Theflowersellingboy

Rabu, 25 September 2019

PRK Tanjung Piai : PH atau BN Yang Akan Menang

 Saya bukan ahli nujum............sekadar berbicara sahaja
.
Dua gabungan parti politik secara tidak langsung mengesahkan akan bertanding dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Tanjung Piai. 

PH sebagai parti yang menang pada PR14 dulu sudah tentu bertanding, mempertahan kerusi yang telah dimenangi, walaupun menang majoriti kecil yang tidak selamat. 

BN yang kalah ketika itu pun mahu bertanding apatah lagi kalah dengan majoriti yang terlalu kecil.

Parti parti lain usah kacau daun, membazir wang dan masa.

Persoalannya parti yang mana yang akan mewakili komponen/gabungan parti-parti itu?

Berlaku rebutan?  

Sudah tentu ada. Namun dipihak PH telah ada kenyataan bahawa ia mahu kekalkan status quo. Ertinya parti PPBM yang akan  mewakil PH. Beres? Belum tentu lagi.

Ada isu dipihak BN tentang parti mana yang akan bertanding. Tetapi jika prinsip status quo juga diterima pakai oleh BN maka MCAlah yang akan mewakil BN kerana calun dari parti itu yang telah bertanding pada PRU 14 yang lepas.

Namun, dinamik politik tidak mudah dibaca. 

Ada pihak dalam UMNO, khususnya UMNO Bahagian Tanjung Piai mahukan calun dari parti itu bertanding. Sudah tentu ada keyakinan yang tinggi wakil UMNO boleh menambahkan lagi satu kerusi di Parlimen. Mungkin keyakinan itu ada asasnya hasil dari bertabayun dengan PAS dengan termetrainya Piagam Permuafakatan Nasional diantara UMNO-PAS, disokong oleh MCA dan MIC.

Bertabayun dengan PAS memberi keuntungan kepada UMNO kerana undi yang PAS dapat pada PRU 14 yang lepas itu , yang jumlahnya lebih 2,000 itu adalah lebih dari mencukupi untuk mengalahkan Bersatu, dengan andaian tiada perubahan yang mendadak dalam bilangan yang layak mengundi dan ahli PAS memberi undi kepada UMNO.

Sudah tentu hasrat UMNO ini tidak mudah dipersetujui oleh MCA kerana melanggar status quo yang menjadi prinsip utama yang diguna pakai dalam pembahagian kawasan pilihanraya.

UMNO dan MCA sedang berunding, lobi melobi, gamaknya.

Kelihatan PH tidak ada isu tentang parti yang mewakili gabungan dengan mengekalkan Bersatu. Secara tiori tiada mana mana ahli dan penyokong parti merasa terkilan dan kecewa.

Jadi yang bergeser sekarang ialah antara UMNO dan MCA. Tidak mungkin tiada hati yang terluka apabila keputusan dibuat nanti sama ada UMNO atau MCA yang akan mewakili BN. 

Pada peringkat memilih parti dalam gabungan, PH telah berjaya.

Namun ada isu isu politik yang lain yang akan dipertimbangkan oleh pengundi. 

PH sentiasa diwarwarkan terutama oleh pembangkang dan penyokong sebagai kerajaan tidak tunai janji seperti dalam manifestonya.

Ianya tidak memberi kesan yang besar kepada PH sekiranya pengundi yang mengundi PH pada PRU 14 tidak termakan kempen memperlekehkan PH itu. Tugas pembangkang ialah memperkecilkan kemampuan kerajaan. Ini perkara biasa. Pengundi tidak mudah untuk mengubah undi cara seperti ini.

Tetapi tidak semua yang di perlekehkan itu tiada kebenarannya, misalnya PH masih lagi belum berjaya dalam usaha mengurangkan kos sara hidup dan nilai mata wang yang semakin menurun.

Hal yang berkaitan dengan kehidupan ini seperti kos sara hidup, perumahan, kesihatan , pengangkutan dan pendidikan perlu diberi tumpuan oleh PH agar ianya lebih baik dari semasa BN. 

Tugas berat PH untuk menyakinkan rakyat terutamanya pengundi di Tanjung Piai.

Bagaimana pula BN?

Selain   dari ada ahli parti yang terluka, BN berhadapan dengan persoalan tentang kesan ekonomi yang ditinggalkannya. Ianya amat teruk sekali sehingga ia menjadi modal politik kepada PH. 

Bahawa Manifesto PH tidak dapat dilaksanakan semuanya atau pada tempoh masa yang dijanjikan adalah disebabkan wang dan kekayaan negara telah disalahgunakan oleh BN semasa menjadi kerajaan.

Modal politik ini disertakan dengan bukti. 

Beberapa orang kepimpinan tertinggi  BN sedang dihadapkan ke muka pengadilan atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewangan.

Perbicaraan ini telah mendedahkan berbagai maklumat dan fakta yang negatif  bukan sahaja kepada pimpinan yang didakwa bahkan kepada BN sebagai parti politik. BN tidak boleh diharapkan untuk memegang amanah negara, yang rakyat serahkan, untuk mentadbir urus kekayaan negara demi kepentingan, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Kalau diukur dari segi skor, PH telah mengatasi BN. 

Pertama, PH tiada pergeseran tentang parti yang akan mewakili komponen dalam Piliharaya Kecil Tanjung Piai. Tiada hati yang terluaka. Sementara BN mahu berunding diantara UMNO dan MCA untuk mewakili BN. Kelak ada hati yang akan terluka, yang akan dibawa dikertas undi nanti.

Kedua, PH baru sahaja diberi amanah untuk mentadbirurus kekayaan negara, belumpun sampai 2 tahun namun PH telah menunaikan janji menstabilkan harga petrol RON95 pada RM 2.08 seliter berbanding dengan BN dimana harga tidak menentu sentiasa turun naik dan mengatasi harga yang ditetapkan oleh PH. 

Sudah tentu dalam masa yang singkat dan dalam kedudukan kewangan/ekonomi yang telah dirosakkan oleh BN, ia memerlukan masa yang lebih bagi menunaikan janji. Ia sedang diusahakan.  

Manakala BN yang telah memerintah 6 dekad telah banyak membawa kerosakan kepada ekonomi negara.

Ertinya Tanjung Piai akan dimenangi oleh PH?

Tunggu dulu, tidak semudah itu.

Tidak semua keputusan dibuat berasaskan fikiran yang rasional yang menjadikan fakta dan maklumat yang sahih lagi benar serta logik akal sebagai asas pertimbangan. 

Keputusan juga dibuat berdasarkan emosi dalam kerangka persamaan bangsa, kaum , agama dan budaya  serta wilayah yang boleh sahaja mengenepikan fakta dan maklumat yang benar dan sahih dan logik akal (ukuran akhlak dan moral, salah dan benar, bukan satu pertimbangan yang penting yang perlu diambil kira).

Dengan demikian keputusan PRK Tanjung Piai nanti adalah tertakluk kepada kedudukan pengundi. 

Jika ramai yang berfikiran rasional dan menerima logik akal, mereka akan menilai dari segi fakta dan maklumat bagi menentukan benar dan sahihnya fakta dan maklumat itu sebagai panduan untuk memberi undi.

Sebaliknya jika pengundi terdiri sebahagian besarnya mudah sahaja dipengaruhi dengan emosi apatah lagi emosi yang melampau , mainan emosi ini oleh mana mana parti politik akan memberi kelebihan dan besar kemungkinan akan menang PRK Tanjung Piai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan