Theflowersellingboy

Selasa, 22 Mei 2012

DATUK PENCEN JAGA CUCU

Hari ini seperti biasa selepas solat Subuh saya meneruskan aktiviti menyegarkan badan, senaman berjalan kaki. Memulakan langkahan pada jam 6.10 pagi , menyusur deretan kediaman rumah pegawai-pegawai kerajaan kemudian memasuki trek pejalan kaki. Dan akhirnya menamatkan senaman di kolam renang. Jauh perjalanan lebih kurang 3 kilo. Waktu itu 7 pagi. Saya perlu cepat kembali ke rumah di tingkat 12 untuk menjalankan rutin harian yang biasa iaitu menjaga cucu pula. Itu lah  asas yang membawa saya ke sini. 

Badan rasa segar. Masih berpeluh. Baju lencun dik peluh semasa saya memasuki rumah. Ibu bapa Naqib sedang bersiap untuk pergi kerja. Naqib akan menangis setiap kali ibubapa melangkah keluar rumah untuk pergi bekerja. Jadi saya dan isteri mengambil Naqib untuk turun berjalan, bersiar-siar . Naqib dimasukkan kedalam stroller. 

Saya menolak Naqib dan  isteri yang jalan seiring menjinjing beg kertas kecil yang berisi dengan makanan dan minuman Naqib. Kami berjalan menyusuri deretan rumah pegawai-pegawai kerajaan iaitu laluan senaman pagi saya. Kelihatan mereka sedang sibuk bersiap untuk pergi bekerja. Ada yang sedang memanaskan enjin kereta.

Kami disapa oleh seorang lelaki dengan memberi salam sambil menghampiri saya dan menghulurkan tangan untuk bersalam serta memperkenalkan diri. Salam dijawab , tangan disambut diri diperkenalkan juga.

Sahabat  yang baru dikenali itu menyatakan bahawa beliau telah tiga tahun bersara dari perkhidmatan awam. Tugas terakhirnya di kementerian kesihatan. Dia sekarang ada tugas baru sama seperti saya, jaga cucu.  Masing-masing kami ketawa besar apabila membuka 'rahsia' kerjaya selepas bersara: Jaga Cucu- Datuk Pencen Jaga Cucu.

Sahabat itu menyatakan ia terpaksa melakukannya kerana pembantu rumah dari negara jiran Indonesia yang diupah oleh anaknya dulu telah lari menghilangkan diri semasa menjaga cucunya. Oleh itu dia sudah tidak yakin menyerahkan jagaan cucunya  kepada pembantu rumah lagi. "Tak apalah" katanya.

Saya dan isteri meneruskan perjalanan dan sahabat tadi pula masuk kedalam kereta untuk menghantar cucu ke tadika. Cucu beliau yang paling kecil baru berusia 4 bulan.

Saya dan isteri merasa seronok juga mendapat tahu bahawa ada juga datuk dan nenek  pencen seperti kami ini menjaga cucu.  Ini satu trend yang baru yang semakin berkembang. Datuk pencen jaga cucu. Kami ketawa sambil menolak Naqib. Fikiran saya mula mengisi hal-hal yang berkaitan penjagaan anak-anak kecil ini.


Dulu semasa bekerja, anak-anak kami dijaga oleh nenek isteri. Tapi kerja kemas mengemas rumah dilakukan oleh pembantu rumah tempatan dan  Indonesia yang saling bertukar. Pening juga kepala ketika itu apabila pembantu rumah keluar meninggalkan rumah, tak balik-balik. Nasib baik ada nenek . Kalau tidak , tidak tahu lah apa akan terjadi jika anak ditinggalkan begitu saja.

Nampaknya sekarang kepercayaan kepada pembantu rumah yang mana sebahagian besarnya dari Indonesia untuk menjaga anak-anak semakin menipis. Banyak orang yang bimbang dari segi keselamatan anak dibawah jagaan pembantu rumah itu. Tapi apa pilihan yang ada. Orang tempatan, tidak berminat dalam profession ini. Kalau ada yang berminatpun belum tentu tidak akan melakukan perkara yang sama seperti pembantu rumah dari negara jiran itu.

Saya lihat kerajaan tidak memberikan perhatian yang serious tentang penjagaan anak-anak kecil ini sedangkan anak-anak ini adalah aset negara yang paling berharga . Cuba kita tanya adakah ada satu polisi dibuat tentang penjagaan anak-anak kecil ini. Kita ada polisi tentang prasekolah, polisi pendidikan rendah, menengah dan tinggi. Tapi polisi tentang penjagaan anak-anak kecil sebelum memasuki prasekolah masih lagi belum ada. Yang diutamakan ialah membuat perjanjian dengan kerajaan luar bagi mendapatkan pekerja yang antara lain untuk menjaga anak-anak kecil ini. Itu saja.


Itu bukan jalan penyelesaian. Kenapa tidak diadakan peraturan bahawa setiap majikan wajib mengadakan ruang/tempat bagi tujuan penjagaan anak-anak pekerjanya. Setiap majikan wajib menyumbang dari segi perbelanjaan modal misalnya mengadakan ruang yang lengkap dengan kemudahan. Disamping itu menyediakan pekerja-pekerja yang terlatih untuk menjaga anak-anak kecil pekerjanya. Bayaran  upah jagaan itu dikenakan kepada pekerja dan majikan atas kadar perkongsian 50:50. Perbelanjaan ini wajar diambil kira sebagai perbelanjaan yang boleh ditolak dalam kiraan Cukai koperat keatas majikan dan cukai pendapatan keatas pekerja. 

Cadangan diatas nampaknya terlalu simplistik. Tapi mesej yang hendak disampaikan ialah bahawa kerajaan, majikan dan pekerja mestilah sama-sama mengambil tanggungjawab keatas kemantapan pembesaran anak-anak ini. Ibubapa mahukan anak membesar secara yang terbaik dan berjaya. Kerajaan memerlukan anak-anak ini menjadi warga yang berguna. Majikan perlukan pekerja yang terbaik. Jadi mengapa tidak mahu sama-sama mengambil tanggungjawab untuk faedah dan kepentingan bersama.

Saya dan isteri telah melampaui beberapa deretan rumah. Kami perlu berpatah balik kerana cahaya matahari mula meninggi . Naqib hampir melelapkan mata.

Pesan saya kepada bakal-bakal pesara, bersedialah tuan-tuan akan tugas baru selepas bersara. Tugas ini paling mulia. Tuan-tuan jika mahu diberi gelaran datuk mestilah sanggup menjadi datuk pencen jaga cucu. Itupun kalau sudi. Kalau tidak sudi misalnya masih lagi mahu memulakan perniagaan maka teruskanlah. Tapi pesan saya lagi sekali bahawa kalau hendak berniaga mestilah semasa tuan-tuan muda belia lagi. Selepas bersara, lupakan saja kerana jarang yang berjaya, habis duit 'ganjaran' nanti. 

Jaga cucu lebih baik. Kalau kita sudah ramai bolehlah adakan persatuan. Persatuan Datuk Pencen Jaga Cucu. Tujuannya selain dari kita boleh berhubungan, kita adakan Skim Datuk Pencen Jaga Cucu dengan menentukan  syarat-syarat dan terma kerja datuk pencen jaga cucu. Misalnya dari segi upah, cuti rehat dan kemudahan-kemudahan lain seperti kereta tolak cucu, alat permainan cucu dan sebagainya.


Kami sampai di rumah dan masuk ke bilik dan berbaring tiga bercucu.



 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan