Theflowersellingboy

Selasa, 24 September 2019

Elakkan Diri Dari Terpengaruh dan Mempercayai Politik Menggunakan Emosi Yang Melampau.




Apakah pilihan politik rakyat agar undi yang diberi kepada parti politik atau gabungan parti politik akhirnya memberi banyak kebaikan kepada sebahagian besar rakyat. 

Di Malaysia, pilihan politik yang boleh memberi kesan kepada kehidupan rakyat, ada dua sahaja. Pilih BNplus (UMNO yang bekerjasama dengan PAS (PN) + MCA+MIC) atau PH. Rakyat boleh sahaja melupakan selain dari dua gabungan ini.

Betul pilihan, berbahagialah rakyat. Silap pilihan meranalah rakyat.  

Oleh itu BNplus atau PH?

Itu persoalannya? Ya, itu persoalannya.

Persoalan itu mesti dan wajib dijawab oleh rakyat atau pengundi sendiri. 

BNplus sudah ada jawapan. PH juga telah sedia dengan jawapan. 

Pesan saya, boleh dengar jawapan itu, tapi kena fikirkan baik baik dengan penuh ketenangan tanpa dipengaruhi oleh emosi melampaui walaupun anda penyokong tegar atau ahli parti berkaitan. Emosi yang melampau akan menyesatkan pertimbangan anda. Untuk mendapat sesuatu yang baik , sudah tentu kita pilih jalan yang tidak sesat.

Selamat buat pilihan pada PRU 15 nanti. Anda punya masa yang cukup untuk membuat penilaian antara dua parti, iaitu BNplus atau PH. Itupun jika parti parti itu masuk bertanding Pada PRU 15 nanti. 

Saya telah buat pilihan. Harap pilihan saya itu kekal sehingga hari mengundi, dan jika masih dipanjangkan usia, sihat walafiat dan mampu memangkah saya akan mengundi parti itu.

Ada beberapa hal saya ambilkira dalam pertimbangan saya itu. Antara yang terpenting: 

i) Mengelakkan emosi memandu saya--emosi bangsa, agama dan ahli atau penyokong parti .  Maksudnya jika saya ketahui dengan sahih calun itu bermasalah- moralnya, rekod prestasi (jika calun ulangan), saya tidak memberi undi kepada calun itu walaupun saya ahli parti itu ataupun ia dari bangsa saya sendiri.

Saya dipandu oleh hasrat untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dan adil kepada semua pihak.

ii) Saya memilih realiti dari fantasi/ilusi atau persepsi bersangka buruk disebabkan perbedaan.

Realitinya bahawa Malaysia negara berbilang kaum, budaya dan agama. Saya meraikan perbedaan/kepelbagaian sebagai aset berharga kepada kesinambungan kewujudan kita. 

Tidak ada satu parti politik yang boleh memerintah Malaysia tanpa kerjasama dari berbagai kaum. 

Realiti juga mengatakan bahawa Melayu/Bumiputera adalah penduduk asal dan dominan yang kedudukannya telah diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan. Ertinya tiada fantasi/ilusi tentang penguasaan satu kaum dan kedudukan Melayu dan Islam terancam. Hidup mesti ada perkongsian.

iii) Baik atau buruk sifat seseorang calun itu bukan ditentukan kerana parti yang disertai atau asal kaumnya mahupun agama yang dianutinya (jangan silap faham. Bukan agama yang dipersalahkan tetapi peribadi itu sendiri).  Ada Cina jahat, India jahat dan Melayu jahat. Begitu juga dengan kaum yang lain.

Jika perbadi itu Melayu dan melakukan salahlaku, tidak adil Melayu dan Islam yang disalahkan. Begitu juga dengan kaum dan agama yang lain.

iv) Menguasai Bahasa Melayu  tanpa kecuali. Penguasaan bahasa yang lain adalah bonus.

v) Keutamaan kepada calun kali pertama berbanding calun ulangan. Calun yang berpengalaman, hanya pada ulang yang kedua (maksima) dengan syarat mempunyai rekod yang baik. 

vi) Kelayakan akademik paling rendah ialah diploma lanjutan.

vii) Mengistiharkan harta kepada SPRM dan maklumat itu menjadi pengetahuan umum.

viii) Keutamaan saya kepada personaliti berbanding pada parti. Jika parti menunkjukkan rekod yang baik tetapi personaliti yang dicalunkan ada masalah, saya ketepikan parti dan personaliti itu.

Semoga rakyat Malaysia dapat menggunakan akal dan fikiran yang rasional dalam memberikan undi dengan melepaskan diri dari mempercayai dan terpengaruh permainan emosi yang melampau , membenci sesama warga hanya disebabkan perbezaan bangsa, agama dan kepercayaan politik.

Perkembangan politik semasa kelihatan cenderung kearah memainkan emosi yang melampau dari kedua-dua belah pihak--kerajaan dan pembangkang.

Semoga negara kita dijauhi dari mereka yang cenderung kepada membangkitkan rasa kebencian. Tidak ada siapa yang untung. Menang jadi arang, kalah jadi abu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan