Theflowersellingboy

Sabtu, 14 September 2019

HARAP-HARAP Perjalanan Ana Selamat : Tipah Tak Tertipu Lagi




Hari Ini Dalam Sejarah. 

Mengambil angka 14919 sebagai angka atau number bertuah, dua  Parti Politik yang mendakwa mewakili Melayu (UMNO) dan Islam (PAS), pada Hari Sabtu,  telah mengenepikan permusuhan mereka yang berabad lamanya bersetuju untuk bersama sama sebagai KUASA POLITIK dalam Gagasan Besar Penyatuan UMMAH untuk mengambilalih kepimpinan negara.

"Let bygones be bygones", saya simpulkan itulah semangat mereka. 

"Lupakanlah kisah lama", kata pujukan hati orang Melayu, memujuk hati yang terguris dan terhiris disebabkan permusuhan lama dengan mengukir senyuman yang rasanya tidak lepas dari kerisauan, dan ada juga keraguan.

Harap harap Perjalanan Ana Selamat : 

Tipah Tidak Tertipu Lagi , sebuah lagu Melayu yang mengisahkan cinta yang palsu. Kali pertama tertipu, bisa saja Pak. Jangan berulang Pak tipuan itu macam si Tipah itu. Merana badan nanti Pak.

Apa pun perkara yang baik wajar disokong dan diucapkan syabas dan tahniah.

Namun pada hemat saya, secara politik, yang berjaya dan mendapat menfaat maksima dan optima adalah UMNO atas alasan:

1. Parti yang kalah dan hilang kuasa pada PRU 14 pada peringkat Negeri dan Persekutuan ialah UMNO bukan PAS. 
2. Walaupun PAS tidak menjadi kerajaan Persekutuan selepas  PRU 14, tetapi PAS menguasai bilangan negeri yang bertambah serta ahli dewan undangan  negeri yang bertambah walaupun tidak menguasai negeri itu.
3. Asal mula kerjasama dan permuafakatan dua parti ini adalah penyatuan orang Melayu dan Islam. Islam sebati dengan PAS ( sekurang kurangnya itu yang didakwa oleh PAS). Melayu pula sebati dengan UMNO  ( seperti dakwaan UMNO). Namun penyatuan UMMAH dijadikan tema permuafakatan antara dua parti ini. Ianya  menyegarkan jiwa raga ahli PAS kerana perkataan UMMAH itu ada konotasi yang rapat dengan Islam. Kenapa tidak penyatuan Melayu?
4.UMNO adalah parti politik yang terlalu banyak pengalaman politik, tendang terajang politik bukan calang calang hebatnya. Lihat sahaja Piagam yang ditandatangani atas nama Permuafakatan Nasional bukan Permuafakatan UMMAH. Sudah tentu ini menyegarkan jiwa raga UMNO. Adakah UMNO licik dalam politik?
5. Lihat pula struktur  pengurusan untuk menjayakan permuafakatan Nasionlal ini. Siapa pemimpin struktur, bilangan ahli setiap parti dan kedudukan mereka. Bukankah UMNO lebih dominan. Bagi UMNO sikap dan pendekatan dominan dalam politik menjadi darah daging parti itu. Ia tidak boleh berpisah seperti mana UMNO dalam BN dulu. Sebab itu perkataan Nasional itu secara tersirat saya tafsirkan sebagai UMNO mahu mengekalkan penguasaan politik dalam sebuah kerjasama politik.


Harap harap Perjalanan Ana Selamat. Tipah tidak Tertipu Lagi.

Tapi saya amat sangsi sekali kerana UMNO tidak akan boleh melepaskan parti bukan Melayu seperti MCA, MIC dan Lain-lainnya dari berpegang tangan kerana UMNO tahu bahawa REALITInya tidak ada satu parti politik atau gabungan parti politik yang dapat memerintah Malaysia tanpa kerjasama parti bukan Melayu.

Dan PAS tahu tentang realiti ini. Tetapi atas tujuan politik, PAS terpaksa menunjukkan sikap bahawa parti itu memperjuangkan Islam dan dalam masa yang sama menyatakan boleh bekerjasama dengan parti bukan Islam. Namun PAS menjadikan DAP sebagai caveat dengan bertegas tidak boleh bersama dengan DAP dalam mana mana gabungan parti politik.

Saya tanya, apa bezanya MCA dan MIC dan Parti parti dari Sabah dan Sarawak yang juga secara jelas tidak bersetuju dengan undang undang Islam seperti yang PAS mahu. 

DAP jelas tidak setuju. 

UMNO pun menyatakan secara jelas tidak bersetuju dengan HUDUD.

Apa bezanya?

Jadi saya  katakan kerjasama ini adalah kerjasama untuk menang pilihanraya khususnya PRU 15 kerana tanpa kerjasama dengan PAS UMNO tidak mungkin menang. Tanpa bersama dengan MCA, MIC dan parti politik Sabah dan Sarawak, UMNO tidak mungkin berjaya mengambilalih tampok pemerintahan. UMNO perlukan kerjasama bukan Melayu tetapi bukan dengan DAP seperti yang disyaratkan oleh PAS. 

Ertinya kerjasama atau permuafakatan UMNO PAS ini bukanlah permuafakatan  Perpaduan UMMAH.

Sebab itu Permuafakatan politik pada hari ini diberi nama Permuafakatan Nasional .

Allah sahaja yang maha mengetahui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan