya. Kemudian respons dari saya bolehlah dilaporkan kepada mereka yang darah daging politik yang sungguh tebal itu untuk tindakan lanjut bagi memastikan saya tidak 'kacau daun'. Malangnya acahan mereka itu telah gagal).
Dari sudut demokrasi yang diamalkan, sesiapa pun warga Malaysia yang tidak hilang kelayakan menjadi calun pilihanraya, boleh bertanding dalam pilihanraya di mana-mana negeri kita di Malaysia ini. Dan saya ketika itu dan sehingga kini memang memenuhi syarat kelayakan untuk bertanding walaupun saya tidak menganggotai mana-mana parti politik. Maknanya saya boleh bertanding atas pletform calun bebas.
Baiklah, itu satu pendahuluan ringkas sebelum saya memasuki peristiwa yang telah berlaku.
Ramai diantara sahabat, sama ada yang berpolitik berparti atau politik sorang-sorang terlalu ghairah bercerita fasal menjadi calun pilihanraya dan hal-hal berkaitan dengannya apabila mula menjelang sesuatu pilihanraya. Ada yang menyibuk dan berangan-angan untuk menjadi calun; ada yang suka menghebuhkan si polan sipolan itu akan di pilih menjadi calun; ada yang bersedia menjadi sponsor kepada bakal calun; ada yang mengira-ngira upah yang akan diraih; ada yang berulang tubi ke rumah bos melobi jadi calun; dan macam-macam kerenah lagi semata-mata untuk menjadi calun dan untuk mendapat habuan pilihanraya.
Yang menyibuk dan berangan-angan menjadi calun ini atau mereka yang merasakan layak untuk menjadi calun, mempunyai berbagai cara untuk menunjukkan iltizam mereka sebagai calun yang mesra rakyat. Dan memaparkan imej bahawa jika dipilih akan sentiasa memberi perkhidmatan terbaik demi rakyat yang diwakili.
Budi pekerti, adab sopan dan tingkah laku mereka adalah yang terpuji sekali. Senyumannya manis dan menarik sekali. Meminjam kata-kata sahabat saya dari Kelantan semasa bersekolah dulu , mereka ini 'senyum sokmo'. Rengan tulangnya serengan secebis kapas ditiup angin sehingga hal-hal masyarakat setempat yang berat-berat pun dianggap rengan dan sanggup diuruskan, tidak pernah menolak. Kehadirannya dalam majlis/acara/program/kerja-kerja masyarakat setempat tidak pernah gagal, menonjollah dia ketika itu. Hadir pun berkereta kecil, buruk pula.
Tidak pernah kenal jijik dan kotor apabila turun ke bawah menemui dan bergaul dengan masyarakat. Yang kotor, busuk, berkudis, bernanah, hapak dan haring tidak menjadi masalah untuk hiduan hidung bahkan itulah yang dicari, dipeluk, dicium dan dipimpin.
Maknanya semua kelakuan dan perangai adalah yang terpuji saja, ketika itu. Begitulah sifat peribadi yang ditonjolkan si penyibuk untuk menjadi calun ini.
Jika ada pihak yang membaca lakunan yang berangan-angan itu berkesan maka ada pula yang jadi tukang sibuk untuk membuat hebuhan bahawa sipolan-sipolan itu adalah bakal calun pilihanraya. Tambah-tambah lagi yang berangan-angan itu memegang jawatan parti misalnya menjadi ketua cawangan, pengerusi JKKK, ahli jawatankuasa bahagian, setiausaha atau bendahari bahagian/cawangan, dan macam-macam lagi jawatan politik. Maka dihebuhkan lah seentario kawasan pilihanraya itu berbagai cerita, sudah tentu yang baik-baik memuji keperibadian orang yang berangan-angan menjadi calun itu.
Ada satu pihak pula yang telah yakin akan hebuhan itu dengan sukarela datang mendampingi 'bakal calun' itu menawarkan segala bentuk bantuan, bantuan wang sudah pasti, jika dipilih oleh parti menjadi calun. Mereka ini secara amnya adalah terdiri dari kontraktor-kontraktor dan pemaju-pemaju hartanah. Mereka mesti melabur untuk meraih dividend.
Apa ada hal RM100,000.00 misalnya berbanding dengan satu kontrek kerja bernilai jutaan ringgit. Itu kalau satu kontrek. Tapi dalam satu penggal berkuasa ,takkan satu kontrek kerja.
Apa ada hal RM100,000.00 misalnya berbanding dengan kelulusan yang mudah diperolehi keatas cadangan dan pelan yang dikemukakan dengan berbagai kelonggaran dan pengecualian yang melibatkan jimatan kos kewangan berjuta ringgit dibawah lindungan dan semangat konsep persyarikatan malaysia, bumiputera, dan memudahkan cara demi pembangunan dan kemajuan. Apa perlu dirisaukan kesan kehidupan sosial yang negatif. Apa yang penting sangat persekitaran yang tercemar berbanding keuntungan yang dibolot.
Satu lagi puak terdiri dari pengambil upah membuat kerja-kerja berkaitan pilihanraya. Puak ini tidak semestinya memberikan taat setia kepada parti calun itu. Ertinya undi dari puak ini belum tentu pergi kepada calun yang menjadi tauke sementaranya itu. Tapi secara amnya undi mereka bolehlah diharapkan.
Berbagai kerja yang terlibat. Dari kerja panjat memanjat memasang bendera parti, merentang potret calun yang bertanding dipelbagai lokasi, mencari bahan-bahan untuk menjadi tiang bendera seperti batang-batang buluh, mengemashiaskan bilik gerakan parti, menjadi pemegang amanah calun dengan membawa wang dalam beg 'samsonite' untuk berbagai tujuan kegunaan, dan menjadi kaki kacau merosakkan imej dan gerak kerja calun lawan. Secara amnya mereka ini terdiri dari orang yang sama pada setiap pilihanraya. Mereka adalah pakar dan mahir dalam kerja-keja mereka walaupun tidak mempunyai latihan khusus dan pendidikan tinggi.
Diantara kerja yang saya anggap sebagai berat dan perlu kemahiran ialah kerja me'neutralised'kan penyokong lawan. Bagi mereka kerjanya mudah saja. Syaratnya beg samsonite mesti berat, berisi wang.
Saya pernah bertanya kepada pemegang amanah yang menguruskan wang ini. "Selain dari mengagih-agihkan wang kepada mereka yang telah membuat kerja atau kepada pihak yang hendak di'neutralised'kan, pernah kah awak ambil kesempatan songlap wang itu?"
"Takkan saya bodoh. Bukannya selalu. Esok dia jadi YB, belum tentu dia ingat kita". Saya ketawa kecil dan percaya.
Pekerja-pekerja ini terlalu teruja dan sentiasa menanti-nanti pilihanraya kerana rezeki mereka akan bertambah. Bukan saja dalam bentuk upah kerja bahkan dalam berbagai bentuk lagi misalnya makan minum percuma dalam sebarang perjumpaan yang diadakan bagi meningkatkan peluang calun itu untuk menang. Perjumpaan telah menjadi kurang diwarung kecil kedai kopi. Ada, tetap ada tapi bukan menjadi pilihan untuk menarik minat orang untuk turut menjanjikan undi. Perjumpaan telah berpindah ke coffee house di hotel, sama ada hotel kecil atau yang besar berbintang-bintang.
Bercakap fasal perjumpaan dihotel ini, hotel yang ada kaitan dengan kerajaan atau hotel milik anak syarikat yang ditubuhkan kerajaan menjadi tempat perjumpaan yang terlalu kerap digunakan. Paling laris sekali terutama di bahagian FnB, makan minum. Untung?
Pesanan makan minum sudah memadai dengan tandatangan saja. Dipersilakan makan dan minum. Lepas makan dan minum, juruwang hotel terkelip-kelip mata apabila tiada pihak yang maju ke kaunter bayaran walaupun bilik/meja perjumpaan telah tiada orang. Untung? Rugilah. Tapi pengurus bank mampu senyum saja dan merungut untuk diri sendiri.
Itulah kerja pengambil upah pilihanraya.
Satu lagi ialah orang yang melobi untuk menjadi calun. Mereka ini secara amnya mempunyai kekuatan untuk menjadi calun dari segi kedudukan dalam parti misalnya wakil rakyat sedia ada, ketua/timbalan ketua bahagian, ketua pemuda dan wanita dan mereka yang mempunyai hubungan yang rapat dengan bos.
Wakil rakyat yang sedia ada terutamanya yang telah melebihi satu penggal adalah pihak yang kelihatan bekerja kuat melobi bos. Berulang alik ke rumah bos untuk menyatakan kesanggupan bekerja kuat demi demi rakyat. Sekiranya mereka bukan ketua bahagian, kedudukan mereka dihujung tanduk. Mereka mesti bekerja kuat meyakinkan kepada bos yang mereka masih boleh memberi perkhidmatan yang terbaik.
Yang lain-lain pun sama juga terutama yang ada kedudukan politik tapai masih belum jadi calun. Biasanya peluang mereka besar.
Dua kategori inilah sebenarnya menjadi kejaran para kontrektor dan pemaju hartanah kerana mereka merasakan peluang bagi golongan ini menjadi calun adalah terlalu besar. Apatah lagi jika mereka itu adalah wakil rakyat yang memegang jawatan ketua bahagian.
Mereka dirapati, dikejar adalah atas sebab yang sama. Melabur dulu untuk mendapat dividend yang lebih besar dari modal yang dikeluarkan.
Melihatkan gelagat mereka yang melobi ini yang bertubi-tubi kerumah bos tanpa kira masa yang panjang untuk dapat bertemu bos, saya menyimpulkan bahawa menjadi calun politik boleh menjanjikan masa depan yang cerah. Kalau tidak, takkanlah mereka sanggup melobi berkali-kali. Ada yang merayu meminta belas ikhsan diberi peluang disamping menyelitkan cerita pihak yang menjadi pesaing sebagai calun ditempat yang sama berkelakuan tidak senonoh, tidak semenggah dan boleh merosakkan nama baik parti. Parti akan kalah kalau pilih orang itu.
Saya hairan juga bahawa tidak terfikirkah mereka yang melobi itu yang nasib bosnya pun belum tentu. Bergantung kepada bos yang lebih besar.
Semasa kesibukan fasal calun itu , seorang kawan menalipon katanya "Nama kau naik lah". Sebenarnya saya telah tahu lebih awal lagi. Cuma keghairahan saya dan kawan tadi adalah berbeza sekali. Dia seperti seronok sangat dan mahu membantu jika maklumat yang diterima itu benar. Saya hanya ketawa besar.
Sebab saya ketawa besar ialah berita itu adalah mainan orang surat khabar. Bukan dari sumber politik.
Orang surat khabar tidak tahu perincian mengenai saya. Pertama, saya bukan ahli UMNO. Kedua saya juga bukan ahli mana-mana politik. Ertinya saya tidak berminat menceburkan diri dalam politik. Dua sebab ini sudah cukup menolak khabar yang dimainkan itu.
Tapi, sedihnya ada sahabat-sahabat yang aktif dalam poitik menjadi rimas dan risau. Maka dengan terang saya beritahu saya tidak berminat masuk politik. Perkara yang sama juga saya beritahu kepada wartawan yang buat hebuhan itu.
Mengapa saya tidak minat? Bukankah politik itu boleh menjamin masa depan yang cerah? Bukankah menjadi calun UMNO , menjanjikan kemenangan dalam tangan sebab sedangkan batu atau kayu mewakili UMNO boleh menang takkan saya anak tempatan, ada sedikit pendidikan dan kedudukan dari segi jawatan tidak boleh menang. Mustahil, kata logik fikiran.
Politik perlukan kekuatan. Dalaman dan luaran. Saya tidak mempunyai itu dengan baiknya. Tidak mampu menerima berbagai ujian yang menakutkan. Sebagai penjawat awam yang ada sedikit kuasa yang diwakilkan, saya masih percaya saya tidak dapat melaksanakan dengan sempurna seperti yang diamanakan. Apatah lagi menjadi ahli politik yang berkuasa. Saya kira saya tidak mampu melakukannya yang terbaik. Banyak simpang siur yang saya akan ikut berbanding jalan yang lurus. No. Not this type of profession.
Tapi kalau semua berfikiran seperti saya, siapa pula yang sanggup mengambil amanah politik untuk menguruskan harta awam seperti yang diamanahkan? Oleh itu saya amat menghormati jika ada insan yang bersifat sedemikian. Buat saat dan ketika ini saya tidak percaya ada insan sebegitu rupa. Ertinya mahu tidak mahu kita terpaksa memilih yang terbaik dari kalangan kita yang tidak sempurna. Yang tebaik itu tidak semestinya sempurna, tetap ada kekurangan dan kecenderungan untuk tergelincir atau digelincirkan.
Syabas kepada mereka yang berangan-angan untuk menjadi calun pilihanraya. Tidak kira dari apa parti waemah yang tidak berparti sekalipun. Semoga dimakbulkan Allah dan jika dipilih YB-YB sentiasa perlu ingat bahawa tanggungjawab menjadi orang politik yang berkuasa terlalu besar dan mencabar sekali. Nafsu bertambah cenderung mengikut rayuan syaitan. Elakkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan