Theflowersellingboy

Jumaat, 27 September 2019

Senyuman Yang Tiada Manisnya.



Tazkirah sebelum khutbah Jumaat pada hari ini, disebuah surau , di Putra Jaya, yang dinaik taraf  sebagai masjid bagi tujuan membolehkan masjid itu mendirikan solat Jumaat, amat menarik sekali, pada pandangan saya.

Menarik ialah kerana ianya menyentuh Persekitaran, Islam dan Tanggunjawab.

Isi ceramah antara lain: 

i) Persekitaran di  Udara, Daratan dan Laut  mesti diurus dan dijaga agar tidak tercemar. 

ii)Tapi yang telah terjadi dan terus terjadi ialah persekitaran yang telah disediakan Allah yang bersih, nyaman, cantik dan indah untuk dinikmati oleh makhluknya telah tercemar oleh perbuatan-perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

iii) Manusia itu termasuk orang Islam yang tidak pernah gagal mendakwa bahawa Islam itu indah; bahawa bersih dan indah itu sebahagian dari iman, bahawa Islam mengutamakan kebersihan.

Saya tidak tahu berapa ramai jemaah yang menumpukan fikiran dan hatinya kepada takzirah atas tajuk itu. Mungkin ada yang merasa bosan kerana cerita tentang persekitaran dan kebersihan ini adalah cerita biasa-biasa sahaja. Yang pasti sahabat disebelah saya, kepalanya terkulai tunduk. 

Tidur atau sedang memikirkan kesan buruk kepada kehidupan disebabkan persekitaran yang tercemar?

Saya tidak tahu. Tapi tiada dengkuran dari beliau.

Penceramah membandingkan sikap orang Islam dengan yang bukan Islam berhubung dengan menjaga persekitaran.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju atau ada yang sakit hati apabila sikap orang bukan Islam mendapat pujian. 

Penceramah itu menyatakan bahawa dia rasa bersalah dan malu, apabila seorang peserta yang semeja dengannya, dari Jepun, mengutip secebis tisu yang telah jatuh berhampiran kakinya, lalu dimasukkan ke dalam poket.

"Saya seorang ustazpun tak buat macam itu", katanya.

Begitulah disiplin orang Jepun tentang menjaga persekitaran. Dia bukan orang Islam. 

Di Malaysia? Keputusan kerajaan melarang merokok di tempat awam seperti direstoran dan jabatan kerajaan mendapat tentangan, termasuk dari orang Islam. 

"Jadi mananya Islam itu bersih?" Sinis sungguh bunyi suara penceramah itu.

"Islam itu bersih, yang kotor orangnya". Dia sendiri menjawab soalan yang dia tanya, khuatir orang salah faham.

Dalam hati saya bertanya: Siapakah sepatutnya menjaga persekitaran dari tercemar?

Kerajaan? Orang ramai?

Semua jawapan menuding jari ke pihak lain. 

"Macam mana dengan perbuatanku membakar sampah?" Saya bertanya pada diri sendiri.

"Ah bukan bakar secara terbuka", saya  menjustifikasikan tindakan saya itu. Saya tersenyum, senyum pada diri sendiri yang tiada manisnya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan