Pihak yang tidak sealiran dengan UMNO sama ada yang berparti atau yang tidak berparti pada masa ini terlalu ghairah menyebarkan cerita dan berita bahawa parti UMNO yang menerajui kerajaan ketika ini telah banyak kehilangan pengaruh dan penyokong. Mereka itu terlalu amat yakin UMNO akan tumbang dan menjadi tunggang langgang selepas pilihanraya ke 13 yang akan datang ini. Hujah mereka dan asas hujahan mereka banyak bersandarkan kepada bilangan kehadiran dalam setiap aktiviti/program dan perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat (PR) dan himpunan-himpunan pihak yang mempunyai kecenderungan menyebelahi PR . Mereka mendakwa acara mereka mendapat sambutan melebihi acara himpunan UMNO walaupun dakwa mereka lagi, yang datang ke acara itu tidak dibayar, tidak seperti UMNO yang mesti diatur dan ditanggung beres segala bayaran.
Tetapi sebenarkah begitu? Adakah bilangan kehadiran yang ramai satu ukuran yang terjamin bahawa dalam pilihanraya nanti setiap yang hadir itu akan mengundi PR dan menolak UMNO?
Pengalaman-pengalaman yang telah lalu tidak secara menyeluruh menyokong kepercayaan bahawa kehadiran yang ramai dalam perhimpunan anjuran pembangkang akan menghasilkan undi yang memihak kepada pembangkang. Ertinya yang hadir itu mungkin merasa seronok mendengar berbagai 'pembongkaran' seperti mendengar cerita-cerita di kedai kopi sambil bermain dam haji. Bila tiba masa mengundi mereka lebih berat kepada mengisi perut yang kosong. Ada wang, ada undi. Yang mampu berbuat demikian sudah tentu parti yang ada wang, tidak lain tidak bukan UMNO lah. Apa ada pada air liur, yang kadang-kadang basi pula berbanding dengan wang, janji projek dan BR1M.
Adakah puak-puak pembangkang ini masih berkhayal? Terlalu seronok dan lunak dengan angka kehadiran dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 284 baru-baru ini yang mereka dakwa mencecah 300,000. Lantas mereka terlalu yakin bahawa itulah petanda yang jelas majoriti rakyat sudah cenderung menyokong PR. Tapi dalam keghairahan itu mereka lupa, tidak semua yang hadir itu menyokong PR.
Mungkin ada yang menyamar. Mungkin ada yang memang suka ikut-ikut saja, nak merasa bagaimana sebenarnya 'thrill' dalam satu perhimpunan yang berhadapan dengan FRU. Tembakan ges pemedih mata dan cecair berkimia bukan sesuatu yang mewah yang boleh dibuat dalam sebarang himpunan. Hanya bila berdepan dengan FRU saja kita bernasib baik berpeluang menerima tembakan itu. Pedih mata dan bahaya juga tapi seronok mengatasi semua risiko itu. Ada yang seronok dihambat polis macam permainan cari ibu semasa kanak-kanak dulu. Lari lintang pukang. Kena tangkap, biasalah kata mereka. 'Thrill', bro.
Angka kehadiran BERSIH 3.0 sebanyak 300,000 itu juga boleh dibawa ketengah untuk dipersoalkan. Angka itu hanya propaganda penganjur dan PR saja. Sebab menurut menteri yang jaga hal-hal sebar menyebar maklumat, warisan dan budaya angkanya tidak lebih 23,000 saja. Beliau menggunakan kaedah yang saintifik dalam mengganggarkan bilangan yang hadir itu yang dikenali sebagi teknik fotografi. Saya tidak ada ilmu tentang teknik itu. Cuma boleh mengagakkan kiraan yang di buat adalah berdasarkan konsep penggandaan mengikut skala yang ditentukan. Tak kisahlah, yang penting kata menteri, yang hadir tidak lebih 23,000.
Baik. Nampaknya kedua-dua pihak menggunakan angka kehadiran sebagai asas sokongan. Cara ini tepat sekali dalam saingan politik untuk menyatakan keyakinan menang dalam pilihanraya. Politik adalah sains kuantitatif dan bukan kualitatif. Jadi kita ambil asas itu dalam menelah parti mana yang mendapat banyak pengaruh dan sokongan, dan akhirnya menang dalam pilihanraya.
Saya katakan sebentar tadi politik perlukan bilangan penyokong yang banyak untuk meraih kemenangan. Ini semua orang tahu. Selagi orang itu layak mengundi, mereka mempunyai harga dan nilai yang tinggi dari kaca mata politik. Politik tidak membatas dari segi tahap sosial, ekonomi, rupa paras, benaan fizikal, segar cacat, celek buta, warna kulit, agama, pendidikan, budaya bahasa, kelas, sihat dan uzur, perilaku yang samseng atau yang beradab dan segala ciri-ciri yang lain bagi manusia yang hidup dan layak mengundi, dalam raihan undi demi kemenangan. Semua manusia yang layak mengundi dan masih hidup itu terlalu penting dan berguna ketika hari mengundi. Dapatkan mereka dengan apa cara.
PR dengan modal sambutan BERSIH 3.0 dan perhimpunan politik sebelum dan selepas BERSIH, yakin mereka boleh tawan Putra Jaya. Cuba kita lihat acara acara selepas BERSIH 3.0 untuk melihat petanda-petanda kurang atau tambahnya sokongan diantara dua pesaing politik ini iaitu BN dan PR. Bila dikatakan BN saya lebih merujuk kepada UMNO kerana sekutu yang lain nampak gaya masih pasif lagi.
Saya cuma ingin menyenaraikan acara acara yang telah diadakan/dirancang diadakan selepas BERSIH 3.0 oleh UMNO dan pihak-pihak yang bersama dengannya.
1. Kehadiran sambutan ulangtahun UMNO ke 66 mencecah 100,000.
2. Berbagai Badan/Jawatankuasa Bertindak/Majlis telah ditubuhkan/wujud sebagai reaksi menentang BERSIH/PR. Misalnya Majlis Bertindak Peniaga Kuala Lumpur, BERSIH 4.0 dan Halau 1.0.
3. Penyokong UMNO sentiasa ada dimana saja perhimpunan/ceramah politik PR.
4. BERSIH 4.0 yang anti BERSIH 3.0 akan mengadakan perhimpunan di Stadium Bukit Jalil dengan penyertaan 150,000. Bilangan yang hadir mungkin lebih ramai kerana disediakan juga hadiah cabutan bertuah dalam bentuk kereta termasuk kereta mewah Lamborghini.
5. Perhimpunan Jutaan Belia pada 235 hingga 275 di Putra Jaya.
Saya rasa cukup dengan 4 senarai diatas. Ada banyak lagi sebenarnya,
Senarai pertama , jelas menunjukkan 100,000 kehadiran bukan petanda sokongan yang merosot.
Senarai kedua, bahawa UMNO berterusan mendapat sokongan dari berbagai kelas termasuk peniaga makanan, veteran pasukan keselamatan dan gerakan belia 1 Malaysia. Sokongan mereka adalah real, bukan olok-olok atau retorik saja. Mereka telah dengan berani berhimpun di hadapan rumah pengerusi bersama BERSIH 3.0 Datuk Ambiga dengan aksi-aksi yang menarik dan yang molek dijadikan catatan sejarah ialah aksi 'tarian punggung' dari veteran.
Senarai tiga, satu petanda pesaingan politik yang jelas dan berani berdepan dengan PR di sebahagian ceramah PR. Mereka berani melontar batu dan telur mencederakan bukan saja orang yang bernyawa bahkan merosakkan kenderaan yang memang tidak ada nyawa. Maknanya penyokong UMNO ini ramai dan bersifat berani mati. Samseng?
Senarai empat tidak perlu banyak penceritaan. Angka 150,000 sudah jadi bukti jelas bahawa sokongan keatas parti UMNO ini cukup utuh.
Senarai lima, yang ini satu saja akan menonggenggolekkan PR. Jutaan belia akan berhimpun. Ya, ini program kerajaan. Parti mana jadi kerajaan ketika ini. Jawabnya UMNO lah.
Jadi kesimpulannya ialah PR janganlah terlalu ghairah dengan angka kehadiran BERSIH 3.0 dan juga ceramah-ceramah politik yang diadakan. Bilangan yang menyokong UMNO masih lagi mantap. Mereka terdiri dari berbagai jenis manusia. PR jangan harapkan yang telus, tulus dan berbudi bahasa saja. Untuk kiraan politik jumlah itu tidak cukup untuk menguasai gelanggang politik.
Namun PR menang satu saja iaitu penyokongnya adalah sebenarnya mewakili 1 Malaysia seperti yang PM angan-angankan. UMNO? Nampaknya menjauhkan diri dari 1 Malaysia walaupun pakai baju 1 Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan