Theflowersellingboy

Khamis, 26 September 2019

Tiada Simpati Bagi Mu . Itulah Kasih Sayangku Padamu.



Bersama Ahmad Naqib

Hari ini saya mahu bercerita yang santai santai sahaja. Tiada cerita politik yang buat pening kepala. Releks.....ya orang pencen sepatutnya relek-relek saja tak usah pening-pening kepala bincang fasal politik. 

Dahlah dulu semasa bekerja macam macam warna hidup yang dihadapi dan dirasai---ada masam, ada manis, ada kelat, ada masin, ada pahit dan ada yang tidak tahu apa rasanya. 

Yang tak tahu apa rasanya itulah yang banyak menguasai suasana ketika itu. 

Jangan salah teka dan silap tafsir tentang maksud 'tak tahu apa rasanya'. Ianya bukan 'secukup rasa' seperti yang digunakan dan difahami oleh cef dan tukang-tukang masak untuk menyatakan rasa makanannya ok, boleh diterima semua tekak manusia.

Jangan pening kepala, yer memikirkan apa itu finomina 'tak tahu tahu apa rasanya'. Saya ceritakan sedikit.

Baiklah. 

Finomina 'tak tahu apa rasanya' ini memang dihadapi oleh semua penjawat awam tanpa kecuali, dari serendah kedudukan kepada yang paling atas. Semakin tinggi kedudukan semakin keraplah finomina itu menguasai keadaan/suasana kerja.

Adakah finomina ini menceriakan suasana, menggembirakan hati dan sebaliknya? 

Terpulang kepada personaliti masing masing. Ada yang mengambil peluang seoptima dan maksima yang mungkin untuk menfaat diri masing-masing, untuk tujuan naik pangkat misalnya. Ada pula yang rasa meluat, benci dan menyampah sehingga berani menungkah arus. Akibatnya , 'duduk situlah sampai ke tua', tidak kurang juga diusir keluar dan dipetisejukkan.

Yang paling malang sekali ialah ada yang tidak berani bersuara, mengeluarkan kata-kata waemah bahasa badan sekali pun tak berani dipamerkan. Memendam rasa sampai pencen.

Kata kunci kepada finomina itu, saya rengkaskan dengan huruf SYMP. Yang menerajui finomina ini ialah orang politik, sama ada berjawatan sebagai Ahli Pentadbiran atau ahli politik biasa. Dengar khabar kata kunci ini telah ditukar apabila PH jadi Kerajaan. Saya tidak pasti. Tapi perangainya  masih sama. Ianya satu legasi politik dalam menguruskan kerajaan.

Maaf, saya telah terlajak. Lari dari maksud bersantai seperti yang dijanjikan. 

Baiklah. Lihatlah gambar diatas, seorang datuk yang dipanggil Tokpa oleh cucu-cucunya bergambar bersama dengan seorang cucunya dihadapan kondo tempat kediaman cucunya di Putra Jaya.

Itu adalah gambar untuk dijadikan ingatan dan kenangan bahawa pada suatu ketika dulu cucunya yang bernama Ahmad Naqib ini pernah patah tangan, dipergelangan dan siku tangan kiri akibat dari jatuh semasa mahu menukar tangan bergayut alat pemegang di Taman Permainan Tanjung Mas di Muar. 

Sebenarnya saya tidak tahu apa yang telah berlaku kerana saya sendiri tidak melihatnya. Cerita itu diberitahu oleh Aqib, nama pendekkannya. 

Saya dan isteri sedang duduk santai diatas tempat duduk jenis batu yang agak jauh dari tempat mainan itu. Kami terutama saya dalam usia siri 70an ini lebih memilih untuk berehat walaupun sewaktu menemani cucu bermain di taman permainan. Lagipun mama dan ayahnya ada bersama. 

Sedang duduk santai, tiba-tiba isteri bersuara cemas menyatakan sesuatu yang tidak baik sedang berlaku kepada cucunya. Kami segera ketempat itu, termengah-mengah. 

Aqib dalam keadaan mengiring, terbaring diatas tanah sambil menangis kesakitan. Disamping Naqib ialah mamanya yang sedang menenangkan Naqib agar dapat menahan kesakitan dengan menjanjikan akan segera bawa Naqib ke hospital. Mama Naqib sungguh tenang. Mungkin sebagai seorang doktor, dia kena berbuat begitu, tidak perlu tunjuk rasa sedih dan mengeluarkan air mata.

Dalam hati dia dan Allah saja yang tahu.

Begitu juga dengan ayah Naqib, tidak menunjukkan panik tapi segera bertindak untuk membawa Naqib ke hospital Muar.

Lain pula dengan situa dua orang ini, saya dan isteri. Belum lagi sampai tempat aqib terbaring, belum lagi mendengar tangisan Aqib, dan belum lagi tahu Aqib patah tangan telah menangis, air mata keluar berjurai sambil meratap menyatakan sayangnya kami kepada cucu kami itu.

Saya menanyakan mama kami, apa sebenarnya telah terjadi. Dia sendiri tidak melihat kejadian itu. Tapi yang menyayatkan hati ialah apabila dia beritahu bahawa tulang tangan kiri Aqib telah patah. 

Sebagai seorang datuk dan nenek apa reaksi emosi anda? Kami menangis. Tidak ada pun perasaan malu. 

Tapi saya tidak berdaya untuk mengangkat Aqib untuk dibawa ke kereta yang lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian. Untuk mengangkat Aqib mesti dilakukan dengan cermat dan berhati-hati agar tidak menambahkan lagi kesakitan.

Saya dan isteri tidak dapat membantu. Aqib diangkat oleh ayah dan dibantu oleh mamanya menuju ke kereta. Yang kami mampu lakukan ialah menangis.

Dalam keadaan yang cemas itu, adik Naqib si Fateh tidak kelihatan. Saya panik , isteri lagi panik. Ayah dan mama Naqib memberi tumpuan kepada Naqib. Sayalah yang perlu mengambil tanggungjawab untuk mencari Fateh.

Saya berulang kali memanggil nama itu. Lama juga tapi tiada jawapan. Mata saya mencari-cari si Fateh itu. Akhirnya wajahnya kelihatan berseorangan diseberang taman permainan. Mengapa dia ke situ? Saya tidak pula tanya. Adakah mungkin dia melakukan sesuatu terhadap abangnya dan rasa bersalah lalu melarikan diri? Itu yang ada dalam fikiran saya ketika itu.

Apa pun saya bersyukur ke hadrat Allah apabila Fateh telah ditemui.

Setelah semuanya berada dalam kereta, ayah Aqib memandu kereta. Dia kelihatan tenang. Tidak ada titisan air mata . Tapi wajahnya melihatkan rasa sedih. Dan saya pula mengingatkan dia supaya bertenang semasa memandu walaupun saya sedang teresak-esak menangis sambil  memujuk Aqib agar jangan menangis , hospital Muar yang masih jauh saya katakan sudah mahu sampai. Sekejap lagi sampailah.

Akhirnya sampailah ke hospital. Naqib diberi rawatan segera. Ayah dan mama Naqib telah buat keputusan untuk memasukkan Naqib ke hospital Pantai di Melaka untuk buat pembedahan, Hospital itu berdekatan pula dengan rumah kami.

Naqib berada di hospital selama tiga hari. Hari keempat mereka sekeluarga balik ke Putra Jaya. Tinggallah saya dan isteri di rumah dengan sentiasa berdoa agar Aqib cepat sembuh.

Naqib dijaga oleh datuk dan opahnya dari Kuala Kangsar, selama seminggu. Kemudian kami ambil alih sehingga sekarang. Kami on call.

Besi dalam tangan Naqib untuk membolehkan tulang yang patah itu bercantum telah dikeluarkan semalam. Tapi kami masih diperlukan untuk membawa Naqib ke klinik bagi tujuan dressing. Doa kami agar Naqib cepat sembuh. Dah sebulan Aqib tidak ke sekolah. Dia pun nampak boring duduk di rumah.

Dulu semasa kecil sebaya dengan Aqib sekarang ini, saya pernah dua kali jatuh dari atas pokok manggis dan rambutan. Hampir pengsan tapi tak ada tulang yang patah. Tidak juga berani beritahu mak dan abah tentang kejadian itu. 

Jika diberitahu, ini respons nya: "pergi panjat lagi", diikuti dengan hayunan rotan atau yang selalu dipanggil sebagai roti panjang ke badan. 

"Tiada simpati bagi mu. Itulah tanda kasih sayangku padamu".






Tiada ulasan:

Catat Ulasan