Theflowersellingboy

Jumaat, 20 September 2019

PRU 15: PN vs PH...Yang Mana Satu Pilihan Anda




PN vs PH......Yang Mana Satu Pilihan Anda?

Soalan itu rasanya tidak perlu ditanya sebelum PRU 15 diistiharkan.

Politik Malaysia adalah politik yang TIDAK MENENTU. 

Hari ini PN esok mungkin PH. Siapa tahu, mungkin PN hanya bernyawa diperingkat tandatangan Piagam. 

PH pula tinggal nama sahaja seperti PR, dan digantikan dengan pakatan atau permuafakatan politik baru dengan nama yang  baru pula, Pakatan Sejahtera misalnya, yang menggabungkan parti parti politik yang dulunya bermusuhan. Siapa tahu?

Siapa tahu, PRU 15 hanya ada satu parti dari gabungan berbagai parti dalam negara dengan nama Pakatan atau Barisan Perpaduan.

Tiada pula ada orang yang  tahu bahawa pada PRU 15 setiap parti akan bertanding bersendirian kerana terlalu yakin boleh menang majoriti bagi menubuhkan sebuah kerajaan.

Begitulah, politik Malaysia sungguh DINAMIK, kata ganti kepada TIDAK MENENTU yang lebih mesra untuk diulang sebut.

Dengan demikian apa perlu pening kepala untuk membuat pendirian menentukan pilihan parti atau gabungan parti mana yang perlu diberi undi.

Semua yang tidak tahu itu, yang tidak menentu itu atau yang dikatakan dinamik itu hanya disebabkan kepercayaan kepada 3 Rukun Politik (RP) yang diimani oleh pengundi negara ini seperti yang telah dibincangkan dalam beberapa paparan yang lepas.

Bahawa pengundi Malaysia beriman kepada RP:
i) Politik adalah seni serba boleh
ii) Tiada yang kekal sebagai kawan mahu pun lawan
iii) Matlamat menghalalkan cara.

RP ini adalah 3 dalam 1 dan 1 dalam 3. Jika beriman kepada yang satu ianya sebenarnya beriman kepada yang dua lagi. Begitu juga jika beriman kepada ketiga-tiganya sebenarnya cukup untuk beriman kepada yang satu sahaja.

Sebab itulah politik itu dinamik, politik yang tidak menentu. Contoh yang paling TERANG tanpa BERSULUH ialah perpindahan ahli politik yang menang ke parti yang dilawani semasa pilihanraya. 

Ada orang kata ahli politik seperti ini sebagai KATAK yang melompat dari kolam yang KERING KONTANG Ke kolam yang PENUH DENGAN AIR agar lompatan itu menyeronokkan, pendaratannya atau landing yang tidak menyakitkan. Smooth landing, kata pengembara yang memilih kapal terbang sebagai alat pengangkutan.

Soalan saya, mengapa perlu pening-pening kepala kerana yang menang dari undian kita itu belum tentu akan bersama dengan ideal politik kita atau apa yang kita mahu dia atau mereka lakukan.

Kalau begitu apa perlu kita mengundi?

Kita tetap mengundi. Ianya satu tanggungjawab yang perlu kita laksanakan untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Apa pilihan kita?

Pilihlah mengikut personaliti dan bukan parti. Syaratnya kita mesti mentelaah personaliti itu. Ada maklumat yang cukup dan sahih. Ianya seorang yang benar benar kita yakin dan percaya, yang mempunyai kemampuan dan kebolehan, punya harga diri dan beramanah.

Paling penting dia bukan orang yang kita sudah tahu mempunyai kecacatan politik. Biasanya orang itu terdiri dari calun kitar semula atau bukan calun kali yang pertama.

Satu tugas yang mencabar untuk mempunyai dan memperolehi maklumat yang lengkap lagi sahih tentang seseorang calun yang bertanding. Tetapi ianya berbaloi.

Kerajaan boleh ditubuhkan bukan saja atas nama parti atau gabungan parti. Kerajaan boleh juga ditubuhkan dari mereka yang menang walaupun dari berbeza parti dengan syarat salah seorang dari mereka mendapat kepercayaan majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Jadi soalan PRU 15 , PN vs PH ...yang mana satu pilihan anda tidak relevan lagi jika pendekatan politik baru diamalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan