Theflowersellingboy

Rabu, 18 September 2019

Pakatan UMPAS atau PASUM : Kesan Politik Kepada PH



Saya lebih selesa gunakan singkatan kerjasama politik diantara UMNO PAS atau PAS UMNO sebagai UMPAS atau PASUM. Saya cuba mengelak dari dilihat berat sebelah. 

Saya tidak akan menggunakan Permuafakatan UMMAH (PU) mahupun Permuafakatan Nasional (PN) sebagai wadah kerjasama politik diantara UMPAS ini kerana ianya telah tersasar.

UMMAH dan NASIONAL membawa mesej yang berbeza. Makna yang berbeza. Semangat dan ruh politik yang berbeza. 

UMMAH adalah perkara yang mendasar dalam rangka tercetusnya niat untuk mengadakan kerjasama politik PASUM ini. Tidak lain dari itu. 

Niatnya ialah untuk mengalahkan PH dalam PRU15, dan menjadi kerajaan selepas itu. PASUM amat yakin ruh dan semangat kerjasama politik yang kental dapat dibina dan dipupuk atas nama UMMAH.  PH boleh dikalahkan. Tidak atas nama NASIONAL....tidak ada uuuuuummmppph! 

Buktinya kerjasama yang longgar diantara UMPAS pada beberapa pilihanraya kecil telah memberi kemenangan khususnya kepada UMNO.

Saya tidak bertujuan untuk membincangkan lebih lanjut tentang UMMAH dan  NASIONAL ini. 

Hanya yang saya mahu ingatkan bahawa REALITI bagi UMNO ialah parti itu memerlukan sangat selain dari PAS ialah parti parti bukan Melayu dalam gabungan BN dulu untuk menang dalam pilihanraya dan menubuhkan kerajaan. Sebab itu NASIONAL masih melekat dhati UMNO.

Manakala PAS juga menyedari realiti itu. PAS juga menyedari bahawa undi bukan Melayu dan Islam khususnya dari DAP tidak berpihak pada parti itu. Dan kebarangkalian untuk mendapat undi dari  bukan Melayu dari parti parti BN selain UMNO amat tipis sekali.

UMNO amat beruntung, sebaliknya PAS akan melopong. Buktinya dalam beberapa PRK yang lalu yang mana PAS tidak menang berbanding dengan UMNO.

Ini juga adalah REALITI.

Apakah kesan politik kepada PH hasil dari Pakatan UMPAS ini?

PASUM akan menang?

Sebelum menjawab soalan diatas, saya ulangi sekali lagi bahawa PASUM lebih menguntungkan UMNO. UMNO makan kiri kanan. Mendapat sokongan pengundi PAS dan  sokongan pengundi bukan Melayu dari parti parti bekas BN seperti MCA dan MIC. Sementara PAS, hanya dari pengundi UMNO selain dari PAS sendiri.

Ertinya, logik mengatakan bahawa UMNO akan menambah kerusi pada PRU 15 nanti. Sudah tentu dengan pertolongan PAS dan pengundi bekas BN selain PAS.

Tambahan kerusi ini bukan sahaja di negeri-negeri pantai barat semenanjung bahkan juga di negeri-negeri  yang dikuasai oleh PAS seperti Kelantan dan Terengganu. 

Tahniah atas kelicikan politik UMNO.

Secara keseluruhan bolehkah PASUM  menang?

PASUM mempunyai peluang untuk menang jika:

i) Kepimpinan yang ada sekarang, terutama UMNO, memberi peluang kepada muka-muka baru yang belum lagi terpalit dengan berbagai masalah. Ertinya terlalu ramai yang perlu mengundurkan diri.

ii) UMPAS tidak terlalu ghairah dan melampau bermain dengan emosi Melayu, Islam dan Raja. Ianya satu tindakan yang akan mendapat respons yang negatif dari pengundi bukan Melayu dari parti parti gabungan. Apatah lagi pengundi bukan Melayu PH. Tetapi trend yang sedang berlaku ketika ini menunjukkan kerancakan menggunakan isu ini misalnya dalam kerja pemboikotan membeli barangan dan perkhidmatan dari bukan Melayu dan Islam.

Orang Cina/India dan bukan Islam mana yang akan bersetuju walaupun dari parti gabungan?

iii) Tumpukan kepada hal hal dasar dan kaedah perlaksanaan yang meyakinkan  berbanding dengan retorik yang bersandarkan kepada fitnah dan pembohongan. Maklumat dan fakta sudah boleh dicapai dengan segera dan di sah benar salahnya. Pengundi sudah lebih cerdik. Apatah lagi pengundi muda akan menjadi sebahagian besar yang terlibat pada PRU15. Jangan kelentong mereka.

iv) Parti parti PH berterusan bercakaran sesama mereka sama ada dalam parti mahu pun antara parti. Kecenderungan itu masih belum kendur.

v) Banyak janji janji yang tidak ditunaikan oleh PH terutama yang melibatkan kos sara hidup. Tetapi apakah tawaran PASUM untuk mengatasi  kos sara hidup selain dari naratif kebencian antara kaum dan agama. Setakat sekarang tiada satu dasar atau kaedah yang telah dinyatakan oleh PASUM. 

Memperkenalkan semula GST? Menempa jalan maut kali kedua.   

vi) PASUM berjaya menyelesaikan pembahagian kerusi PRU 15 . Ianya satu tugas yang amat rumit kerana PAS akan kelihatan banyak memberi dari menerima sedangkan yang kalah teruk ialah UMNO bukan PAS.

Tempoh baki yang ada sebelum PRU 15 adalah amat kritikal kepada PH dan PASUM. 

PH jika dapat memperbaikki prestasi dan mengurangkan percakaran dalaman dan antara parti ianya adalah pilihan terbaik bagi rakyat untuk melanjutkan tempoh menjadi kerajaan.

Sementara PASUM terutama UMNO ada banyak liabiliti dan tidak akan disenangi pengundi jika masih lagi meletakkan sebahagian besar kepimpinan yang ada ketika ini. Sebab utama kekalahan UMNO/BN adalah kegagalan untuk mengenepikan pimpinan yang bermasalah.

Apa pun, yang mengetahui hal hal didepan hanya Allah sahaja. Namun rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang dapat mengurustadbir kekayaan negara dengan penuh amanah demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Setakat apa yang telah berlaku, UMNO/BN telah gagal. Dan tidak wajar UMNO/BN menampilkan orang yang sama pada PRU  15 sebagai calun. Sehingga kini juga tiada tawaran-tawaran yang meyakinkan yang telah dikemukakan oleh UMNO selain dari mengutuk kegagalan PH. 

Ingat, politik bukan perkelahian diantara anak kecil yang saling tuduh menuduh. Politik adalah satu peluang untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik bagi kesejahteraan rakyat berbanding dengan apa yang telah ditawar atau dilakukan oleh pihak lawan. Sebab itu banyak janji, tetapi janji yang mampu dilaksanakan.

PAS juga tidak menunjukkan rekod yang baik dalam pentadbiran negeri-negeri yang dikuasainya.

Rakyat mengharapkan yang terbaik.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan