Theflowersellingboy

Sabtu, 19 Mei 2012

Gaya Hidup Sihat : Pemakanan Seimbang dan Senaman

Hari ini hari yang ketiga saya dan isteri menyambung semula senaman pagi selepas Subuh setelah 6 bulan aktiviti itu kami tinggalkan. Ini adalah ransangan dari maklumat yang kami terima tentang profail  kesihatan tubuh badan masing-masing setelah menjalani pemeriksaan doktor.
 
Apakan tidaknya, bacaan gula telah meningkat dari 6 kepada 10.9. Ini  adalah bacaan darah yang diambil tanpa berpuasa. Isteri pula telah meningkat dari 7 kepada 9.9 , bacaan berpuasa. Bacaan tahap kolestorel yang ada kaitan dengan jantung dan tekanan darah tidak pula diambil. Tapi kami merasakan jantung kami dalam keadaan baik kerana tiada tanda-tanda rasa mengah dan penat semasa melakukan kerja. Dada pun tidak terasa sakit. Bacaan tekanan   darah adalah terkawal bagi kedua-dua kami.
 
Saya bukan pengidap penyakit kencing manis atau daibetik. Tapi maklumat tahap gula saya 10.9 itu amat menggerunkan saya. Inilah kali kedua bacaan tahap gula saya mencecah dua angka. Kali pertama semasa pemeriksaan untuk menunaikan haji pada 3 tahun yang lepas iaitu pada tahap 11 tanpa berpuasa.

Isteri pula adalah penerima rawatan sakit daibetik. Beliau pemegang kad hijau. Oleh itu bacaan gula yang tinggi itu sesungguhnya amat menggangu ketenangannya. Apatah lagi bacaan itu diambil dalam keadaan beliau tidak pernah gagal memakan ubat dan setelah beliau berpuasa. Jika tidak makan ubat dan tidak juga berpuasa, ianya sudah tentu lebih dari 9.9.  Ini amat merisaukan.
 
Jadi kami, terutamanya saya, cuba mencari sebab mengapa tahap gula saya meningkat sebegitu tinggi. 
 
Sebenarnya saya sudah tahu jawapannya. Kami menjalani gaya hidup yang tidak sihat. Makan minum ikut sedap selera. Apa saja yang dihidangkan, yang berperasa manis, yang masam, yang masin, yang pedas dan yang pahit semuanya kami bedal ( bedal membawa maksud tidak bersederhana). 
 
Ianya tidak bermakna kami tidak tahu tentang makanan seimbang atau tidak ada maklumat mengenai hal itu. Malah kedua-dua kami telah diberi peluang untuk berjumpa dengan pakar pemakanan mendapat nasihat dan bimbingan jenis makanan dan cara pemakanan yang terbaik. Kami patuh mengangguk.
 
Tapi kesemuanya tinggal anggukan saja, selera masih mengatakan 'alah sekali sekala makan apa salahnya'. 
 
'Sekali sekala' itu sudah menjadi satu alasan yang kukuh untuk memuaskan nafsu selera. Bermula dari jamuan kenduri kahwin. Kemudian makan diluar bersama anak-anak. 'Sekali sekala ' sudah diulang-ulang. Ia sudah menjadi kerap kali. Akhirnya ia tidak perlu lagi. Kami makan ikut suka hati walaupun kami tahu bahawa kami menyuburkan agen-agen perosak kesihatan seperti kolesterol dan gula, garam serta toksid-toksid yang lain.
 
Kadang-kadang kami menggunakan alasan : " Itu tak boleh makan,(merujuk kepada misalnya perasa manis seperti menggunakan gula yang berlebihan dalam minuman), ini tak boleh makan (merujuk kepada misalnya perasa masin seperti garam dan santan kelapa yang berlebihan dalam makanan). Jadi apa yang boleh makan?", Alasan itu memberi laluan dan paspot kepada selera kami untuk terus menyantap makanan itu.
 
Sesungguhnya makanan dan cara pemakanan kamilah yang menyebabkan tahap gula kami semakin meningkat.
 
Sudahlah makanan dan cara pemakanan tidak sihat, kami pula tidak melakukan senaman badan. Sudah hampir 6 bulan tidak melakukannya. 
 
Sebenarnya kami sedia tahu akibat dari pemakanan yang tidak seimbang dan tidak melakukan senaman. Dan saya percaya  ramai juga orang  lain pun tahu. Ianya tidak baik untuk kesihatan. Tapi mengapa saya, isteri dan orang lain itu masih lagi melakukannya? Mereka suka sakit ke?
 
Semua orang mahu sihat. Cuma tidak ada kekuatan dalaman untuk melakukan perkara-perkara yang sihat. Ianya bukan budaya kita. Kita suka bergantung pertolongan atau mendapat bantuan dari luar. Apa dia? 
 
Apa dia pergantungan kita itu? Kita bergantung kepada ubat, mesin-mesin penggerak anggota badan dan bahan-bahan supplement untuk menyihatkan tubuh badan. 
 
Kita tidak menggunakan apa yang ada dalam badan kita bagi menyubur dan menghasilkan daya tahan untuk menyahjauhkan penyakit melalui pemakanan yang seimbang dan senaman yang konsisten. Pada hal ianya adalah yang paling murah berbanding dari pengambilan ubat, supplement dan pembelian mesin tadi. Bukan saja murah bahkan mudah.
 
Apabila kesihatan kita mula menurun maka terpaksalah kita mendapat rawatan dan makan ubat. Yang mempunyai  lebih wang akan membeli berbagai jenis mesin untuk misalnya menghancurkan kolestorel dan memperbaikki perjalanan darah. Ada yang terpaksa makan ubat selagi hayat masih ada seperti saya. Ada yang tambah dengan supplement. Mesin-mesin dan supplement itu bukannya murah sebaliknya mahal. Untuk itu ada yang berhutang melalui berbagai skim untuk membeli mesin-mesin itu.

Ertinya kita begantung kepada bantuan luar sedangkan kita mampu sihat tanpa bantuan luar itu. Bertambah lagi beban kewangan yang juga boleh menjadi penyebab kepada tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Kita memilih untuk menerima rawatan dari mencegah. Saya tidak terkecuali. Apa yang berlaku kepada saya dan isteri adalah akibat dari sikap dan perangai yang buruk itu.  Jadi apa yang hendak dihairankan bacaan gula dalam darah semakin meningkat tinggi. Padan muka.
 
Sudah tiga hari saya  dan isteri melakukan senaman. Saya berjalan gerak cepat (bukan berjogging) menurut tahap kemampuan menyusuri rumah-rumah kediaman penjawat-penjawat awam di precint 11 bermula pada jam 6.30 pagi. Isteri hanya mengelilingi kawasan kolam renang sebanyak 20 kali keliling kerana dia tidak mampu mengikuti kelajuan langkah saya.
 
Saya  menganggarkan   lebih dari 3 kilometer perjalanan senaman saya itu yang memakan masa lebih 30 minit. Habis basah lencun pakaian saya dik peluh.

Setiap langkah saya iringkan dengan zikir Subhanallah, Walhamdulilah dan Allahhu Akbar.  Semoga Allah menerima amalan saya yang kecil itu.

Langkahan kaki diwaktu pagi itu sungguh menyegarkan sekali, refreshing. Masa itu saya terasa amat rugi sekali kerana telah enam bulan saya menetap disini tetapi tidak menfaatkan peluang yang ada. Maksud saya , menyusur dideretan rumah penjawat awam yang tidak ada gangguan dari segi lalulintas dan memasuki trek pejalan kaki yang sudah tentu selamat dari kemalangan jalan raya. Tidak perlu pergi ke mana-mana 'park' atau taman rekreasi untuk melakukan senaman.
 
Deretan rumah-rumah yang saya lalui, keadaannya sunyi saja. Hanya dapat menghidu hidangan sarapan pagi. Sungguh menyelerakan. Tidak kelihatan orang lain selain dari saya yang melakukan perkara yang sama. Mungkin pada hari-hari kerja mereka tidak ada masa untuk bersenam pagi. Tapi waktu petang saya tidak nampak ada orang yang bersenam berjalan kaki.  Mungkin mereka per ke jim. Dihari cuti , hari Sabtu, saya pun tidak nampak  ada yang bersenam. Mungkin esok hari Ahad ada kot?
 
Yang saya nak perkatakan ialah budaya senaman masih lagi belum menjadi budaya kita orang Melayu. Penjawat awam itu 99.9 peratus adalah terdiri dari orang Melayu. Mereka belum lagi membudayakan senaman  sebagai cara hidup. Pada hal terlalu mudah untuk melakukannya kerana setiap pagi melainkan perempuan yang uzur, kita akan menunaikan solat Subuh. Jadi selepas Subuh kita boleh melakukannya. Ertinya bangun pagi adalah sau kemestian dan wajib. Menjadi rutin.

Sebaliknya apa yang pernah saya lihat, orang Cina , tua dan muda menggunakan sepenuhnya taman-taman rekreasi untuk bersenam terutamanya di sebelah pagi. Bukan rutin mereka untuk bangun pagi kerana kalau tidak bangun tidak perlu gusar akan melepas solat Subuh. Mereka lebih sihat dari orang Melayu.

Seperti yang telah diperkatakan bahawa kita perlu ada kekuatan diri sendiri untuk mengamal dan melakukan gaya hidup sihat. Bahawa kita buat untuk kebaikan diri sendiri. Untuk diri sendiri. Kita lakukan bukan kerana pakar pemakanan atau doktor menyuruh kita berbuat demikian kerana ianya tidak akan kekal. Kita lakukan bukan kerana kita hendak di periksa oleh doktor. Maka bersungguh-sungguhlah kita elakkan garam dan gula, makan bersederhana dan seimbang serta melakukan senaman pagi/petang yang mengambil masa terlalu lama agar bacaan gula dalam darah, tahap kolesterol dan tekanan darah kita, diharapkan pada tahap yang sihat. Itu semua kita buat untuk orang lain yang langsung tiada kena mengena dengan kesihatan tubuh badan kita. Lagipun belum tentu mereka itu mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Dengan demikian jagalah pemakanan  dan lakukan senaman secara konsisten. Itulah cara yang terbaik untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat. Kalau ditambah dengan zikir, lagi lebih baik. Sihat jasmani dan sihat rohani.

Saya harap dan berdoa semoga bacaan gula dalam darah dan kolesterol akan berada pada tahap yang sihat. Saya yakin tentang itu kerana saya ada buktinya. Pemeriksaan doktor pada bulan Jun nanti, saya percaya ianya tidak mengecewakan saya.
 



 
 

 
 

 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan