Theflowersellingboy

Isnin, 23 September 2019

Selamat Tinggal Kepada Politik Yang Sesat Lagi Menyesatkan: Tapi Kepada Siapa Tadbirurus Negara Perlu Diserahakan



.......Menyambung paparan lepas.....


Adakah terlalu awal untuk mengucapkan selamat tinggal PH. Selamat tinggal Malaysia Baru?

Dan adakah terlalu awal untuk menjemput kembali UMNO/BN menduduki Putra Jaya kerana wajahnya telah berubah dalam bentuk pakatan politik bersama dengan PAS atas nama Permuafakatan Nasional (PN)?

Bagi saya terlalu awal untuk berbuat demikian. 

PH masih ada harapan. Masih relevan sebagai sebuah kerajaan yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Tapi ada syaratnya.

Sementara UMNO juga ada harapan untuk dijemput kembali. Tapi ada syaratnya juga.

UMNO yang bertabayun dengan PAS dalam PN dan masih mengekalkan sahabat-sahabat lama BN-- MCA dan MIC, masih lagi belum pulih kerana kerosakan ekonomi yang telah dilakukan  telah mendapat pengiktirafan sijil BER (beyond economic repair). 

Wajahnya tetap sama walaupun cuba disalut dengan solekan/make up (bertabayun dengan PAS). Wajah wajah yang sama (yang membuatkan parti mereka gagal dalam PRU 14) , sama ada UMNO atau PAS masih lagi memimpin parti parti politik tersebut.

Kepada PH-- Awas! Jangan terus berkhayal dan bermimpi siang malam bahawa rakyat masih bersama dengan kamu. Perjalanan menghampiri dua tahun, seperti yang telah dibuktikan tidak banyak menceriakan kehidupan rakyat walaupun  BN boleh sahaja dipersalahkan.

Pendekatan menyalahkan BN itu, yang kerap dihebuhkan, bukan satu ubat yang mujarrab untuk meredakan kesempitan hidup rakyat, malah ianya menimbulkan perasaan meluat sakit hati dan menyampah disanubari rakyat.

Rakyat sudah sedia maklum akan kebejatan UMNO/BN. Sebab itu BN ditendang keluar dari Putra Jaya. Cukuplah rakyat mengikuti berita dan cerita perbicaraan kepimpinan UMNO/BN. Rakyat tidaklah sejahil itu untuk menilai antara emas dan besi buruk lagi berkarat.

Sekarang, rakyat mahu PH memberikan yang terbaik. Laksanakan manifesto yang telah ditawarkan. Itu janji yang memberikan undi. Jangan cuba lari dari tanggungjawab menunaikan janji. 

Tapi amat malang sekali, ada pimpinan tertinggi PH menggunakan alasan agama sebagai jalan keluar untuk mungkir janji. 

Dari lidah yang tak bertulang, lafaznya "Manifesto PH bukan al-alquran". Ini belum lagi dipanggil lidah yang bercabang.

Rakyat tahu manifesto bukan al-quran. Dan Rakyat juga tahu bahawa janji perlu ditepati dan dipertahankan.

Sebab itu jangan gunakan agama sebagai jalan keluar dari menunaikan janji. Bukankah PH sentiasa mengatakan PAS sebagai penunggang agama. Apa beza dengan PH?

Setuju, bahawa dengan kedudukan kewangan dan hasil negara serta ekonomi dunia yang tidak menyebelahi PH, ianya sesuatu yang amat mencabar bagi PH untuk dapat melaksanakan janji seperti yang termaktub dalam manifesto. Ia memerlukan satu usaha dan tindakan yang luar biasa. Satu keberanian politik.

Oleh itu perubahan struktur wajib dibuat. Bukan sekadar buat penyesuaian dan ubahsuaian disana sini,  atau melakukan penjenamaan semula organisasi dan jentera perlaksanaan tetapi tidak ada nilai tambah, misalnya. Kualiti penyampaian kepada rakyat sasaran masih lagi tidak dapat menutup jurang , malah ada yang semakin melebar. 

Rujuklah kepada kajian Bangsa Bangsa Bersatu tentang tahap kemiskinan di Malaysia. Muhasabahlah PH!

Satu daripada perubahan struktur itu adalah lanskap politik. Lanskap politik wajib direformasikan kerana politik memimpin kearah matlamat yang hendak dicapai. Sudah tentu dengan penguasaan ilmu dan teknologi yang terkini sebagai alat terbaik menuju matlamat yang dihasratkan.

Lanskap politik PH tidak ada bezanya dengan BN. Lantikan Anggota Pentadbiran (menteri dan timbalan menteri) tidak ada bezanya dengan BN. Seperti BN, keutamaan adalah bagi mewujudkan keseimbangan bilangan wakil diantara berbagai parti komponen bukan atas dasar kompetensi melaksanakan fungsi. Maka ramailah manusia yang terlibat untuk mentadbir urus negara.

Maknanya, tiada usaha yang bersungguh sungguh  untuk mengurangkan kos operasi sedangkan penjimatan kos itu amat diperlukan untuk disalur kepada hal-hal kebajikan rakyat.

Dalam BN, UMNO paling dominan. Parti yang sebenarnya mempunyai kawalan yang lebih berbanding parti parti yang lain. Ini membuatkan UMNO, terutama diperingkat pimpinan merasa besar dan sombong diri. Akhirnya membunuh diri sendiri.

PH pula bertindak dengan persetujuan konsensus, pada tiorinya. Realitinya tidak semuanya begitu. Perdana Menteri masih lagi mempunyai kuasa putus. 

Apa yang tidak dipersetujui atau dipersetujui oleh PM, adalah muktamad walaupun yang melibatkan nama baik PH itu sendiri. Contoh paling ketara ialah kes video perlakuan jenayah yang dikatakan melibatkan seorang menteri dan seorang ahli politik dari parti yang sama.

Sepatutnya serahkan ke  pihak pengadilan untuk membuat keputusan. Bicarakanlah mereka yang terlibat sama ada dalang atau yang dituduh. Bukan dengan segera mengatakan kes ini adalah bertujuan untuk menjatuhkan kerjaya politik seseorang sebelum mahkamah buat keputusan.

Apa bezanya dengan BN? Bagaimana PH boleh mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap parti itu? Sudah tentu ianya memberi gambaran yang negatif dikalangan pengundi dan orang asing terutamanya pelabur. 

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa politik di Malaysia sama ada dipihak UMNO, PAS, PKR, DAP, Amanah , MCA , MIC dan lain-lainnya adalah politik yang beriman kepada tiga Rukun Politik yang telah saya sebutkan dalam paparan yang lepas. 

Saya ulang pada sekian kalinya bahawa :

i) Politik yang percaya kawan dan lawan tidak  kekal
ii) Politik adalah seni serba boleh
iii) Matlamat menghalalkan cara.

adalah politik yang sesat lagi menyesatkan. Politik menjadikan rakyat sebagai mangsa dan negara menjadi pertaruhan.

Jika kepercayaan ini berterusan bukan sahaja kepada mereka yang mahu berkuasa atau mengekalkan kuasa bahkan dipercayai dan dianuti oleh mereka yang mahu menyerah kuasa untuk menguruskan kekayaan negara, percayalah rakyat dan negara akan terus ditipu. Sengsaralah kamu dalam sebuah negara yang kaya.

Dari dulu, kini dan selamanya rakyat kena tipu!

Wahai PH dan PN, dan yang lain-lainya jangan membuatkan kamu jadi irrelevan dimata rakyat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan