Theflowersellingboy

Ahad, 15 September 2019

PERMUAFAKATAN UMMAH vs PERMUAFAKATAN NASIONAL: Dimana kedudukan UMNO dan dimana kedudukan PAS




Takbir: Allahhuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Itulah yang cuba saya bayangkan yang telah berlaku di PWTC tempat berlakunya acara bersejarah menandatangani Piagam Permuafakatan UMMAH? antara dua parti politik Melayu (UMNO) dan Islam (PAS) sebaik sahaja selesai ditandatangani oleh kedua dua presiden parti  berkenaan, tanda kesyukuran kehadrat Allah.

Saya juga bayangkan takbir itu diiringi bersama dengan tepukan gemuruh dari para hadirin sebagai pernyataan sokongan mereka kepada pakatan murni penyatuan ummah ini.

"Syabas", terlontar kata-kata dari mulut saya walaupun pada awalnya, pada peringkat heboh heboh mahu diadakan pemuafakatan Melayu Islam ini yang dinamakan sebagai Perpaduan Ummah, diantara dua parti politik yang berantakan bertahun-tahun lamanya, menjadi kesangsian dihati nurani saya, sehingga ke peringkat mendakwa ianya adalah satu drama politik.

Sebelum termetrainya tandatangan piagam permuafakatan ummah ini, saya berhujjah bahawa permuafakatan ini adalah  permuafakatan politik dari dua parti politik yang kalah dalam PRU 14, terutamanya UMNO yang kehilangan kerajaan Persekutuan dan sebilangan besar  kerajaan negeri, mencari jalan berhempas pulas dengan apa cara sekalipun dalam usaha mendapatkan semula undi majoriti rakyat untuk mengambilalih kepimpinanan negara pada PRU 15.

Saya positif, ianya bukanlah untuk tujuan penyatuan ummah melayu dan Islam. 

Emosi, atas nama Bangsa Melayu dan Agama Islam digunakan/dibakar semarakkan pada tahap maksima dan optima dengan tema bahawa kedudukan Bangsa Melayu dan Agama Islam sedang terancam.  

Tema itulah yang diulang sebut, diulang bicara dan diulang siar dimana sahaja ruang, keadaan dan persekitaran sebagai iklan jualan produk berjenama Perpaduan Ummah.

Namun apabila termatrinya tandatangan piagam itu, terbukti sangkaan saya meleset. Maka keluarlah   kata "syabas" tanpa disedari.

Tapi ianya cuma bertahan  dalam beberapa minit sahaja.

Hati saya mula berbisik"Oh betullah apa yang aku sangka. Bahawa ini semua mainan politik untuk menang pilihanraya. Bukan untuk perpaduan ummah".

Saya tidak mempersoalkan tujuan untuk menang pilihanraya. Itu matlamat pertama dan utama sebuah parti politik atau gabungan parti pilitik. 

Yang dipersoalkan ialah menggunakan emosi kebencian antara agama dan kaum yang amat berbahaya lagi merosakkan masa depan negara dan rakyat yang selama ini hidup aman damai. 

Kedua dua pihak, parti pembangkang dan kerajaan terlibat sama dengan mainan emosi yang merosakkan ini. 

Maka berhentikan apa apa sahaja cara, usaha dan tidakan dari mana mana pihak untuk membakar emosi rakyat. Ianya perlu ditentang bersama.

Malang sekali, pada pemerhatian saya, perpaduan ummah ini tidak terlepas dari cara yang dimaksudkan itu. 

Bersatu dan berpadu atas nama bangsa dan agama bukan satu kesalahan, bahkan perlu digarap dan diperkukuhkan. 

Jangan semarak rasa kebencian antara berlainan kaum dan agama, apatah lagi kebencian itu berunsurkan  kebohongan, penyebaran maklumat dan cerita palsu.  Itu bukan perpaduan. Itu adalah jalan kearah perpecahan dan kehancuran. 

Jangan silap , saya tidak hanya menyatakan kebencian ini hanya dimainkan oleh gerakan perpaduan ummah. Pihak yang lagi satupun sama juga. Kedua dua pihak perlu berhentikan mainan api kebencian yang amat berbahaya ini.

Pada hemat saya, cara, pendekatan serta format yang membentuk permuafakatan ummah ianya tidak banyak memberikan kebaikan kepada negara dan kerjasama politik UMNO dan PAS kerana,

i) Asas perpaduan dibina atas rasa kebencian pada pihak lain. 

ii) Ia digerakkan dan diterajui oleh kepimpinan yang banyak masalah.

iii) Struktur organisasi dan barisan kepimpinan yang  akan menggerakan matlamat pemuafakatan ini adalah berat sebelah. UMNO lebih dominan sedangkan PAS bukanlah parti yang kalah teruk dalam PRU 14, menjadi kurang penting.

iv) Matlamat sebenar telah tersasar. Dari pemuafakatan UMMAH sebagai daya penarik PAS untuk bersama dalam permuafakatan untuk tujuan perpaduan bertukar menjadi permuafakatan Nasional.

v) Perubahan ini jangan dikatakan perkara kecil. Perubahan ini menyangkut paut  dengan semangat dan moral ahli PAS yang amat teruja dan ghairah dengan penggunaan perkatan ummah. Adakah PAS dipermainkan?

vi) Perubahan kepada permuafakatan Nasional adalah kemenangan moral ahli UMNO dan sekutu parti bukan Islam , MCA dan MIC.  Perkataan Nasional terus dijadikan tonggak dalam kerjasama politik, sama seperti masa BN jadi kerajaan, dan bukan Ummah seperti yang diheboh hebohkan sehingga mendapat sambutan yang membanggakan terutama dari ahli PAS.

vii) Jadi apa diharapkan untuk satu  kerjasama politik  yang mantap dan berterusan jika pada tarikh lahir permuafakatan  sendiri pun tidak ada kesepakatan dalam hal yang telah dipersetujui semasa permuafakatan itu diheboh dan diwarwarkan.

viii) Ingat semula kes RUU 355 yang dipersetujui oleh umno. Apa pengakhirannya? Siapa yang menentang selain mendakwa PH jadi penghalang. MCA atau MIC atau UMNO atau semua parti politik BN?

Apapun, masa depan Allah sahaja yang amat mengetahui. Sebagai manusia yang tidak ada ilmu tentang masa depan, saya hanya dapat menyatakan bahawa ada kecacatan dalam permuafakatan ini jika matlamat perpaduan khususnya antara UMNO PAS hendak direalisasikan. 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan