Theflowersellingboy

Khamis, 17 Mei 2012

SIHATKAN BADAN dan PEKERTI PUN KENA SIHAT JUGA

Semalam 16 Mei 2012- menghadiri ujian menembak menggunakan senjata shotgun bagi tujuan membaharui lesen senjata api. Ini adalah sessi kedua kerana pada sessi pertama bulan lepas saya tidak hadir kerana telah terlepas pandang akan surat panggilan dari pihak polis .

Pada sessi ini saya berjumpa dengan ramai kawan-kawan lama. Semua yang hadir terdiri dari yang berusia 60 dan keatas. Maka terlalu wajar untuk diuji kemampuan untuk menguruskan senjata dengan selamat. Sekiranya memegang senjatapun sudah tidak mampu maka lesen senjata tidak layak  diperbaharui kerana ia membahayakan diri sendiri dan orang lain. 

Penguji senjata terdiri dari anggota polis bahagian persenjataan memaklumkan bahawa ujian ini bukan bertujuan untuk mencari mereka yang cekap menembak tepat pada sasaran. Ianya untuk menguji kemampuan menguruskan senjata. 

Semua yang diuji telah menunjukkan kemampuan dan layak untuk memohon lesen senjata di perbaharui. Tapi masih lagi ada satu syarat yang perlu dipenuhi bagi mereka yang berusia 60 tahun keatas iaitu tahap kesihatan. Ertinya mereka ini wajib menjalani pemeriksaan perubatan (PP) ( medical check up) dihospital kerajaan. Hospital swasta tidak diterima.

Maka saya termasuk dalam kategori itu. Dari padang sasar menembak , saya terus ke klinik kerajaan yang berdekatan bagi tujuan medical check up. Di klinik tesebut terlalu ramai yang mahu membuat pemeriksaan perubatan. Semuanya terdiri dari anak-anak muda kecuali saya seorang.

Bisikan dihati mengatakan tidak mungkin mereka ini melakukan PP bagi tujuan yang sama seperti saya. Lalu saya menjeling dokumen yang dipegang oleh seorang anak muda yang duduk disebelah maka terpapar kepala surat yang mempunyai logo sebuah politeknik. Maka tahulah saya bahawa anak-anak muda yang ramai itu membuat PP bagi kemasukan ke IPT. Saya menggaru kepala kerana terlupa bahawa musim kemasukan pelajar ke IPT sedang bermula ketika ini. Maklumlah saya tidak ada lagi anak yang belajar di sekolah menengah. Hanya tinggal seorang lagi masih menuntut di IPT di tahun 4. Dua tahun lagi baru tamat.

Saya merasa seronok melihat anak-anak muda kita yang akan memasuki IPT itu. Wajah merekapun ceria dan semacam teruja untuk merasai kehidupan sebagai mahasiswa. Sesungguhnya menjadi seorang mahasiswa adalah berbeza dari pelajar disekolah. Mereka akan tahu nanti.

Sebahagian besar anak-anak muda itu ditemani oleh ibu. Ada seorang dua ditemani ayah dan ibu. Ada juga bersendirian bersama kawan-kawan. Mereka ini semuanya lelaki. Biasalah, anak muda lelaki memang suka menguruskan sendiri, berdikari. Namun yang bersama ibubapa itu berdikari juga, cuma mahu berkongsi kejayaan dengan kedua ibubapa pada setiap proses kemasukan ke IPT itu. Terlalu gembira.

Saya pun dulu melakukan perkara yang sama setiap kali ada anak yang memasuki universiti. Isi borang pun saya yang buat. Bukan anak tak tahu tapi saya seronok melakukannya. Terlalu gembira di atas kejayaan anak-anak itu.

Hanya pada hari itu saya agak terkilan juga apabila  melihat sikap dan sifat anak-anak muda itu yang tidak menunjukkan perasaan belas kasihan dan tanda hormat kepada orang tua. Semasa ditempat menunggu terdapat juga orang tua yang nampaknya kurang upaya untuk berdiri lama terpaksa berdiri kerana kerusi telah dipenuhi oleh anak-anak muda itu. Saya pun berdiri juga. Tapi saya masih lagi mampu untuk berdiri lama. 

Tidak ada seorang pun anak muda baik lelaki atau perempuan yang menunjukkan rasa belas ikhsan kepada orang tua yang kurang upaya itu. Kesian orang itu. Saya ingin juga mencadangkan supaya salah seorang anak muda itu memberikan tempatnya kepada orang tua yang kurang upaya itu. Tapi saya khuatir kalau-kalau saya dimarahi nanti. Malu saya dibuatnya. Maklumlah sekarang ini kita tidak mampu menegur anak orang. Malah anak sendiripun kita juga takut menegur, dimarahinya.

Kemudian muncul lagi seorang tua perempuan berbangsa China yang kurang upaya yang ditemani anak menghampiri tempat menunggu tadi. Tiba-tiba bangkitlah seorang yang berusia 60an berbangsa China menawarkan kerusinya kepada orang tua. 

Saya amat menghormati orang yang menawarkan kerusi itu. Namun terdetik juga dihati saya untuk bertanya mengapa beliau tidak bangkit dan menawarkan tempatnya kepada orang tua yang lain sebelum munculnya perempuan China yang kurang upaya itu. Agakan saya mengatakan, mungkin beliau merasakan orang tua ini wajar diberikan tempat duduk kerana 'uzur'nya melebihi dari orang tua yang lain. Lagipun beliau sendiri juga sudah tua yang memerlukan tempat duduk. Tetapi jika ada yang lebih tua dan uzur maka beliau merasakan orang itu lebih layak mendapat tempat duduk.

Anak-anak muda kita yang bakal memimpin negara, apa sudah jadi? Anda semua sebenarnya telah gagal pada langkah pertama ke universiti dalam proses menjadi manusia yang berguna. Mungkin anda boleh berjaya dalam akademik tapi budi pekerti yang telah anda pamirkan tidak secemerlang akademik anda. Budi pekerti yang baik dan sopan santun  adalah terlalu penting dalam kehidupan kita.    

Anda juga akan melangkah ke usia tua. Dan anda juga akan uzur.  Maka anda mudah rasa penat dan tidak mampu berdiri lama. Pada ketika itulah anda terlalu sangat menginginkan ada orang yang menawarkan tempat duduk. Jika ada orang yang berbuat demikian, sudah tentu air mata anda akan mengalir dan  menitis kerana terlalu menghargai orang itu dan tiada ucapan terima kasih yang dapat diucapkan melainkan memeluk orang itu.

Semoga sifat dan sikap anak muda yang saya temui pada hari semalam disebuah klinik kerajaan tidak sebenarnya menggambarkan watak anak-anak muda pelajar kita yang bakal memasuki universiti. Harap semuanya berjaya.

Saya pula bagaimana? Saya ok saja dan masih mampu bediri walaupun pada tempoh yang  lama. Cuma kakitangan yang mengambil tekanan darah dan ketinggian saya bertanya: Pakcik tidak periksa jantung ke? Untuk memperbaharui lesen senjata mesti check jantung.

Bila pula syarat ini timbul kerana ini bukan kali pertama saya buat PP bagi membaharui lesen senjata. Saya menggelengkan kepala sambil berkata ianya tidak perlu.

Namun saya merasa risau juga akan keadaan jantung saya. Sihat ke? Tapi kalau diukur dari segi berjalan dan bergerak secara pantas saya tidak merasa mengah dan tidak mudah penat. Maknanya oklah. Tapi ada juga tapinya, bacaan tahap gula saya sudah meningkat tinggi dari 6 menjadi 10.9.  Saya mula risau.  Ini semua disebabkan sudah enam bulan saya tidak buat senaman pagi selepas Subuh. Malas. Asyik tidur.

Ok amaran gula tinggi sudah dimaklumkan. Saya mesti berubah. Mesti ada semangat  kental seperti dulu. Mesti buat senaman pagi  selepas Subuh.

Alhamdulillah, hari ini saya telah mulakan. Dan akan diteruskan, insyaAllah .

.





  
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan