Theflowersellingboy

Isnin, 27 Februari 2017

Kisah Orang Tua Yang Pelupa




Hari ini bayar cukai taksiran rumah aka cukai pintu bagi setengah tahun pertama 2017. Esok hari terakhir. Jika melampaui tarikh 28 Februari bagi setiap tahun, denda lewat akan dikenakan bersama dengan cukai sebenar.

Mengapa mahu bayar denda lewat? Ianya membazir saja.

Oleh itu bil tuntutan saya akan bayar sebelum tempoh bayaran tamat.

Namun hari ini saya menjadi terperanjat apabila dalam bil tuntutan itu menunjukkan saya mempunyai tunggakan bagi cukai taksiran setengah tahun kedua tahun 2016 beserta dengan denda lewat bayar.

Menjirab darah saya dibuatnya kerana saya tidak pernah gagal membuat bayaran apa saja bil tuntutan melampaui masa yang ditetapkan.

Lalu saya mencari keratan bil lama. Saya gagal menjumpainya. Kemudian saya teringat data setiap bayaran bil saya masukkan dalam henfon. Sayang sekali henfon itu telah rosak.

Aduhai, keluh saya.

Jalan terakhir ialah menyemak dengan pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan bil cukai itu. Bagi saya, pihak itu telah tersilap.

Saya bertanya kepada pegawai bertugas di kaunter bayaran, mengapa ada tunggakan dan saya didenda sedangkan  saya tidak pernah gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditentukan. Dia tidak ada maklumat dan meminta saya bertanya kepada pegawai yang bertugas mengeluarkan bil tuntutan.

Dengan penuh yakin, saya memberitahu pegawai pengeluar bil itu bahawa saya tidak pernah gagal membuat bayaran. 

Pegawai itu buat semakan. Menurut semakannya mengesahkan saya tidak buat bayaran.

Maka saya bertanya, mengapa saya tidak buat bayaran?

Entahlah, jawabnya. Tapi mengikut rekod, katanya memang saya tidak buat bayaran.   

Saya mula ketawa dalam hati apabila mengingatkan soalan 'mengapa saya tak buat bayaran'. Soalan itu tak perlu ditanya. Kalau mahu tanya juga , sepatutnya saya tanya pada diri sendiri bukan kepada pegawai yang bertugas itu.

Namun pertanyaan saya itu tidak bertujuan untuk menyusahkan pegawai itu. Ianya disebabkan saya terlalu yakin bahawa saya tidak pernah lupa untuk membayar setiap bil tuntutan yang diterima.

Tapi saya lupa bahawa setiap detik berjalan, usia bertambah dan daya ingatan semakin menurun.

Saya rasa bersalah. Saya cuba mengurangkan rasa bersalah saya itu dengan memberitahu pegawai berkenaan bahawa saya tidak menerima bil tuntutan bagi tempoh setengah tahun kedua 2016.

Pegawai itu menyatakan bahawa pihaknya memang ada menghantar bil tersebut. Dia akan membawa saya berjumpa dengan kakitangannya yang melakukan tugas penghantaran. Saya bersetuju.

Sebelum berjumpa dengan kakitangan itu, saya memberitahu pegawai berkenaan bahawa bil setengah tahun pertama juga saya tidak terima. Sebab itulah, kata saya, bayaran dibuat pada bulan April dan bukan pada Februari kerana saya menunggu bil. 

Dia buat semakan. Benar apa yang saya cakap bahawa bayaran dibuat pada bulan April.

Itupun, kata saya setelah saya sendiri datang ke pejabat meminta bil. Ketika itu saya mahu dikenakan denda juga. Tapi denda telah dikecualikan apabila saya berjumpa dengan ketua Jabatan itu. 

Kemudian pegawai itu memberitahu saya, dia hanya ada kuasa untuk mengurangkan denda sebanyak 50% sahaja. Hanya ketua Jabatannya saja yang boleh beri pengecualian sepenuhnya.

Saya kena jumpa boslah, tanya saya. Dia mengangguk. Saya baca air mukanya semacam tidak menggalakkan saya berjumpa dengan bosnya. 

Saya akan bayar ke semuanya, kata saya.  Saya percaya saya yang lupa buat bayaran. Itupun telah dibuktikan.

Boleh saya jumpa bos? 

Bos ada mesyuarat majlis penuh, jawab pegawai itu.

Tak mengapa, saya mahu jumpa saja. Kunjung hormat. Bukan nak komplen.

Apabila berjumpa dengan kakitangan yang membuat hantaran bil, beliau mengesahkan ada membuat penghantaran secara tangan.

Tapi mengapa  tidak ada dalam peti surat saya.

"Oklah. Benda telah selesai". Tapi saya minta pihak berkuasa itu buat sedikit pembetulan tentang pos kod alamat rumah saya kerana alamat dalam bil ini menggunakan pos kod yang salah.

"Mungkinkah salah poskod menyebabkan bil itu saya tidak terima?" Saya bertanya dalam hati.

"Tapi, penghantar bil itu menyatakan dia sendiri yang hantar", Saya sendiri yang menjawab soalan itu.

Apa pun, saya percaya, usia yang bertambah membuatkan ingatan semakin merosot. Jadi saya mesti ingat hal ini. 

Tapi macam mana nak ingat kalau usia semakin tua?

Hahahahaha.....kisah orang tua yang pelupa. Tapi masih juga mahu menulis.



1 ulasan:

  1. Teruskan menulis pak. Indah sungguh gaya bahasa berbanding sekarang ini.

    BalasPadam