Theflowersellingboy

Khamis, 19 September 2019

BOIKOT: Menang Sorak Kampong Tergadai




Mengapa boikot? Apa asas boikot? Siapa yang boikot? Sasaran boikot? 

Boikot adalah satu pendekatan yang kurang bijak. Boikot bersifat emosi yang dijuarai oleh perasaan benci  sesama insan. 

Dan boikot tidak dimulakan atas asas untuk mempertingkat dan memajukan ekonomi orang Melayu Islam. 

Sebab itu saya mengatakan boikot bukan satu pendekatan yang mampu membantu mempertingkat dan memajukan ekonomi orang Islam kerana ia bermula dengan emosi kebencian. 

Boikot memberi kesan kepada kebolehpasaran (marketability) produk dan perkhidmatan orang Islam yang lebih luas lagi, merentasi kaum dan agama khususnya di Malaysia. 

Boikot dari orang Islam sudah tentu mendapat reaksi dari bukan Islam. Tidak dinafikan, sebelum kempen boikot oleh orang Islam, ada juga produk dan perkhidmatan orang Islam yang tidak mendapat sambutan dari bukan Islam, bahkan diketepikan dari stok jualan.

Tetapi tindakan kita memboikot produk dan perkhidmatan bukan Islam , menambahparahkan lagi penjualan produk kita hasil dari tindak balas bukan Islam. 

Jangan salah faham. Saya tidak sama sekali mahu mempromosi produk dan perkhidmatan bukan Islam serta mahu memperkecilkan produk orang Islam. 

Kita mesti terima realiti bahawa penghasilan produk dan perkhidmatan  orang Islam sebahagiannya bergantung sangat kepada input-input yang dikuasai oleh bukan Islam. Bahan-bahan mentah seperti tepung, gula dan banyak lagi , hanya dapat diperolehi dari pembekal dan pengeluar bukan Islam termasuk dari luar negara. Begitu juga dengan rangkaian perniagaan yang lain seperti pengangkutan kita perlukan kerjasama dari bukan Islam.

Ada diantara kita mengatakan bahawa kita tidak berniat untuk memboikot tetapi memberi keutamaan kepada produk dan perkidmatan orang Islam dengan kempen Buy Muslim First (BMF).

Mengapa kita menukar kearah BMF?

Cara kita ini seolah-olah menganggap orang bukan Islam tidak peka tentang perkembangan ditanah air. Seolah olah mereka tidak pernah mendengar perkataan memboikot perniagaan mereka.

Lalu apabila kita menyedari kempen boikot ini juga memberi kesan negatif kepada ekonomi orang Islam, kita ubah kepada BMF.

Bagi saya BMF, juga bukan strategi yang baik bagi memperkembangkan kedayapasaran dan keluasan pasaran produk dan perkhidmatan kita kerana seruan atau kempen seperti ini juga akan mendapat sedikit sebanyak respons yang negatif daripada bukan Islam.

BMF tidak perlu. BMF juga membawa sentimen agama dan kaum dalam perniagaan dalam sebuah ekonomi seperti di negara kita. Ia juga memperkecilkan keluasan pasaran produk kita.

Adalah lebih baik tanpa perlu mengajak pemboikotan dan BMF, kita teruskan seperti biasa dengan menekankan konsep yang halal dan yang baik (halalan thoiyiban) seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Saya yakin ianya tidak menyakitkan hati orang bukan Islam.

Sebab itu, sebagai contoh, makanan yang tidak halal seperti babi, tidak mendapat reaksi negatif dari bukan Islam jika kita melarang orang Islam dari membelinya. Begitu juga dengan kedai-kedai bukan Islam yang menghidangkan makanan dan minuman yang tidak halal. 

Lebih baik kita tumpukan kempen untuk menyedarkan orang Islam supaya tidak berjudi, minum arak, mencuri, membeli loteri empat angka, mengunjung rumah pelacur dan sebagainya. 

Berkempen juga dengan seluas-luasnya agar perkhidmatan restoran atau kedai makanan orang Islam, sentiasa menyediakan perkhidmatan yang baik, mesra, cekap dan persekitaran yang menarik serta selesa kepada pengguna. Utamakan kebersihan dari dapurnya, pekerjanya dan meja hidangan dan kerusinya. 

Tetapi yang masih lagi banyak kelihatan ketika ini ialah kedai kedai makan Melayu dan Islam yang bertebaran ditepi tepi longkang. Keadaan seperti ini bukan sahaja boleh dipersalahkan kepada peniaga tetapi termasuk juga pihak berkuasa yang gagal menyediakan infrastruktur dan binaan yang mengutamakan kebersihan.

Berkempen juga dengan sehebat hebatnya  agar pengguna termasuk  orang Islam terutamanya tidak merokok , apatah lagi ditempat yang diistiharkan sebagai tidak boleh merokok.

Saya percaya kempen seperti yang dinyatakan diatas tadi akan menambahkan lagi bilangan pengguna, bukan sahaja orang Islam bahkan bukan Islam.

Tanpa kebencian kita memperkukuhkan ekonomi orang Islam. Tanpa kempen memboikot dan BMF kita menggalakkan dan mempereratkan persahabatan antara berbeza kaum dan agama. 

Sebenarnya halalan dan thoiyiban tidak memerlukan pemboikotan tetapi kesedaran dan tanggungjawab kita sesama warga tanpa menyakitkan hati mana mana pihak. Kita untung merekapun untung kerana kita akan membeli produk mereka yang halal dan mereka menjual dan membeli produk dan menggunakan perkhidmatan kita.

Jadi apa masalahnya sekarang?
Adakah mereka terus tidak mengutamakan produk kita? Saya rasa tidak. Sebab sebagai peniaga mereka mahu meluaskan pasaran dengan mendapatkan produk dari pelbagai pihak termasuk produk orang  Islam. 

Oleh itu berhentilah dari kempen memboikot kerana ia tidak membantu kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi orang Islam. Ianya juga tidak membantu kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ekonomi negara berkembang, peluang pekerjaan akan meningkat. Ingat bahawa bilangan majoriti yang menganggur adalah orang Melayu Islam.

Pilihlah kedudukan menang menang. Bukan menang sorak kampong tergadai.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan