Dua hari yang lepas sewaktu berjalan-jalan dalam kompleks perniagaan Alamanda saya telah didekati oleh seorang lelaki muda yang beruniform. Beliau membuat sapaan dengan memberi salam dan memperkenalkan diri.
"Saya dari MAKNA. Saya percaya tuan pernah dengar MAKNA". Beliau mengunjukkan kepada saya sekeping kertas keras dan meminta saya menurunkan tanda tangan diatas kertas itu sebagai tanda menyokong kerja -kerja yang dilakukan oleh MAKNA.
Saya tidak memberikan reaksi yang positif untuk menurunkan tandatangan itu kerana begitulah cara reaksi saya apabila berhadapan dengan suasana seperti itu. Saya lebih suka mengambil masa untuk melakukan sesuatu.
Saya tidak memberikan reaksi yang positif untuk menurunkan tandatangan itu kerana begitulah cara reaksi saya apabila berhadapan dengan suasana seperti itu. Saya lebih suka mengambil masa untuk melakukan sesuatu.
Saya lihat telah sedia ada banyak tandatangan yang telah diperturunkan diatas kertas itu sehingga tiada ruang yang mencukupi untuk tambahan satu tanda tangan lagi melainkan tandatangan yang akan diturunkan itu akan bertindih dengan tanda tangan yang sedia ada. Ini memberikan saya peluang untuk menyatakan tiada ruang lagi untuk saya menurunkan tandatangan. Cara begini saya rasakan lebih molek berbanding dengan mengatakan tidak mahu melakukannya. Namun orang /pegawai itu masih lagi mengharapkan saya menurunkan tandatangan.
Permintaan yang bersungguh-sungguh itu membuatkan saya rasa tidak kena kalau tidak menerima pelawaan pegawai itu. Lagipun apalah ruginya untuk menurunkan tandatangan. Lantas saya mencari ruang disebelah atas kertas itu dan menurunkan tanda tangan, bertindih dengan tanda tangan orang lain.
Pegawai itu mengucapkan terima kasih dan meminta izin menerangkan aktiviti-aktiviti yang dijalan dan diusahakan oleh MAKNA. Saya mendengar.
MAKNA adalah singkatan dari Majlis Kanser Nasional (National Cancer Council) sebuah pertubuhan sosial bukan kerajaan tanpa motif keuntungan. Ertinya pertubuhan yang tidak bertujuan untuk membuat perniagaan. Pertubuhan sosial yang bekerja kearah membantu pesakit-pesakit kanser.
Maknanya MAKNA ini memerlukan sokongan orang ramai. Sokongan dalam bentuk kewangan bagi membolehkan program membantu pesakit kanser dapat disempurnakan. Oleh itu pendekatan yang digunakan ialah dengan mendapat sebanyak mungkin sokongan dari orang ramai secara berterusan agar usaha murni dan baik pertubuhan itu dapat dilaksanakan. Maka orang ramai diajak untuk menjadi ahli kepada pertubuhan itu dengan memberi persetujuan untuk membuat sumbangan yang tertentu bagi suatu tempoh atas pilihan sendiri.
Saya tidak dapat mengingat dengan tepat jumlah yang telah menjadi ahli seperti yang dimaklumkan. Tapi jumlah ini terlalu kecil berbanding dengan keperluan bagi membantu pesakit kanser ini yang dianggarkan sebanyak 40,000 orang.
Pegawai itu mencadangkan supaya saya bersetuju untuk menjadi ahli baru dan bersetuju untuk memberi sumbangan kewangan pada tempoh pilihan saya. Ada dua nilai sumbangan yang saya boleh pilih iaitu RM38.00 sebulan dan RM58.00 sebulan. Cara sumbangan adalah melalui persetujuan potongan dari akaun bank atau dari kad kredit. Sumbangan boleh dibuat setiap bulan atau sekali potongan bagi enam bulan sumbangan. Sumbangan boleh ditamatkan pada bila-bila masa dengan menghubungi pihak MAKNA.
Untuk memberi kesan kepada pemotongan melalui akaun bank atau kad kredit penyumbang diminta untuk menyatakan persetujuan dalam borang tertentu.
Pegawai itu berulangkali mengajak saya menjadi ahli bagi membantu pesakit kanser ini. Jika saya bersetuju, saya adalah orang yang ke tujuh pada hari itu yang bersetuju untuk menjadi ahli. Maka secara bergurau saya menyatakan bahawa 'saya mahu menjadi orang yang ke 1000', kerana biasanya angka 10, 100, 1000 dan yang seciri dengannya selalu dijadikan asas sebagai angka yang dipilih sebagai bayangan kepada tuahnya atau beruntungnya seseorang.
Jika saya bersetuju, saya orang yang ke 7 menjadi ahli ketika itu. Maknanya, sebegitu ramai orang yang membeli belah di kompleks perniagaan Alamanda itu hanya 7 orang saja yang bersetuju menjadi ahli. Hanya tambahan 7 orang bagi membantu pesakit kanser.
Yang sakit sepatutnya diberi bantuan. Apatah lagi sakit yang memerlukan rawatan yang rapi dan mahal pula kos rawatannya. MAKNA sudah ada untuk mengurus dan memberi khidmat dalam merancang dan menjalankan program membantu pesakit kanser. Maka wajarlah saya, menurut kemampuan yang ada untuk menyumbang.
'Ok. Saya jadi ahli. Tiga puluh lapan ringgit potong setiap bulan melalui kad kredit saya'.
Terima kasih tuan.
Setelah selesai menandatangani borang persetujuan saya pun berlalu. Semasa berjalan itu teringatlah saya akan tandatangan yang telah saya turunkan keatas kertas keras yang diunjukkan pada awal perjumpaan dengan pegawai itu tadi. Rupanya tandatangan yang sebenarnya berkesan, memberi makna dan yang diharapkan oleh MAKNA dan pesakit kanser adalah tanda tangan persetujuan memberikan sumbangan. Sebab apabila menurunkan tangan ianya satu ikrar dan aku janji. Tidak boleh mungkir.
Kemudian suara nafsu saya berbisik "Begitu ramai yang telah turunkan tandatangan sehingga kehabisan ruang, hanya 7 orang saja yang bersetuju menyumbang?" "Tandatangan untuk glamour kot", sambung bisikan nafsu saya yang berburuksangka.
"Saya tidak wajar kata begitu. Kalau nak menyumbang kenapa kaitkan dengan orang lain". Hati nurani dan akal sihat menasihatkan saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan